Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang khusus bagi kereta sewa privet (PHC) di Singapura masih dikaji, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Beliau berkata kategori COE berasingan bagi PHC mempunyai cabaran tersendiri kerana bekalan sijil perlu diperoleh daripada kategori kereta penumpang sedia ada.
Terdapat juga kesukaran tambahan dalam mengklasifikasikan kenderaan PHC dan meramalkan permintaan pemandu.
Encik Chee berkata konsep klasifikasi COE yang berasingan untuk PHC sebenarnya tidak salah, tetapi butirannya sangat penting, lapor The Straits Times (ST).
Menjelaskan kepada media dalam satu wawancara pada 3 Disember di ibu pejabat Kementerian Pengangkutan di Alexandra Road, beliau berkata:
“Keseimbangan yang sukar menjadi sebab kita perlu terus mengkaji (COE khusus bagi PHC) dengan teliti.”
Kajian itu adalah sebahagian daripada fasa kedua semakan sektor pengangkutan satu tempat ke tempat (P2P) yang sedang dijalankan.
Kementerian itu berhasrat memberikan maklumat terkini mengenai perkembangan kajian itu dalam pembentangan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada Mac 2025.
Beliau tidak memberi ulasan lanjut bila semakan itu dijangka selesai.
Meskipun diumumkan pada September 2023 dan semakan tersebut pada asalnya dirancang siap pada suku kedua 2024, ia masih sedang diteruskan, katanya lagi.
Perubahan untuk memperbaiki sektor P2P – meliputi teksi dan PHC, termasuk PHC dengan pemandu dan yang dipandu sendiri – berdasarkan semakan fasa pertama diumumkan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor.
Pengumuman itu, kata Dr Khor, termasuk mengurangkan syarat pengawalan untuk teksi, serta lebih banyak garis panduan untuk pengendali P2P bagi pengurusan gangguan.
Pada 4 Disember, beliau mengumumkan bahawa kebanyakan perubahan itu akan mula berkuat kuasa mulai Januari 2025.
Kategori COE berasingan ini muncul di tengah-tengah desakan industri automotif dan pengguna kerana PHC menggunakan COE kereta penumpang (kategori A dan B), yang telah menjadi faktor dalam memacu premium COE.
Menurut perangkaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), sehingga Oktober 2024, jumlah PHC di Singapura adalah 87,845 manakala pemandu teksi pula adalah 13,218 – lebih rendah daripada 27,695 pada 2013.
Sejak 2012, teksi tidak perlu membida COE setelah ia diambil daripada kuota kategori E, kategori terbuka
Encik Chee berkata usul kategori COE yang berasingan bagi PHC adalah sukar kerana teksi dan PHC mempunyai perbezaan utama yang menjadikan PHC sukar untuk diklasifikasikan.
Menurut beliau, tidak seperti teksi, kereta penumpang biasa pada bila-bila masa boleh ditukar kepada PHC dan sebaliknya; dan klasifikasi PHC “tidak begitu mudah”.
Walaupun sesetengah PHC dimiliki secara persendirian, ada juga PHC korporat atau dimiliki syarikat yang menyewanya kepada pemandu.
“Permintaan (bagi PHC) juga turun naik agak banyak… disebabkan itu agak sukar membuat penilaian yang sangat tepat tentang bekalan yang PHC perlukan,” terang Encik Chee.
Beliau juga berkata COE bagi kategori PHC berasingan perlu diperolehi daripada kuota bagi kereta penumpang, iaitu kategori A dan B, yang memerlukan pengimbangan teliti.
Jika terlalu banyak COE diambil untuk kategori PHC, ia boleh menyebabkan harga COE naik mendadak dan sebaliknya jika terlalu sedikit, ia boleh menyebabkan kekurangan bekalan bagi PHC – sekali gus berlakunya tonggakan, kata beliau.
“Jika tidak berhati-hati, membuat perkiraan atau ramalan salah, dan jika memindahkan bekalan terlalu banyak atau terlalu sedikit, akan ada kesan negatif yang besar.
“Itulah sebabnya kita perlu berhati-hati dalam soal sama ada kita mahu kategori yang berasingan atau tidak (bagi PHC),” tambahnya.
Sebagai sebahagian daripada semakan, LTA juga sedang melihat bagaimana ia boleh menggalakkan pemandu yang terlibat dalam sektor P2P untuk memilih teksi dan bukannya PHC, ujar Encik Chee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg