Syarikat teknologi pembinaan yang bersedia meneroka inovasi, menguji dan menggunakan penyelesaian robotik serta automasi akan menerima lebih banyak sokongan, umum Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Pemaju hartanah dan kontraktor juga akan dapat merujuk senarai rakan teknologi yang disahkan bagi projek JTC serta menggunakan teknologi ini dengan lebih yakin, katanya pada pameran teknologi pembinaan ConTech@PDD di Daerah Digital Punggol (PDD) pada 17 Julai.

Bagi menggalakkan inovasi, yuran sewa bagi sandbox – iaitu ruang untuk menguji teknologi – tidak dikenakan.

Antara langkah lain, sokongan akan turut diberikan bagi membantu penyelesaian syarikat pemula yang terbukti berkesan, dimanfaatkan industri selepas diuji.

Encik Chee berkata kemajuan besar telah dicapai melalui penghantaran digital bersepadu dan penggunaan kaedah pembinaan pasang siap.

“Mengikut keluasan lantai kasar, pembangunan baharu yang menggunakan kaedah ini telah meningkat daripada sekitar 20 peratus pada 2018 kepada kira-kira 70 peratus pada 2025,” katanya.

Penghantaran digital bersepadu ialah ruang kerja data digital yang menghubungkan pemaju, kontraktor dan pembina.

“Melihat ke masa hadapan, kita mempunyai rangkaian projek pembangunan yang kukuh, termasuk flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Long Island di East Coast dan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, yang mana kami akan terus menggunakan peralatan ini serta teknologi baharu yang lain,” kata Encik Chee.

Beliau menambah, dengan teknologi baharu seperti robotik autonomi dan kecerdasan buatan (AI), sektor persekitaran binaan mesti terus melangkaui batasan agar dapat membina dengan lebih baik, lebih pantas dan lebih mampan.

Pemerintah akan terus berkongsi risiko inovasi melalui projek perintis dan sandbox, termasuk menerusi Hab Inovasi Persekitaran Terbina (BEIH), sebuah ruang bagi mempamerkan penyelesaian baharu di kampus Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) di kampus Braddell.

BCA akan mengecualikan yuran sewa ruang sandbox teknologi di BEIH selama dua tahun bermula Julai untuk meggalakkan syarikat melakukan inovasi.

Pada peringkat awal, pengecualian itu diberikan kepada pasukan yang menguji penyelesaian robotik dan automasi.

Yuran sewa bernilai sekitar $15,000 hingga $100,000 bagi tempoh sandbox tersebut, yang dijangka selama tiga hingga enam bulan.

Pengecualian itu boleh diperluaskan kepada bidang lain sekiranya terdapat permintaan terhadap jenis teknologi lain, ujarnya.

JTC pula akan membuka sandbox di Kawasan Inovasi Jurong (JID) untuk menguji teknologi pembinaan kendiri berskala besar serta sistem peralatan pembinaan berat. Sejak penghujung 2025, penggunaan robot diwajibkan dalam tender pembinaan.

Sejak dilancarkan pada 2023, BEIH telah menganjurkan lebih 170 sesi pertunjukan teknologi dan tapak ujian teknologi, termasuk kira-kira 60 penyelesaian robotik dan automasi.

Pemerintah juga bertekad menyediakan laluan jelas bagi membolehkan teknologi yang terbukti berkesan digunakan secara komersial, kata Encik Chee.

Dalam beberapa bulan akan datang, JTC akan melancarkan tender Kerjasama Perolehan Inovatif (IPP) bagi teknologi seperti robot pemeriksaan tapak pembinaan dan kren menara kawalan jauh.

Diperkenalkan pada 2025, pendekatan perolehan itu mengurangkan halangan pentadbiran dan membolehkan syarikat memperluaskan inovasi bagi penggunaan komersial tanpa memerlukan rekod prestasi sedia ada.

Encik Chee berkata peraturan perlu seiring dengan inovasi dan penggunaan teknologi dalam sektor persekitaran terbina, selain membantu perniagaan menjimatkan kos dan masa.

“Jika terdapat peraturan lapuk yang menimbulkan kerenah pentadbiran yang tidak perlu, sila maklumkan kepada kami,” katanya.