Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) mencari vendor bagi menyediakan khidmat kaunseling kepada pelajar sekolah menengah yang memerlukan bantuan berhenti merokok dan vape (menghisap rokok elektronik).
HPB telah mengeluarkan tender di portal pemerintah, GeBiz, pada 23 Julai bagi mendapatkan usulan sebagai sebahagian daripada program berhenti merokok/vape untuk 150 pelajar, lapor The Straits Times (ST).
Program itu akan dijalankan selama setahun, dengan pilihan untuk dilanjutkan sehingga enam bulan bagi tambahan 25 pelajar.
Dokumen tender menunjukkan bahawa perkhidmatan kaunseling secara maya itu adalah sebahagian daripada program rintis, yang akan memberi tumpuan kepada pelajar sekolah menengah.
Menurut HPB, pelajar yang dirujuk oleh pihak berkuasa dan sekolah akan didaftarkan ke dalam program itu secara serta-merta.
Pelajar tersebut dijangka menjalani empat sesi campur tangan dan dua sesi susulan.
Empat sesi campur tangan tersebut akan dijalankan dalam tempoh sebulan, dengan setiap sesi sekurang-kurangnya mengambil masa 20 minit.
Sesi pertama termasuk soal selidik dalam talian dan tinjauan prapemberhentian.
Pada sesi keempat, pelajar akan menjalani ujian cotinine untuk mengesan nikotin dalam badan.
Sesi susulan dijalankan dalam lima minggu, setiap satu sekurang-kurangnya lima minit, dan sesi terakhir termasuk tinjauan pascapemberhentian.
Kaunselor yang sama perlu dipadankan dengan pelajar sepanjang program, kecuali jika ada perubahan.
Sesi audio sesi dan keputusan ujian kotinin perlu dirakam dan disimpan untuk diserahkan kepada HPB dalam lima hari bekerja.
Pada akhir setiap sesi, pelajar dan ibu bapa akan diberi mesej ringkasan dan laporan status dua minggu dengan butiran pelajar akan dihantar ke sekolah.
HPB juga akan menerima butiran terperinci mengenai kemajuan pelajar dan jumlah sesi yang telah diselesaikan.
HPB mengawasi program promosi kesihatan dan pendidikan negara termasuk program pemberhentian ‘vaping’ dan merokok, I Quit, serta inisiatif lain untuk tempat kerja, sekolah dan masyarakat.
Tender itu ditutup pada 1 Ogos, dengan tarikh pelaksanaan perkhidmatan dijangka bermula pada 1 September.
Pada 2024, terdapat 2,000 kes pelajar memiliki atau menggunakan e-rokok, meningkat daripada 800 kes pada 2022 dan 900 kes pada 2023, termasuk kes daripada Institut Pengajian Tinggi (IHL).
Guru melaporkan lebih ramai pelajar menyorok masuk vape ke sekolah dan ia mudah disembunyikan di kawasan sekolah.
Tender tersebut adalah antara langkah terbaru membanteras penggunaan ‘vape’ yang diumumkan pihak berkuasa sepanjang Julai.
Pada 9 Julai, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengarahkan institusi penjagaan kesihatan awam agar merakam kes penggunaan vape yang disyaki atau disahkan berkait dengan bahan etomidate dan meminta pesakit menyerahkan vape mereka.
Etomidate dikawal di bawah Akta Racun dan hanya digunakan dalam persekitaran klinikal.
Pada 16 Julai, HSA mengambil tindakan terhadap lebih 600 kumpulan Telegram yang menjual vape dan Kpod (pod yang bercampur dengan etomidate).
Pada 20 Julai, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata pihak berkuasa sedang berusaha menyenaraikan etomidate di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah selepas satu daripada tiga vape yang dirampas di sini mengandungi bahan tersebut.
Inisiatif Bin The Vape dilancarkan pada 25 Julai, dengan tong khas untuk membuang vape disediakan di 23 kelab masyarakat.
Mereka yang memerlukan bantuan untuk berhenti vape boleh menyertai program, I Quit, HPB dengan menghubungi QuitLine di talian 1800-438-2000.
Untuk melaporkan kesalahan berkaitan vape, orang awam boleh menghubungi talian hotline HSA di 6684-2036 atau 6684-2037 dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, termasuk cuti umum, atau membuat laporan dalam talian di www.go.gov.sg/reportvape.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg