Topik diikuti
Pergi ke BHkuHospital Woodlands buka pusat kesihatan sistem pencernaan bagi rawatan menyeluruh
Pusat sehenti sebahagian usaha MOH tingkat tahap kesihatan penduduk di utara S’pura
Hospital Woodlands buka pusat kesihatan sistem pencernaan bagi rawatan menyeluruh
Sebuah pusat sehenti baharu bagi kesihatan sistem pencernaan telah dibuka di Woodlands, yang menawarkan penjagaan menyeluruh kepada pesakit, daripada pencegahan dan saringan sehingga diagnosis, rawatan, pemulihan serta penjagaan susulan.
Masalah sistem pencernaan merangkumi keadaan biasa seperti refluks asid, masalah pencernaan dan sembelit, serta penyakit lebih kompleks seperti barah perut, usus, hati, pankreas dan salur hempedu.
Pusat Kesihatan Pencernaan di Hospital Woodlands itu dilancarkan secara rasmi pada 28 September.
Pusat tersebut merupakan sebahagian usaha lebih luas Kementerian Kesihatan (MOH) untuk meningkatkan tahap kesihatan penduduk di utara Singapura dengan menyediakan penjagaan lebih bersepadu, bersifat pencegahan dan tertumpu kepada individu, kata Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, semasa pelancaran itu.
Hospital Woodlands sebelum ini turut melancarkan empat program penjagaan dengan sokongan pakar bagi penyakit semput, kencing manis, psikiatri dan penjagaan selepas kolonoskopi.
Semasa perbahasan mengenai belanjawan MOH di Parlimen pada 5 Mac, Cik Rahayu berkata kadar kencing manis dan tekanan darah tinggi di utara Singapura lebih tinggi berbanding purata nasional, manakala penduduk di kawasan itu kurang bersenam.
Kawasan utara dipilih sebagai kawasan pertama untuk menerima beberapa sokongan dan usaha tambahan, termasuk waktu operasi lebih panjang di 11 pos kesihatan masyarakat yang dipertingkat, program kesihatan bagi individu berisiko, penjagaan dengan sokongan pakar serta perkhidmatan kesihatan di dua masjid.
Usaha itu merupakan sebahagian gerakan nasional untuk menggalakkan lebih 500,000 penduduk di utara Singapura, termasuk sekitar 250,000 penduduk Woodlands, supaya lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Woodlands, Encik Joe Hau, berkata Pusat Kesihatan Pencernaan itu mencerminkan komitmen hospital itu untuk membangunkan perkhidmatan penjagaan kesihatan berdasarkan keperluan masyarakat setempat.
“Dengan memperkukuh akses kepada penjagaan khusus berkaitan sistem pencernaan di utara, kami mahu membantu pesakit mendapatkan rawatan sesuai serta menyokong mereka sepanjang perjalanan rawatan,” katanya.
Pusat tersebut disokong pasukan penjagaan pelbagai disiplin, teknologi berasaskan kecerdasan buatan serta perkhidmatan pemulihan.
Cik Rahayu berkata penjagaan lebih baik bukan hanya bergantung pada mutu diagnosis dan rawatan.
“Ia juga mengenai memastikan penjagaan diselaraskan dengan baik merentasi pelbagai tempat pesakit menerima sokongan.
“Sebab itu kami memperkukuh hubungan antara penjagaan masyarakat, penjagaan utama dan penjagaan khusus, supaya penduduk menerima sokongan yang sesuai pada setiap peringkat perjalanan kesihatan mereka,” katanya.
Memberi contoh barah kolorektal, Cik Rahayu berkata hasil rawatan bagi pesakit boleh berbeza dengan ketara jika mereka menjalani saringan, diagnosis dan rawatan tepat pada masanya.
Sehubungan itu, doktor penjagaan utama boleh merujuk pesakit yang layak terus ke pusat tersebut untuk menjalani pemeriksaan diagnostik menggunakan skop, selepas pesakit diberi penerangan sewajarnya mengenai prosedur berkenaan serta cara mengumpulkan sampel dengan betul.
Menurut Daftar Barah Singapura 2023, barah kolorektal kekal sebagai kanser kedua paling lazim di Singapura, dengan sekitar 37 kes baharu bagi setiap 100,000 lelaki dan 27 kes bagi setiap 100,000 wanita.