Topik diikuti
Pergi ke BHkuHidupkan sunah Rasulullah dalam kehidupan
Setiap kali memperingati kelahiran Rasulullah saw, nama baginda disebut, selawat dialun dan sirahnya dikenang sebagai tanda cinta kepada insan mulia yang membawa umat daripada kegelapan menuju cahaya petunjuk.
Namun, di sebalik ungkapan cinta itu, ada satu persoalan yang wajar direnungkan: Sejauh mana Rasulullah saw masih ‘hadir’ dalam kehidupan kita hari ini?
Allah swt berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.” (Surah Ali ‘Imran: 31)
Ayat ini mengingatkan, cinta bukan sekadar perasaan atau ungkapan. Ia mendorong kita mengikuti dan meneladani. Begitu juga cinta kepada Rasulullah saw. Kita berselawat kerana cinta, menghayati sirah kerana rindu dan tersentuh mengenang pengorbanannya.
Namun, cinta hakiki apabila sunah baginda kian membentuk kehidupan kita.
Sunah yang terus hidup
Sunah bukan sekadar amalan tertentu seperti cara berpakaian, makan atau bersiwak. Ia turut tercermin melalui cara Rasulullah saw beribadah, melayan keluarga, berbicara, mendengar, membantu golongan yang memerlukan, memaafkan, bersabar dan mengawal kemarahan.
Di rumah, sunah hidup apabila kita memilih berbicara dengan baik walaupun sedang penat, mendengar sebelum menghukum dan tidak menjadikan rumah tempat orang takut melakukan kesilapan.
Dalam kehidupan harian, sunah turut diuji ketika kita berdepan tekanan, kesesakan, masalah kewangan atau kerenah manusia.
Mudah bersabar ketika semuanya berjalan lancar.
Namun, bagaimana kita bertindak apabila disakiti, disalah fahami atau berdepan dengan kesilapan orang lain?
Di situlah akhlak Rasulullah saw perlu kita teladani.
Sunah dalam dunia digital
Hari ini, sebahagian kehidupan kita berlangsung di hadapan skrin.
Kita membaca, memberi komen dan berkongsi berita.
Jika Rasulullah saw mengajar kita menjaga lidah, kita juga perlu menjaga apa yang ditaip oleh jari.
Jangan tergesa-gesa berkongsi berita yang belum dipastikan kebenarannya, membuka aib atau merendahkan orang lain.
Teknologi mungkin berubah, tetapi akhlak seorang Muslim tidak seharusnya berubah mengikut platform.
Cinta yang diterjemahkan
Jangan memilih sunah hanya ketika ia mudah. Kita mungkin suka mendengar tentang kasih sayang dan kesabaran Rasulullah saw, tetapi sukar memaafkan atau mengawal marah ketika diuji.
Mencintai Rasulullah saw bererti berusaha menjadikan sunah baginda hidup dalam rumah, pekerjaan, pergaulan dan cara kita melayani manusia.
Ini kerana antara tanda cinta yang paling indah ialah apabila akhlak baginda semakin terlihat dalam kehidupan kita.
Penulis Ketua Dakwah di Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM).
SEKILAS
CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
1. Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.
2. Untuk hulur derma, anda boleh:
– Buat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
– PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
– Kirim cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’, tulis nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan ke Masjid Alkaff Kampung Melayu di alamat 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
– Pergi ke pejabat masjid, Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi dengan 5.30 petang, atau pada Jumaat, dari 9 pagi hingga 5 petang.
* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm; Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu; dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.
