Sikap sederhana serta jiwanya yang gemar memudahkan urusan orang lain merupakan sifat yang paling dikenang ramai sepanjang hayat seniman dan pelawak veteran, Yusoff Maruwi.

Malah kepulangannya juga “tidak menyusahkan sesiapa”, selaras dengan keperibadian Allahyarham itu, luah balunya, Cik Sanisah Ali, 57 tahun, kepada Berita Harian (BH).

Allahyarham Yusoff – atau nama penuhnya Mohamed Yusoff Maruwi – telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) awal pagi 1 Jun.

Suasana hiba menyelubungi upacara pengebumian bintang seni tempatan berusia 72 tahun itu yang diadakan di Pusara Aman pada hari sama sekitar 11.30 pagi, dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, sahabat handai, rakan sekerja, peminat dan anak didiknya.

Menurut Cik Sanisah, Allahyarham telah dikejarkan ke TTSH pada 28 Mei selepas mengalami serangan angin ahmar.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 2.34 pagi, 1 Jun, dikelilingi keluarga terdekat, sebelum jenazahnya dibawa pulang ke rumah sekitar 4 pagi.

Menurut Cik Sanisah, Allahyarham yang bekerja di Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sehingga bersara pada April lalu, tiba-tiba rebah di tandas rumah mereka pada 28 Mei, selepas mengalami batuk dan hilang selera makan selama tiga minggu sebelum itu.

“Anak sulung saya segera panggil ambulans, yang kemudian membawa suami saya ke Hospital Tan Tock Seng.

“Sejak itu, matanya terpejam dan tidak celik lagi sehinggalah disahkan meninggal dunia pada pagi tadi,” kongsinya.

Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara 18 dengan 33 tahun.

“Beliau seorang suami dan ayah yang baik, tidak pernah merungut dan sangat bekerja keras.

“Jarang melihatnya mengambil cuti melainkan atas keperluan penting. Namun begitu, dia selalu memberi perhatian kepada kami sekeluarga,” kata Cik Sanisah, seorang pegawai pentadbiran kanan.

Urusan dan solat jenazah diaturkan di Kemudahan Pengurusan Pengebumian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di Pusara Aman oleh sahabat baik Allahyarham sendiri yang juga pengurus jenazah dari Jasa Budi Muslim Casket, Encik Abdul Rahman Ibrahim.

“Beliau sering bergurau dengan saya: Kalau aku mati, kau mandikan aku perlahan-lahan tau! Jangan kasar-kasar,” imbau Encik Abdul Rahman.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham bukan sekadar pelakon dan pelawak yang sering melemparkan senyuman, malah merupakan pemimpin bidang kesenian yang aktif sebagai penulis skrip dan pengarah.

Antara rakan artis yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir adalah pelakon veteran Keatar HM (Hashim Mohammad).

“Abang Yusoff seorang yang serius apabila berseni dan amat mengambil berat semasa bekerja di set penggambaran mahupun di pentas, walaupun beliau sebenarnya seorang yang ceria dan suka bercanda.

“Beliau tidak sombong, tidak lokek memberi tunjuk ajar dan merupakan mentor yang amat prihatin,” kata Keatar HM, yang mengenali Allahyarham sejak penglibatannya dalam Bengkel Drama Kelab Panggung Negara pada awal 1990-an.

Mereka juga sering digandingkan sebagai pengacara untuk majlis perkahwinan.

Pelakon dan pelawak Hamzah Adon menambah: “Beliau seorang yang baik dan memahami perasaan kawan-kawan.

“Senang diajak berbincang dan tidak pernah membezakan antara pelakon baharu atau lama. Selama saya mengenalinya, tidak pernah beliau bercakap buruk tentang orang lain.”

Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik  Alvin Tan yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Tanjong Pagar turut menyentuh tentang sumbangan Allahyarham dalam kiriman Facebooknya.

Allahyarham pernah berkhidmat di Kelab Masyarakat Cairnhill sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

“Saya akan merindui jenaka, senyuman, dan tenaga Encik Yusoff yang tiada tandingannya, yang sentiasa dibawa bersama dalam setiap acara dan perayaan kami,” kata Encik Tan.

Dalam hantaran itu, Encik Tan turut menyentuh tentang sumbangan Allahyarham sebagai seorang legenda negara yang telah menghiburkan di skrin televisyen selama berdekad-dekad.

“Di samping bakat komedinya, beliau turut menunjukkan kepelbagaian bakatnya baru-baru ini, yang menyentuh hati kita semua menerusi drama Remuk di saluran Suria,” kata Encik Tan yang akan merindukan gurau senda, nyanyian, dan tarian yang hampir pasti akan dilakukan bersama setiap kali mereka bertemu.

Selain aktif dalam drama pentas, Allahyarham pernah bertugas sebagai penolong pereka grafik dan kemudiannya penulis sari kata bahasa Melayu untuk rancangan bahasa Inggeris secara sepenuh masa di Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) – kini Mediacorp.

Mantan penerbit dan pengarah, Cik Maria Mahat, turut berkongsi rasa duka apabila dihubungi BH: “Allahyarham Yusoff Maruwi bukan sahaja seorang pelakon, pelawak dan penulis skrip teater komedi, tetapi beliau juga merupakan rakan sekerja di Television Corporation of Singapore (TCS)/Mediacorp suatu ketika dahulu. Kehilangan beliau amat dirasakan oleh semua kakitangan dan rakan dari SBC, TCS dan Mediacorp.”

Yusoff juga telah menerbitkan buku biografinya berjudul ‘2 Al Kisah Yusoff Maruwi - Hidup, Cinta dan Seni’ pada 2021.

Menurut Cik Sanisah, Allahyarham sebenarnya sedang berura-ura untuk menulis buku tentang ‘Kampung Nekat’ - tempat beliau dibesarkan sebagai naskhah sambungan biografinya.

Bagaimanapun, hasrat terakhir itu tidak kesampaian akibat kesibukan kerja sebelum ini.