Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hong Tat: Operasi pembersihan tumpahan minyak selaras piawai antarabangsa

Jul 2, 2024 | 8:40 PM
Para pekerja membersihkan kesan minyak yang terdapat di permukaan lebih sukar dicapai di Pantai East Coast pada 28 Jun.
Para pekerja membersihkan kesan minyak yang terdapat di permukaan lebih sukar dicapai di Pantai East Coast pada 28 Jun. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kaedah dan operasi pembersihan Singapura semasa insiden tumpahan minyak Terminal Pasir Panjang baru-baru ini dipandu oleh pakar antarabangsa, dan pihak berkuasa di sini bekerjasama rapat dengan syarikat dan kontraktor yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam memberi respons bagi tumpahan minyak.

Dalam jawapannya kepada anggota parlimen (AP) yang mengajukan soalan mengenai perkara itu, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata memanfaatkan sumber dan aset pelbagai rakan kongsi berbeza adalah respons yang paling berkesan.

Encik Chee telah menyampaikan ucapan kementeriannya mengenai isu tersebut, bersama-sama Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, serta Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Encik Chee akur pada awalnya, agak mencabar untuk mengesahkan lokasi tompok minyak yang besar, meskipun Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) menggunakan ‘pendekatan pelbagai serampang’, termasuk dron, pengimejan satelit dan penampakan dari kapal di laut serta kakitangan di darat.

Hujan lebat pada 14 Jun setelah kapal pengorek berbendera Belanda, Vox Maxima, melanggar kapal tangki, Marine Honor, di Terminal Pasir Panjang, yang mengakibatkan tumpahan 400 tan minyak itu, menyebabkan MPA dan kontraktornya tidak dapat melihat tompok minyak pada beberapa jam pertama setelah kejadian.

Beliau berkata pembendung minyak yang terdapat di kapal peronda MPA tidak sesuai digunakan bagi tumpahan minyak berskala besar itu.

Dalam kes sedemikian, kapal peronda berperanan menyembur cecair pemisah untuk memecahkan minyak yang tertumpah.

Jika tidak, minyak akan mengeras dan menjadi lebih sukar dibersihkan, kata Encik Chee.

Beliau menambah bahawa pasukan respons di kapal peronda MPA telah mengikut prosedur yang ditetapkan dengan betul, selaras dengan amalan antarabangsa.

“Kaedah dan operasi pembersihan kami dipandu oleh pakar antarabangsa... dan agensi kami bekerjasama rapat dengan syarikat dan kontraktor khusus yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam memberi respons bagi tumpahan minyak,” tambahnya.

Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) telah bertanya sama ada mempunyai keupayaan sendiri untuk menangani insiden tumpahan minyak berskala besar, seperti yang telah berlaku, merupakan pilihan lebih baik daripada mendapatkan perkhidmatan sumber luar.

Encik Chee menjelaskan bahawa MPA ada keupayaan sendiri, sambil menambah ia adalah merupakan salah tanggap untuk memikirkan bahawa pihak berkuasa menggunakan khidmat luar sepenuhnya untuk menangani kejadian limpahan minyak itu.

“Kami mahu lakukan dua perkara. Pertama, mempunyai kerjasama yang baik dengan jiran kita supaya sekiranya berlaku insiden sedemikian, terdapat tindak balas yang diselaraskan.

“Kedua, kami juga mahu bekerjasama dengan industri kerana sebahagian kontraktor ini merupakan pakar khusus.

“Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk tidak melihat ini sebagai situasi perduaan, sama ada segala-galanya perlu dilakukan dengan keupayaan sendiri sahaja, atau semuanya perlu menggunakan sumber luar. Saya rasa kita perlukan kedua-duanya,” ujar Encik Chee.

Dalam pada itu, Cik Fu berkata meskipun usaha pembersihan dijangka memakan masa tiga bulan, tempoh tersebut mungkin berbeza bagi setiap kawasan terjejas.

Misalnya, One Degree 15 Marina dan Marina di Keppel Bay telah dibuka semula, manakala kawasan pantai yang dikepung di Sentosa, Pantai East Coast dan Kepulauan Selatan pula akan dibuka secara berperingkat untuk kegiatan berasaskan darat.

Memberi maklumat terkini tentang peranan sukarelawan dalam usaha pembersihan tersebut pula, Encik Lee berkata sehingga 1 Julai, lebih 700 sukarelawan telah dikerahkan untuk meronda Pantai East Coast dan Pantai West Coast.

Sukarelawan ini datang dari organisasi termasuk Majlis Kebersihan Awam dan Friends of Marine Park.

Secara keseluruhan, lebih 1,500 individu telah mendaftar untuk membantu usaha pengurusan tumpahan minyak itu.

Ini dengan tambahan 2,000 individu telah mendaftarkan minat untuk diberi kemas kini mengenai usaha berterusan dan peluang sukarelawan masa depan, kata Encik Lee.

“Kaedah dan operasi pembersihan kami dipandu oleh pakar antarabangsa... dan agensi kami bekerjasama rapat dengan syarikat dan kontraktor khusus yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam memberi respons bagi tumpahan minyak... Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk tidak melihat ini sebagai situasi perduaan, sama ada segala-galanya perlu dilakukan dengan keupayaan sendiri sahaja, atau semuanya perlu menggunakan sumber luar. Saya rasa kita perlukan kedua-duanya.”
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg