Pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka yang menetap di daerah Timur Laut Singapura, yang menukar waktu perjalanan bagi mengelakkan waktu sibuk sebelah pagi boleh menikmati diskaun tambang perjalanan sehingga 80 peratus, dalam usaha menangani kesesakan waktu sibuk di bas dan MRT dengan lebih baik, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Beliau berkata usaha itu adalah sejajar dengan skim Inisiatif Perjalanan Bijak (TSJ) yang dipertingkat, dan bakal dilancarkan pada awal Januari 2025.
Berkongsi kepada media dalam sesi wawancara pada 3 Disember di ibu pejabat Kementerian Pengangkutan di Alexandra Road, Encik Chee berkata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan memperluaskan lebih banyak perkhidmatan bas di bawah skim TSJ yang dipertingkat.
Ini selain rancangan untuk menawarkan diskaun sehingga 80 peratus ke atas tambang bagi perjalanan melalui rangkaian rel, di samping diskaun 50 sen sedia ada bagi mereka yang membuat perjalanan ke tempat kerja sebelum 7.45 pagi, tambahnya.
Ini menurutnya akan memberi penjimatan kos bagi pengguna MRT “yang menukar waktu perjalanan mereka untuk mengelakkan waktu sibuk sebelah pagi”.
Beliau menjelaskan LTA akan memberi perincian lanjut mengenai skema pelaksanaan TSJ yang dipertingkat ini, tetapi sebagai permulaan, pihaknya akan tumpu pada perjalanan yang bermula dari Laluan Timur Laut (NEL) stesen MRT Punggol, Sengkang, Buangkok dan Hougang serta stesen LRT di Punggol dan Sengkang.
“Ini akan membolehkan pengguna pengangkutan awam untuk menikmati tambang perjalanan lebih rendah sekiranya mereka menyesuaikan waktu perjalanan untuk mengelakkan waktu sibuk sebelah pagi, dan kami harap ia dapat membantu mengedarkan bebanan semasa waktu sibuk terhadap sistem,” kata Encik Chee.
TSJ merupakan skim yang bertujuan mengedarkan permintaan waktu puncak bagi pengangkutan awam dengan menggalakkan penumpang menggunakan perjalanan alternatif, menurut laman rasmi LTA.
Ia menjalani tempoh percubaan pada Februari 2020 sebelum dihentikan dek Covid-19 dan dimulakan semula pada Mac 2023 dengan perkhidmatan bas yang diperluaskan.
Skim itu digantung dari 25 November hingga awal Januari 2025 disebabkan pengemaskinian pada sistem, tambah laman itu.
Langkah meningkatkan TSJ ini sejajar dengan bidang tumpuan Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah bidang enhancing liveability atau meningkatkan kesesuaian hidup – salah satu daripada tiga ‘L’. Dua ‘L’ lain ialah Persekitaran Kehidupan dan Sara Hidup.
Tiga ‘L’ ini diumumkan MOT semasa pembentangan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada Mac di Parlimen.
Selain skim TSJ, Encik Chee menyentuh berkenaan jumlah penumpang kendalian Lapangan Terbang Changi, yang telah kembali ke tahap sebelum wabak Covid-19 dan ia dijangka menjangkau paras pra-Covid pada 2025
Ini sedang jumlah penumpang mencatat pertumbuhan kukuh pada Oktober dan November sejak bermulanya musim sejuk bagi negara di Hemisfera Utara, ujarnya.
Secara berasingan, pengendali lapangan terbang Changi Airport Group (CAG), dalam satu kenyataan pada 6 Disember berkata Lapangan Terbang Changi telah mengendalikan 61.2 juta pergerakan penumpang dari Januari hingga November.
Ini, menurut CAG, peningkatan 15 peratus berbanding tempoh sama pada 2023, dengan jumlah penumpang bagi Oktober dan November menjangkau tahap yang dicatat sebelum Covid.
Berdasarkan laporan operasi suku ketiga 2024 CAG pula, Changi telah mengendalikan 16.8 juta pergerakan penumpang dari Julai hingga September 2024, iaitu 97.4 peratus daripada jumlah yang dicatat dalam suku ketiga 2019 atau sebelum Covid-19.
CAG menambah pertumbuhan sedemikian dipacu beberapa faktor, sebahagian besarnya adalah peluasan rangkaian penerbangan, perkongsian syarikat penerbangan dan peraturan bebas visa antara Singapura dengan beberapa negara.
Encik Chee berkata: “Setakat Disember 2024, kita (Singapura) terhubung dengan 165 kota. Kami telah menambah 16 rangkaian kota baru tahun ini (2024), termasuk Brussels (ibu kota Belgium), Iloilo di Filipina, Guiyang (China) dan Vancouver (Canada).
“Kami akan terus berusaha menyediakan ketersambungan lebih baik bagi Changi, termasuk dengan pasaran utama seperti China, India dan Asia Tenggara.”
Beliau juga memberi maklumat terkini berkenaan purata kilometer (km) antara gangguan (MKBF) – merujuk kepada purata kilometer jarak perjalanan antara kegagalan yang berlangsung lebih daripada lima minit dan ukuran kebolehpercayaan rel yang diiktiraf di peringkat antarabangsa – bagi seluruh rangkaian MRT di sini.
Bagi tempoh 12 bulan hingga hujung November 2024, MKBF bagi seluruh rangkaian MRT ialah sekitar 2.2 juta km kereta api.
Nilai ini lebih tinggi daripada apa yang dicatatkan bagi hujung Oktober, iaitu sekitar 2 juta km kereta api; dan hujung September, iaitu sekitar 1.8 juta km kereta api, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg