Projek hijau Asia yang selama ini sukar mendapat pembiayaan dijangka melonjak, setelah inisiatif kewangan iklim Singapura mengumumkan pusingan pembiayaan baharu. Usaha ini telah menambah jumlah dana kepada AS$800 juta (S$1.02 bilion).

Tiang pelaburan hijau, di bawah inisiatif tiga tahun Financing Asia’s Transition Partnership (Fast-P), berjaya mencapai sasaran kutipan dana kedua, melepasi AS$510 juta yang dicapai pada akhir tahun 2025.

Pencapaian pembiayaan itu diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara dan Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Chee Hong Tat, pada 20 Mei di Persidangan Pembiayaan Peralihan Asia.

Persidangan itu adalah sebahagian daripada Ecosperity, sidang kemuncak kemampanan utama Temasek, yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.

Dana awal AS$510 juta dilaporkan pada 2025 akan digunakan untuk memacu projek solar, penyimpanan bateri, kenderaan elektrik, dan inisiatif menukar sisa pertanian menjadi tenaga di Asia Tenggara serta Asia Selatan.

Pembiayaan ini turut menjangkau projek bio-tenaga di Asia Tenggara, di mana sisa tani akan menggantikan bahan api fosil pencemar, demi menjana bekalan elektrik yang lebih bersih.

Dalam perkembangan terbaru, Encik Chee turut mendedahkan bahawa satu perempat daripada AS$510 juta awal sudah pun diperuntukkan kepada empat projek infrastruktur mampan di Asia Tenggara walaupun butiran lanjut tidak dinyatakan. 

Projek sedemikian tidak mudah disokong oleh pemberi pinjaman komersial kerana kurangnya kebiasaan pelabur. Jurang pembiayaan paling ketara pada fasa pembangunan dan pembinaan projek.

Menurut Forum Ekonomi Sedunia (WEF), projek tenaga boleh diperbaharui peringkat awal dan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik berhadapan dengan kos modal yang tinggi. Projek tenaga boleh diperbaharui juga berisiko apabila terdapat ketidaktentuan dalam kontrak dengan pembeli elektrik, yang menjejaskan aliran tunai.

Inisiatif FAST-P yang disokong MAS itu ditubuhkan pada 2023 untuk menyalurkan pembiayaan secara inovatif kepada projek hijau yang sukar mendapat sokongan kewangan daripada sektor swasta. 

Inisiatif itu bertujuan menyatukan modal awam, swasta dan filantropi untuk membantu membiayai usaha penyahkarbonan Asia, dengan sasaran untuk akhirnya mengumpul sehingga AS$5 bilion.

Pada 2024, pemerintah Singapura berjanji menyumbang sehingga AS$500 juta kepada FAST-P dalam bentuk pembiayaan konsesi, seperti geran dan pinjaman yang diberikan dengan syarat yang lebih menguntungkan dan pada kadar di bawah pasaran.

Jenis pembiayaan inovatif ini, dikenali sebagai pembiayaan bercampur, dimulakan dengan suntikan modal daripada sumber awam atau filantropi sebagai pemangkin utama.

Pendekatan ini kemudiannya merangsang penyertaan sektor swasta, yang meskipun menguasai majoriti kekayaan global, sering kali bersikap waspada terhadap risiko pelaburan dalam projek kemampanan.

Modal konsesi bagi tiang pelaburan hijau disalurkan daripada entiti terkemuka seperti Temasek, Export Finance Australia (agensi di bawah pemerintah Australia), dan International Finance Corporation di bawah Kumpulan Bank Dunia.

Encik Chee turut menyatakan bahawa tiang ini telah berjaya menarik dua pemain swasta baharu: DBS Bank dan Cathay United Bank.

Selain tiang pelaburan hijau, FAST-P turut didukung oleh dua tiang strategik yang lain.

Tiang kedua memfokuskan kepada peralihan tenaga, bermatlamat membantu negara-negara beralih daripada loji arang batu ke sumber tenaga boleh diperbaharui, disokong oleh teknologi penyimpanan bateri dan infrastruktur grid yang moden.

Manakala tiang ketiga diwujudkan untuk menyahkarbonkan sektor yang intensif pelepasan karbon, seperti pengeluaran simen dan keluli, serta menyokong pembangunan teknologi penyingkiran karbon.