Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hong Tat: Kadar belanja isi rumah bagi pengangkutan awam kuncup pada 2023

Kadar pendapatan yang dibelanja turun daripada 3.1% pada 2014 kepada 2.4% pada 2023 bagi isi rumah berpendapatan rendah
Oct 16, 2024 | 6:05 PM
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata di Parlimen pada 16 Oktober bahawa kesan semakan tambang ke atas kemampuan menyaksikan kadar sedemikian menguncup bagi isi rumah. Malah bagi isi rumah berpendapatan rendah, kadar pendapatan isi rumah yang dibelanjakan untuk pengangkutan awam bagi golongan ini menguncup daripada 3.1 peratus pada 2014 kepada 2.4 peratus pada 2023.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata di Parlimen pada 16 Oktober bahawa kesan semakan tambang ke atas kemampuan menyaksikan kadar sedemikian menguncup bagi isi rumah. Malah bagi isi rumah berpendapatan rendah, kadar pendapatan isi rumah yang dibelanjakan untuk pengangkutan awam bagi golongan ini menguncup daripada 3.1 peratus pada 2014 kepada 2.4 peratus pada 2023. - Foto ST

Kadar pendapatan isi rumah yang dibelanjakan untuk pengangkutan awam menguncup pada 2023, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.

Berucap di Parlimen pada 16 Oktober, Encik Chee berkata kesan semakan tambang ke atas kemampuan menyaksikan kadar sedemikian menguncup bagi isi rumah.

Malah, beliau berkata bagi isi rumah berpendapatan rendah, kadar pendapatan isi rumah yang dibelanjakan untuk pengangkutan awam bagi golongan ini menguncup daripada 3.1 peratus pada 2014 kepada 2.4 peratus pada 2023.

Penguncupan serupa turut dilihat bagi pengguna pengangkutan awam secara umum, dengan kadar ini turun daripada 2.2 peratus pada 2014 kepada 1.7 peratus pada 2023, kata beliau, sambil menambah kadar demikian dijangka kekal serupa bagi 2024.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) mengenai kesan pelarasan tambang ke atas kemampuan.

“Di Singapura, Majlis Pengangkutan Awam (PTC) telah mengambil pendekatan dengan memastikan bahawa semakan tambang dibuat secara beransur agar kesan ke atas penumpang lebih terurus.

“PTC memantau kesan pelarasan tambang ke atas kemampuan menggunakan Penanda Kemampuan Pengangkutan Awam, yang mengukur kadar pendapatan isi rumah yang dibelanjakan pada pengangkutan awam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ekoran kenaikan tambang 6 peratus dalam Semakan Tambang (FRE) 2024 yang diumumkan PTC – badan yang mengawal selia tambang dan perkhidmatan pembayaran tiket – pada September 2024.

FRE itu menyaksikan tambang pengangkutan awam bagi orang dewasa yang menggunakan kad tambang naik 10 sen bagi setiap perjalanan mulai 28 Disember 2024.

Ini bermakna tambang perjalanan bagi golongan ini dari stesen MRT Raffles Place ke Tampines misalnya akan naik kepada $2.02 berbanding $1.92 sekarang.

Tambang konsesi bagi warga emas, pelajar, golongan kurang upaya dan pekerja bergaji rendah yang menggunakan kad tambang pula akan naik 4 sen bagi setiap perjalanan. Golongan ini meliputi sekitar 2 juta pengguna pengangkutan awam.

Kenaikan 6 peratus ini, kata PTC, adalah sekitar sepertiga lebih rendah daripada 18.9 peratus peningkatan yang dibenarkan bagi 2024.

PTC menjelaskan penyesuaian pada 2024 didorong oleh perkembangan inflasi teras dan gaji tetapi disederhanakan sebahagiannya dengan penurunan harga tenaga daripada kemuncak harga yang dicatatkan pada 2022.

Menjawab pertanyaan Cik Poh Li San (GRC Sembawang), Encik Chee juga menjelaskan kenaikan tambang Singapura berbanding bandar-bandar lain.

Cik Poh bertanya tentang perbandingan kenaikan tambang di sini dengan bandar lain yang mempunyai sistem pengangkutan awam serupa seperti Hong Kong sepanjang empat tahun sejak kebelakangan ini.

Encik Chee berkata bandar-bandar lain mempunyai struktur tambang dan model hasil berbeza.

Ini termasuk pengendali pengangkutan awam yang bergantung pada perniagaan seperti pemaju hartanah atau pengurusan ruang komersial untuk menokok pendapatan.

Beliau menjelaskan: “Kami dapat melihat beberapa bandar seperti Hong Kong dan London yang telah menyemak tambang setiap tahun, manakala bandar lain seperti Seoul mengambil pendekatan lain.

“Ia tidak menyemak tambang selama beberapa tahun sebelum membuat peningkatan ketara dalam satu hingga dua tahun sebelum ini untuk mengambil kira kos operasi lebih tinggi.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg