Kerja membersihkan tumpahan minyak di Pantai East Coast terbukti satu cabaran yang kompleks walaupun operasi pembersihan telah beralih ke fasa kedua di kawasan itu.
Ini disebabkan operasi pembersihan fasa kedua ini akan tertumpu pada kawasan yang lebih sukar diakses serta keadaan cuaca dan arus air laut.
Proses pembersihan itu juga perlu diteliti supaya kawasan yang sudah dibersihkan tidak dicemari dengan minyak bergerak.
Memberi maklumat terkini mengenai operasi pembersihan pada 28 Jun, jurucakap Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Encik Mohamed Farook Ghani, berkata:
“Kami bergerak bahagian demi bahagian untuk memastikan pembersihan setiap kawasan dilakukan dengan baik kerana kami tidak mahu sebarang pergerakan minyak menjejaskan kawasan lain.”
Singapura sudah memasuki fasa kedua operasi pembersihan selama seminggu selepas tumpahan minyak berlaku dan mula dikesan pada 14 Jun.
Untuk fasa kedua kerja pembersihan di Pantai East Coast, ia bermula daripada kawasan B sebelum beralih ke kawasan C.
Menurut Encik Farook, yang merupakan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kebersihan Awam (NEA), fasa kedua lebih kompleks berbanding fasa pertama disebabkan kesukaran dalam membersihkan tempat yang sudah terperangkap minyak.
“Ia agak kompleks kerana kebanyakan kawasan ini tidak boleh diakses dan amat berbahaya.
“Disebabkan itu kami memerlukan kakitangan yang terlatih dan peralatan khusus untuk melaksanakan pembersihan. Selain daripada mengeluarkan minyak yang tersekat di permukaan, kami harus pastikan ia tidak merebak.
“Kami juga perlu mengatur untuk mengumpul minyak menggunakan pelampung penyerap minyak,” kongsi Encik Farook mengenai proses pembersihan fasa kedua.
Untuk membersihkan kawasan yang sukar seperti benteng batu, pemecah ombak dan minyak yang tersekat di bawah tanah, ia memerlukan peralatan khusus, seperti bot khas dipanggil shallow draft craft, pam air pemadam api, dan alat pencuci tekanan tinggi.
Shallow draft craft ialah sejenis bot kecil yang akan membawa dua mesin penyembur air berbeza iaitu pam air pemadam api dan alat pencuci tekanan tinggi.
Penggunaan mesin itu bergantung pada kesukaran membersihkan kesan minyak di mana unit cucian tekanan tinggi akan digunakan.
Berbeza dengan fasa pertama, yang menyaksikan operasi pembersihan memerlukan kepada jumlah pekerja yang besar, fasa kedua pula sebaliknya.
“Disebabkan pembersihan kali ini memerlukan pekerja terlatih (dalam penggunaan alat pembersihan), jumlah pekerja yang diperlukan tidak ketara seperti di fasa pertama,” ujar Encik Farook.
Beliau berkata pekerja pembersihan perlu bijak meramal sudut yang sesuai untuk menyembur air supaya minyak tidak akan terkena wajah pekerja pembersihan ketika cuaca angin kuat dan juga merebak di laut.
Mereka juga dinasihatkan supaya sentiasa minum air dan mendapatkan rehat secukupnya sebagai langkah keselamatan.
Operasi pembersihan minyak dijangka mengambil beberapa bulan.
Dalam sidang media pada 24 Jun, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata operasi itu dijangka mengambil masa tiga bulan sebelum kawasan pantai yang terjejas boleh dibuka semula kepada awam.
Menurutnya, mereka perlu menghapuskan minyak yang ada di celah-celah batu dengan betul dan memastikan keselamatan pekerja dijaga di kawasan tidak rata dan licin dan ini akan mengambil masa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg