Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hospital swasta bakal kongsi rekod kesihatan jelang 2025

Sistem Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) kumpul data kesihatan seperti diagnosis, ubat-ubatan, keputusan ujian makmal dan alahan ubat
Nov 9, 2024 | 5:38 PM
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (tiga dari kanan), melihat bagaimana peserta disaring semasa sambutan ulang tahun ke-20 kohort Kajian Kesihatan Penduduk Singapura yang diadakan di Bangunan Yayasan Tahir  di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 9 November 2024.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (tiga dari kanan), melihat bagaimana peserta disaring semasa sambutan ulang tahun ke-20 kohort Kajian Kesihatan Penduduk Singapura yang diadakan di Bangunan Yayasan Tahir  di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 9 November 2024. - Foto ST

Kesemua sembilan hospital swasta di Singapura akan berkongsi rekod kesihatan pesakit mereka di satu wadah kebangsaan menjelang 2025 bagi memastikan kesinambungan penjagaan yang lebih baik merentas penyedia penjagaan kesihatan

Sistem Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) yang diperkenalkan pada 2011 itu mengumpul data kesihatan penting pesakit seperti diagnosis, ubat-ubatan, keputusan ujian makmal dan alahan ubat.

Dengan adanya sistem itu, pesakit tidak perlu mengulangi sejarah perubatan mereka kepada pelbagai penyedia penjagaan kesihatan, atau menjalani ujian berulang.

Poliklinik dan klinik perubatan umum (GP) swasta dalam program Healthier SG atau SG Lebih Sihat sudah pun menggunakan NEHR, membentuk sekitar 70 peratus daripada sektor penjagaan utama.

Semua hospital awam, yang mengendalikan 90 peratus beban kerja hospital akut di Singapura, juga sudah menggunakan NEHR. Hospital swasta, bagaimanapun, belum melakukan sedemikian.

“Kami baru-baru ini telah berunding dengan semua hospital swasta kami, yang telah menyokong sebulat suara penggunaan NEHR,” kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dalam ucapannya pada acara ulang tahun ke-20 kohort Kajian Kesihatan Penduduk Singapura di Bangunan Yayasan Tahir di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 9 November.

“Beberapa hospital telah mula bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk mempersiapkan sistem mereka bagi NEHR,” tambahnya.

Pada 2025, satu undang-undang baru yang mewajibkan sumbangan seluruh negara kepada NEHR dijangka diluluskan, kata Encik Ong.

Di bawah Rang Undang-Undang Maklumat Kesihatan baru itu, semua penyedia penjagaan kesihatan berlesen dan penyedia penjagaan yang diluluskan MOH, seperti ahli farmasi masyarakat perlu, menyumbang data kepada NEHR.

Rang undang-undang itu juga akan menubuhkan rangka kerja untuk mentadbir pengumpulan, akses, penggunaan dan perkongsian maklumat kesihatan yang selamat di seluruh ekosistem penjagaan kesihatan, kata MOH dalam satu kenyataan.

Pesakit mempunyai pilihan untuk tidak berkongsi data perubatan penting mereka dalam repositori nasional itu, kata Encik Ong.

Sementara itu, mulai hujung November, penduduk yang telah mendaftar dalam Healthier SG akan dapat meraih manfaat daripada rancangan kesihatan yang lebih diperibadikan, seperti saranan diet dan senaman yang lebih khusus.

“Sebagai contoh, doktor anda mungkin mengesyorkan anda melakukan kegiatan aerobik dengan intensiti, kekerapan dan tempoh tertentu. Jika doktor anda membuat saranan pemakanan, ia akan menunjukkan makanan yang perlu dihadkan, dan pilihan lebih sihat yang boleh anda ambil,” kata Encik Ong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg