Tidak ramai yang tahu semasa Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, dalam zaman persekolahannya, beliau telah mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa Ibundanya.
Keputusan untuk belajar bahasa Melayu itu sebahagiannya didorong oleh konteks sejarah negara pada ketika itu, apabila Singapura bergabung dengan Malaysia dari 1963 hingga 1965.
“Saya masuk sekolah rendah pada 1961. Sekolah saya aliran bahasa Inggeris tetapi saya belajar kedua-dua bahasa Melayu dan Cina semasa dalam Darjah 1 dan 2.
“Kemudian, apabila saya masuk Darjah 3, bapa saya perlu putuskan sama ada saya harus belajar bahasa Melayu atau bahasa Cina.
“Tetapi memandangkan Singapura telah bergabung dengan Malaysia, bapa saya kata lebih baik saya belajar bahasa Melayu…
“Apabila saya jejakkan kaki ke Darjah 5, Singapura tidak lagi bersama Malaysia tetapi saya akan menduduki PSLE (Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah) pada tahun depan, jadi saya teruskan belajar bahasa Melayu,” katanya, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.
Malah, Encik Teo, 70 tahun, berkongsi beliau mengambil bahagian dalam kegiatan yang diadakan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), sebuah badan Melayu/Islam yang membantu mempertingkatkan pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Membesar dengan pengalaman tersebut, Encik Teo sudah terbiasa dan selesa dengan masyarakat Melayu/Islam di Singapura, dan telah menyaksikan pendekatan kehidupan masyarakat tersebut dan melihat bagaimana mereka telah menjadi lebih bersepadu dalam negara.
“Ramai anggota masyarakat (Melayu/Islam) telah mencatat kejayaan yang amat baik… Tetapi, seperti mana-mana masyarakat Singapura, terdapat cabaran yang dihadapi.
“Tetapi isu-isu tersebut ditangani secara sistematik oleh kedua-dua masyarakat bersama dengan sokongan pemerintah, dan trajektorinya adalah sesuatu yang positif,” kata beliau.
Encik Teo berkongsi demikian kepada media dalam wawancara terakhirnya selaku penjawat politik di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 20 Mei.
Ini menyusuli pengumuman beliau tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 dan dijadual bersara selepas 33 tahun dalam dunia politik.
Menurut Encik Teo, beliau mempunyai hubungan erat dengan beberapa anggota masyarakat Melayu/Islam, termasuk asatizah dalam Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) apabila beliau bekerjasama dengan mereka untuk sama-sama membendung ancaman radikalisasi dan ekstremisme.
Beliau memahami bahawa adalah tidak mudah untuk hidup sebagai minoriti dalam sebuah masyarakat, dan pada masa yang sama juga, adalah lebih sukar untuk menjadi seorang wakil atau ketua masyarakat minoriti.
“Ini kerana sangat mudah bagi seseorang untuk cuba mengatasi anda dan berkata ‘anda melakukan ini, tetapi saya akan melakukan lebih banyak lagi’, dan anda mula mengalahkan satu sama lain. Jadi, sangat sukar untuk menjadi pemimpin masyarakat itu.
“Namun, perlu ada keseimbangan dan semua orang perlu hidup bersama. Jika setiap masyarakat mendesak, kita semua akan kerugian,” kata beliau.
Semasa wawancaranya itu, Encik Teo turut mengimbas kembali detik-detik penting dan kenangan manis yang telah membentuk kerjaya politiknya sepanjang lebih tiga dekad.
Encik Teo merupakan Panglima Tentera Laut sebelum mengundurkan diri daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk menceburi dunia politik pada 1992.
Selama 33 tahun dalam kerjaya politiknya, Encik Teo telah menerajui pelbagai portfolio, termasuk di Kementerian Sekitaran, Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pertahanan (Mindef) dan MHA.
Pada 2009, beliau dilantik Timbalan Perdana Menteri – jawatan yang digalasnya selama sedekad sehingga 2019 sebelum dilantik menjadi Menteri Kanan.
Beliau berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol dari 2001 hingga 2025.
Selain itu, Encik Teo telah menyelia Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG), Sekretariat Penyelarasan Keselamatan Nasional (NSCS), Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) serta Sekretariat Perubahan Iklim Nasional (NCCS) di bawah Pejabat Perdana Menteri.
