Walaupun sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) 2.0 mampu menetapkan caj mengikut jarak perjalanan, pihak berkuasa masih berada dalam peringkat awal melihat model mengenakan caj bagi jarak yang berbeza, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Ini memandangkan ia melibatkan pelaksanaan dasar utama yang boleh menjejas mata pencarian dan kumpulan pengguna jalan raya berbeza.
Oleh demikian, adalah lebih tepat untuk mengambil pendekatan “berhati-hati sebelum memperkenalkan sebarang perubahan”, katanya.
Beliau berkata demikian pada 3 Disember dalam satu sesi wawancara bersama pihak media di ibu pejabat Kementerian Pengangkutan (MOT) di Alexandra Road.
Encik Chee menjelaskan tumpuan semasa adalah memastikan proses yang lancar agar semua kenderaan di Singapura dipasang dengan peranti dalam kenderaan atau On-Board Unit (OBU) – iaitu sebahagian daripada sistem bayaran ERP 2.0 yang berteraskan satelit.
Sebanyak 200,000 kenderaan atau kira-kira 20 peratus daripada jumlah kenderaan dijangka dipasang dengan OBU menjelang akhir 2024.
OBU menggantikan unit dalam kenderaan (IU) untuk pembayaran tol jalan raya dan tempat letak kereta.
Pemasangan OBU dalam hampir 1 juta kenderaan dijangka siap menjelang akhir 2025.
Encik Chee berkata sistem ERP 3.0 mungkin satu kemungkinan “pada masa akan datang” jika pihak berkuasa menemui teknologi baru yang boleh berfungsi dengan berkesan selepas menjalani ujian yang teliti.
Tetapi beliau tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku pada 2026.
“(Tahun itu) kita mungkin masih menggunakan ERP 2.0, tetapi ia sudah membolehkan kita mempunyai semua ciri yang diinginkan – menyediakan gantri maya, mampu melakukan pengurusan trafik secara lebih responsif, dapat memperkenalkan pengenaan caj berdasarkan penggunaan baru,” ujarnya.
Encik Chee berkata konsep gantri maya bakal sama seperti gantri fizikal sedia ada, dengan pengenaan caj berdasarkan masa dan lokasi.
Di bawah sistem ERP semasa, gantri fizikal diletakkan di lokasi yang lebih terdedah kepada kesesakan lalu lintas.
Pemandu kenderaan dikenakan bayaran apabila mereka memandu melalui gantri yang sedang beroperasi.
Mengulas mengenai konsep mengenakan caj mengikut jarak, Encik Chee berkata ia mungkin tidak semudah membuat bayaran lebih untuk memandu lebih.
“Jika itu yang kami perlukan, sebenarnya anda boleh lakukannya dengan odometer,” tambah beliau.
Odometer ialah alat dalam kenderaan yang menjejak dan memaparkan jarak perjalanan.
Sebaliknya, mengenakan caj mengikut jarak dikaitkan dengan pengurusan kesesakan dengan mengambil kira lokasi dan masa perjalanan.
“Satu kilometer yang anda lalui di luar waktu sibuk di bahagian bandar yang kurang sibuk adalah berbeza dengan satu kilometer yang anda lalui semasa waktu sibuk pada laluan sibuk, iaitu dari segi kesan yang anda berikan kepada kesesakan,” terang beliau.
Encik Chee menambah bahawa kajian boleh dilakukan mengenai mengenakan caj mengikut jarak, dan walaupun ERP 2.0 membenarkan pilihan itu, ia tidak bermakna ia perlu dilaksanakan dengan segera.
“Anda perlu mengkaji apakah rekaan dasar yang akan membawa kepada hasil yang adil untuk kumpulan pengguna yang berbeza. Itulah yang memerlukan masa,” tambahnya.
Pelancaran ERP 2.0 pada pada asalnya dirancang untuk bermula pada 2020, tetapi ia telah ditangguhkan dua kali, pertama disebabkan Covid-19, kemudian kekurangan bekalan cip yang melanda peringkat sejagat.
Pemasangan OBU untuk kenderaan secara besar-besaran bermula pada November 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg