Mulai 28 Disember, tambang pengangkutan awam bagi orang dewasa yang membayar menggunakan kad tambang akan naik 10 sen bagi setiap perjalanan, jelas Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada 9 September menyusuli langkah menyemak tambang tahunan mereka.
Kenaikan tambang itu berlaku empat tahun berturut-turut sejak 2021. Pada 2021, tambang bagi orang dewasa naik sehingga 4 sen, manakala pada 2022, ia naik sehingga 5 sen, dan pada tahun lepas, naik sehingga 11 sen.
Berita Harian jelaskan bagaimana tambang pengangkutan awam ditentukan dan sebab-sebab ia naik lagi.
1. Apakah kenaikan tambang bagi 2024, dan mengapakah tambang naik?
Mulai 28 Disember, tambang bagi orang dewasa yang menggunakan kad tambang akan naik 10 sen, manakala kenaikan tambang bagi pemegang kad konsesi adalah sebanyak 4 sen. Ini bermakna terdapat 6 peratus kenaikan dalam kos perjalanan melalui bas dan kereta api.
Semakan 2024 ini sebahagian besarnya didorong oleh perkembangan inflasi teras dan kadar gaji, tetapi disederhanakan sebahagiannya dengan penurunan harga tenaga, jelas PTC.
PTC telah mengehadkan kenaikan tambang untuk mengurangkan kesan terhadap para pengguna pengangkutan awam. Sebagai contoh, pada 2024, tambang boleh meningkat sehingga 18.9 peratus, ini merangkumi penyesuaian 3.3 peratus bagi 2024 dan kenaikan 15.6 peratus yang ditangguhkan dari semakan pada 2023.
Bagaimanapun, PTC menjelaskan bahawa tiada perubahan akan dilakukan pada tambang yang dibayar secara tunai, pas perjalanan bulanan bagi dewasa, dan pas-pas konsesi.
2. Mengapa tambang perlu disemak setiap tahun?
Sejak 1998, tambang pengangkutan awam telah disemak menggunakan formula penyesuaian tambang.
Ini bagi mengimbangi keperluan untuk mengekalkan sistem kewangan yang mampan, sambil memastikan pelarasan tambang kekal berpatutan, kata PTC.
Formula penyesuaian tambang tersebut mengambil kira pertukaran dalam gaji pekerja, kos tenaga serta kos operasi perkhidmatan pengangkutan awam.
PTC perlu menyesuaikan tambang setiap tahun bersesuaian dengan perubahan dalam kos operasi. Ini memastikan pihak pengendali mampan dari segi kewangan supaya mereka mampu menyediakan perkhidmatan yang cekap, sambil membayar pekerja mereka gaji yang kompetitif.
3. Bagaimana harga tambang ditetapkan?
Ia ditetapkan menggunakan formula penyesuaian tambang yang disemak setiap lima tahun supaya ia kekal relevan dan terbuka pada perubahan yang berlaku dalam sektor pengangkutan awam serta persekitaran luar.
Ia mengambil kira faktor-faktor kos dalam pengangkutan awam, seperti operasi am, kos buruh dan tenaga.
Pada 2023, PTC menggunakan formula tambang yang dikemas kini.
Selain daripada mengambil kira perubahan dalam inflasi teras, gaji dan harga tenaga tahunan, perubahan utamanya adalah pada cara ia menggabungkan “faktor pelarasan kapasiti” tetap sebanyak 1.1 peratus setiap tahun untuk mengambil kira kos yang berkaitan dengan pengembangan sistem. Ini termasuk perhubungan yang lebih baik dan masa perjalanan yang lebih pantas menerusi pembukaan Laluan MRT Thomson-East Coast, kata PTC. Komponen tetap ini adalah berdasarkan penambahbaikan kapasiti sebenar dan terancang pada rangkaian rel dari 2020 hingga 2026.
Formula tersebut akan digunapakai sehingga 2027.
Bagaimanapun, Program Peningkatan Khidmat Bas (BCEP) yang baharu diumumkan pada Julai tidak akan dipertimbangkan dalam semakan tambang sebelum 2028. BCEP tersebut mendapat sehingga $900 juta peruntukan selama lapan tahun untuk menambah baik rangkaian bas.
Ketika ditanya bagaimana kos BCEP akan ditanggung, Ketua Eksekutif PTC Leow Yew Chin mengatakan di sidang media pada 9 September bahawa tambang tersebut masih dikumpulkan supaya akan ada sedikit pemulihan kos, dan subsidi Pemerintah tidak akan merangkumi keseluruhan program tersebut. Peningkatan kapasiti daripada BCEP dan pengurangan kapasiti daripada usaha untuk merasionalisasi perkhidmatan bas lain akan diambil kira secara menyeluruh mulai 2028 apabila formula tambang baru ditetapkan.
Perubahan ketara lain dalam formula tersebut ialah mempertimbangkan keuntungan produktiviti yang dibuat oleh pengendali pengangkutan awam.
Daripada “pengeluaran produktiviti” dalam formula sebelumnya yang bertujuan berkongsi keuntungan produktiviti pengendali dengan penumpang, ia telah diubahsuai kepada “sumbangan produktiviti” melalui pengurangan 0.1 peratus kepada pelarasan tambang.
Ia adalah sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengendali. Dengan kata lain, pihak pengendali dijangka menebus pengurangan 0.1 peratus dalam hasil tambang dengan meningkatkan kecekapan kos mereka.
PTC juga mengehadkan pelarasan tambang yang dibenarkan untuk menghalang pihak pengendali daripada menyalurkan keseluruhan kos mereka kepada penumpang.
4. Mengapakah Pemerintah tidak boleh membatalkan kenaikan tambang yang tertunda?
PTC meletakkan had pada pelarasan tambang yang diberikan setiap tahun, sambil tetap mengikuti perubahan kos dalam industri.
Akibatnya, PTC menangguhkan sebahagian pelarasan tambang untuk meminimumkan kesan kenaikan tambang yang mendadak kepada orang ramai.
Kenaikan tambang tertunda ini menggambarkan kenaikan kos yang sedang dialami oleh sistem pengangkutan awam yang belum diambil kira dalam harga tambang dan perlu ditampung oleh subsidi tambahan daripada Pemerintah. Mengabaikan bermakna akan wujud jurang kekal antara tambang dan kos.
Pada Oktober 2023, Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat menolak usul para Anggota Parlimen di Parlimen untuk membekukan kenaikan tambang pada masa hadapan atau membatalkan kenaikan tambang tertunda, dengan menyifatkan langkah ini sebagai “tidak kukuh” dan “populis”.
Beliau mengatakan bahawa usul tersebut akan memperbesar jurang pembiayaan sedia ada untuk bas dan kereta api, dan meningkatkan kadar cukai yang perlu dibayar pada masa hadapan.
5. Bagaimanakah kadar tambang pengangkutan awam Singapura dibandingkan dengan negara-negara lain?
Di Singapura, penumpang dewasa membayar antara $1.19 (untuk perjalanan sehingga 3.2km) dan $2.47 (untuk perjalanan sehingga 40.2 km) bagi kedua-dua perkhidmatan bas dan MRT mulai 28 Disember.
Sistem Pengangkutan Awam Hong Kong juga menggunakan tambang berdasarkan jarak, yang berharga antara HK$4.90 (82 sen Singapura) dengan HK$33.80 untuk perjalanan menggunakan kereta api dan HK$4.50 hingga HK$10.10 untuk perjalanan menggunakan bas.
Di Seoul, Korea Selatan pula, tambang kereta api juga berdasarkan jarak dan ia bermula dari 1,400 won ($1.36) bagi 10km pertama, sebelum dinaikkan kepada 100 won bagi setiap 5km (sehingga 50km), kemudian 100 won lagi bagi setiap 8km (sehingga 50km). Tambang bas Seoul pula berharga antara 1,200 won dengan 3,000 won bergantung kepada perkhidmatan bas yang digunakan.
Di Tokyo, Jepun pula, tambang kereta api berharga antara ¥180 dengan ¥330 (S$1.60 sehingga S$3) bergantung pada jarak perjalanan, manakala bas mengenakan tambang tetap sebanyak ¥210.
Pengangkutan awam di Sydney, Australia, pula menggunakan caj berasaskan jarak, dengan tambang pada waktu sibuk berharga antara A$4.20 dengan A$10.33 ($3.70 hingga $9.10) bagi perkhidmatan kereta api dan A$3.20 hingga A$5.60 bagi perkhidmatan bas.
6. Apakah bantuan kepada orang awam bagi menangani perbelanjaan pengangkutan awam?
Pemerintah akan menyediakan baucar pengangkutan awam $60 kepada setiap isi rumah berpendapatan rendah. Setiap isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga $1,800 layak mendapat baucar tersebut.
Secara berasingan, PTC akan membenarkan pelajar yang bakal menamatkan pengajian terus membayar tambang konsesi selama empat bulan untuk menyokong mereka sebelum mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan.
Ini akan dimanfaatkan sekitar 75,000 pelajar dari institusi seperti Sekolah Menengah, Maktab Rendah, Institut Pendidikan Teknikal dan Politeknik setiap tahun.
Tambahan lagi, para pekerja bergaji sehingga $3,000 sebulan akan layak mendapat tambang konsesi hibrid bagi pekerja bergaji rendah mulai 28 Disember, meningkat daripada gaji maksimum $2,500 sebelum ini. Bantuan tersebut membolehkan lebih ramai para pekerja mendapat manfaat daripada konsesi-konsesi tersebut.
Dengan hanya $96, ia membolehkan perjalanan tanpa had pada semua jenis pengangkutan awam kecuali bas ekspres.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg