Topik diikuti
Pergi ke BHkuHong Tat: S’pura, China perlu kukuh kerjasama dalam peralihan hijau, AI dan penuaan penduduk
Hong Tat: S’pura, China perlu kukuh kerjasama dalam peralihan hijau, AI dan penuaan penduduk
Hong Tat: S’pura, China perlu kukuh kerjasama dalam peralihan hijau, AI dan penuaan penduduk
Singapura dan China perlu memperkukuh kerjasama dalam tiga bidang utama bagi menangani cabaran sejagat yang dikongsi bersama, iaitu perubahan iklim, kemajuan teknologi dan perubahan demografi, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 6 Julai.
Berucap di Forum Singapura-China di Hotel Fairmont Singapore, anjuran akhbar bahasa Cina SPH Media, Lianhe Zaobao, beliau berkata bidang tersebut meliputi sektor peralihan hijau, kecerdasan buatan (AI) dan robotik serta isu penuaan penduduk.
Forum yang diperkenalkan sejak 2017 itu menghimpunkan pemimpin politik, perniagaan dan akademik dari Singapura dan China bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama.
Encik Chee menambah tiada negara mempunyai semua jawapan atau keupayaan serta sumber untuk bertindak bersendirian.
Dalam semangat itu, Singapura dengan China boleh terus memperluaskan serta memperdalam kerjasama sedia ada dengan berpaksikan asas kukuh yang telah dibina oleh generasi terdahulu.
“Kerjasama dua hala ini tidak seharusnya terhad kepada sempadan negara. Pengajaran yang diraih dan penyelesaian yang dibangunkan boleh dimanfaatkan oleh rantau ini dan juga masyarakat antarabangsa,” katanya.
Mengenai peralihan hijau, Encik Chee menyifatkannya sebagai antara tugas paling mendesak yang perlu ditangani masyarakat dunia, sambil menegaskan perubahan iklim menjejas semua negara tanpa mengira kedudukan geografi, sumber atau tahap pembangunan.
“Oleh itu, kita memikul tanggungjawab bersama, terhadap satu sama lain dan generasi akan datang, untuk membina dunia yang lebih mampan,” katanya sambil menambah mempercepatkan peralihan hijau juga akan mengukuhkan daya tahan tenaga.
Beliau menegaskan usaha tersebut bukan sekadar tanggungjawab sesebuah negara kerana kerjasama antarabangsa akan menjadi semakin penting apabila permintaan terhadap sumber tenaga yang boleh dipercayai dan mampan terus meningkat.
Sehubungan itu, katanya, Singapura mempunyai banyak perkara yang boleh dipelajari daripada China dalam bidang tersebut.
Menurut Encik Chee, China bukan sahaja muncul sebagai peneraju dunia dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih, malah berada di barisan hadapan dalam pembangunan tenaga nuklear, termasuk reaktor modular kecil.
Keupayaan China dalam teknologi tenaga solar, angin dan sistem penyimpanan tenaga bateri juga boleh membantu mengukuhkan daya tahan tenaga serantau serta menyokong usaha penyahkarbonan menerusi inisiatif seperti Grid Kuasa Asean.
Pada masa yang sama, beliau berkata Singapura boleh menyumbang kepakarannya dalam perancangan bandar mampan dan pembangunan bersepadu.
Ini membolehkan kedua-dua negara membangunkan penyelesaian praktikal yang menyokong matlamat iklim masing-masing, di samping menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan untuk rantau ini.
Menyifatkan China sebagai “peneraju dunia AI, robotik dan perkilangan pintar”, Encik Chee berkata negara itu telah melaksanakan teknologi tersebut secara meluas dalam sektor pembinaan, logistik dan prasarana bandar.