Encik Teo berkata dalam kerjayanya sejak lebih tiga dekad lalu, manusia merupakan aspek paling penting dalam apa jua tugasan yang beliau lakukan – daripada penduduk dan sukarelawan di kawasan undinya hingga ke pegawai perkhidmatan awam dan rakan-rakan sejawatnya di luar negara.
“Dalam dunia politik di Singapura, anda seorang AP dahulu sebelum seorang menteri. Anda tidak boleh gubal dasar dan kemudian bersembunyi di menara gading anda.
“Anda perlu bertemu dengan penduduk anda, bertemu dengan orang… supaya anda tahu isu-isunya dan kesan dasar anda ke atas mereka,” kata beliau.
Misalnya, apabila pemerintah melancarkan skim insurans nasional MediShield Hayat, Encik Teo berkata beliau mendapat maklum balas daripada empat keluarga dalam satu malam, yang amat berterima kasih kerana mereka kini dilindungi bagi masalah perubatan yang dihadapi di bawah skim itu.
Bahkan semasa di MHA, Encik Teo begitu teliti dalam memastikan keselesaan pegawai seragam, termasuk dalam jenis but yang dipakai mereka dan alat komunikasi yang dibawa serta kamera yang dipasang pada tubuh – perkara asas tetapi penting dalam memastikan pegawai selesa dan dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan lancar, kata beliau.
Setiap keputusan dasar yang perlu dibuat adalah tidak mudah, dengan ada yang mengambil masa agak lama sebelum kesan dan hasilnya dapat dilihat, tetapi Encik Teo berkata penting bagi pemerintah untuk mengambil tindakan hari ini supaya isu-isu jangka panjang dapat ditangani awal.
Beliau memberi contoh antara perubahan yang telah dilakukan semasa di MOE, termasuk peralihan sistem institut vokasional Lembaga Latihan Kejuruan dan Perusahaan (VITB) kepada Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
“Kami memutuskan bahawa kami boleh membina kolej ITE dan membawa pendekatan yang berbeza kepada pelajar.
“(Kini) Setiap kali saya pergi ke kolej ITE, sama ada Central, East atau West, saya rasa gembira melihat pelajar mempunyai pelbagai kemudahan dan ia memberi mereka harapan untuk masa depan. Ini amat penting supaya setiap orang ada peluang,” kata beliau.
Mengenai rancangannya setelah ini, Encik Teo berkata beliau telah memberitahu Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bahawa beliau bersedia menyokong pasukan pemimpin generasi keempat (4G) dalam apa jua cara yang Encik Wong rasa sesuai.
“Matlamat saya adalah untuk melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan 4G berjaya kerana mereka adalah individu yang baik, berkebolehan, dan saya mahu mereka berjaya. Kami mahu mereka berjaya kerana kami mahu Singapura berjaya. Itu penting,” kata beliau.
“
“Ramai anggota masyarakat (Melayu/Islam) telah mencatat kejayaan yang amat baik… Tetapi, seperti mana-mana masyarakat Singapura, terdapat cabaran yang dihadapi. Tetapi isu-isu tersebut ditangani secara sistematik oleh kedua-dua masyarakat bersama dengan sokongan pemerintah, dan trajektorinya adalah sesuatu yang positif.”“
“Keputusan tidak pernah mudah dibuat kerana anda perlu mengimbangi pelbagai faktor berbeza dan ia menjejas kehidupan individu rakyat dan kepentingan mereka. Anda perlu memahami perkara itu dan mempertimbangkannya. Dalam dunia politik di Singapura, anda seorang Anggota Parlimen dahulu sebelum seorang menteri. Anda tidak boleh gubal dasar dan kemudian bersembunyi di menara gading anda.”“
“Sebagai Anggota Parlimen, apabila kami dipilih memasuki Parlimen, perkara paling penting adalah kita jujur dengan satu sama lain. Jika kita mahu adakan perbahasan, ia mesti berdasarkan kebenaran dan kejujuran. Itu penting kerana jika tidak, apakah asas perbahasan? Itulah sebabnya kebenaran, kejujuran, integriti di Parlimen apabila kita berkata sesuatu antara satu sama lain adalah sangat penting.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg