Pemerintah sedang mengkaji kemungkinan untuk membina laluan kereta api baru yang boleh memberi perkhidmatan kepada kawasan di barat dan barat laut Singapura, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Dinamakan Laluan Tengah buat masa kini, laluan MRT baru itu bakal menghubung ke kawasan seperti Tengah, Bukit Batok, Queensway dan Bukit Merah.
Ia juga sedang mengkaji membina laluan kereta api baru – Laluan Seletar – yang telah dikajinya sejak 2019, yang boleh berhubung ke kawasan seperti Woodlands, Sembawang, Sengkang West, Serangoon North, Whampoa dan Kallang.
Mengumumkan rancangan itu semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 5 Mac, Encik Chee berkata kajian juga sedang dilakukan untuk menghubungkan kedua-dua laluan yang berpotensi bertemu di Greater Southern Waterfront.
“Berdasarkan penilaian awal Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), kedua-dua laluan rel berpotensi ini boleh bertemu di Greater Southern Waterfront.
“Jika kajian mengesahkan bahawa kedua-dua laluan MRT baru ini boleh dilaksanakan, kami menjangka untuk menyiapkannya secara berperingkat mulai 2040-an.
“Ia akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 isi rumah yang akan berada dalam jarak 10 minit berjalan kaki dari laluan gabungan baru ini,” kata Encik Chee.
Sementara itu, cadangan untuk melanjutkan Laluan Daerah Jurong (JRL) untuk bersambung dengan Laluan Circle (CCL) telah diberi kebenaran, sedekad selepas ia dicadangkan, tambahnya.
Dipanggil Lanjutan West Coast, projek rel itu akan menambah baik kesalinghubungan di bahagian barat dengan memanjangkan JRL supaya stesen Pandan Reservoir bersambung dengan Laluan Rentas Pulau (CRL) di stesen West Coast pada penghujung 2030-an.
Rancangannya adalah untuk memanjangkan JRL lebih jauh dari stesen West Coast untuk menyambung dengan CCL di stesen Kent Ridge menjelang awal 2040-an.
Selain menyokong pembangunan masa depan, Encik Chee berkata Lanjutan West Coast akan mengurangkan sehingga 20 minit perjalanan dari barat Singapura ke pusat bandar.
Ia juga akan menambah daya tahan keseluruhan rangkaian rel dengan menyediakan pilihan perjalanan alternatif.
Dicadangkan pada 2015, rancangan awal untuk lanjutan itu adalah untuk memanjangkan JRL untuk berhubung dengan CCL di stesen Haw Par Villa.
Bagaimanapun, Kent Ridge didapati menjadi titik sambungan yang lebih optimum selepas menilai faktor seperti unjuran permintaan pengangkutan dan perkembangan masa depan, kata LTA.
Perbincangan tentang keperluan untuk sambungan sedemikian telah dibangkitkan semula selepas kerosakan besar Laluan Timur-Barat pada September 2024 melumpuhkan perkhidmatan kereta api antara stesen Jurong East dengan Buona Vista selama enam hari.
LTA berkata bahagian sambungan antara Pandan Reservoir dan West Coast akan berada di atas tanah. Tetapi sama ada selebihnya akan berada di atas atau di bawah tanah akan bergantung kepada kajian kebolehlaksanaan selanjutnya.
Dalam tempoh terdekat, Encik Chee berkata stesen atau laluan MRT baru akan ditambah setiap tahun dari sekarang hingga penghujung dekad. JRL – laluan MRT ketujuh Singapura – dijangka dibuka secara berperingkat dari 2027 hingga 2029.
CRL, laluan kereta api kelapan dan terpanjang di Singapura, dijangka dibuka secara progresif mulai 2030, menghubungkan hab utama seperti Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan daerah Changi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg