Topik diikuti
Pergi ke BHkuHong Tat: Kakitangan awam harus lebih fokus cari penyelesaian
Hong Tat: Kakitangan awam harus lebih fokus cari penyelesaian
Hong Tat: Kakitangan awam harus lebih fokus cari penyelesaian
Pegawai awam seharusnya lebih fokus kepada penyelesaian masalah dan cara melaksanakannya, bukannya terlalu terikat dengan alasan mengapa sesuatu tidak boleh dilakukan, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat pada 19 Mei.
Beliau turut menggalakkan kakitangan awam dan perkhidmatan awam untuk untuk berani mengambil risiko dengan idea baharu dan sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan rakan kongsi yang membawa pelbagai perspektif berharga.
“Apabila berhadapan dengan masalah rumit, langkah pertam ialah jangan sesekali gentar; jangan biarkan masalah itu menawan semangat kita,” katanya pada Festival Sains, Teknologi dan Kejuruteraan Perkhidmatan Awam edisi ketiga.
“Kita tidak boleh berundur semata-mata kerana jawapan belum tersedia di peringkat awal... atau lebih teruk, kita sendiri yang membina batasan mental dengan andaian bahawa inisiatif kita tidak akan direstui.”
Berucap di hadapan kira-kira 1,200 kakitangan agensi kerajaan dan pelajar, beliau berkata: “Hentikan tanggapan bahawa kita hanyalah ‘roda kecil’ dalam sistem yang tidak mempunyai kuasa atau identiti. Realitinya tidak begitu.
“Jika peraturan sedia ada menghalang inisiatif yang akan memberi manfaat kepada negara dan rakyat, kita boleh meminda peraturan itu. Jika Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak lagi relevan atau sesuai, kita perlu mengubahnya.”
Sebagai langkah alternatif, Encik Chee menyatakan bahawa pengecualian yang wajar boleh dimohon, dan permintaan bajet atau tenaga kerja tambahan boleh dipertimbangkan.
Beliau menambah, komitmen untuk mengkaji semula peraturan agar lebih mesra perniagaan telah menjadi keutamaannya di setiap kementerian yang beliau terajui, justeru kementeriannya sentiasa menyokong usaha ini.
Sejak Encik Chee menyandang jawatan Menteri Pembangunan Negara pada Mei 2025, kementerian telah menyelaraskan beberapa proses, termasuk pengambilan pekerja binaan asing, penyerahan pelan bangunan, perolehan produk penyelidikan, dan kriteria kualiti pembinaan.
Dalam ucapannya, Encik Chee turut mengetengahkan tiga peranan kritikal sains, teknologi, dan kejuruteraan dalam kerja kementeriannya.
Tiga fokus utama ini adalah: membangunkan struktur yang lebih tinggi, lebih dalam, dan lebih pintar; menambah baik perancangan dan penyampaian perkhidmatan awam; serta memajukan kelestarian dan daya tahan terhadap ancaman perubahan iklim.
Encik Chee menggalakkan kakitangan awam untuk “mengambil risiko yang dihitung, mencuba idea baharu, dan tidak takut untuk melakukan kesilapan sebagai sebahagian daripada proses.”
Mengakui betapa sukarnya nasihat itu dipraktikkan, beliau berkata: “Sebagai sebuah sistem, sifat berhati-hati adalah perlu dan munasabah, memandangkan kita memegang tanggungjawab dan akauntabiliti sebagai pegawai awam.”
Namun, Encik Chee menyimpulkan, kehati-hatian yang melampau boleh menghalang kakitangan awam daripada berinovasi.
