Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HSA tidak akan jejak pengguna ‘vape’ yang buang e-rokok di tong khas

Jul 27, 2025 | 2:16 PM
vape, HSA, buang tabiat
Tong khas itu disediakan di 23 kelab masyarakat (CC) dan sebuah pusat rangkaian penduduk (RN) sebagai sebahagian daripada daya usaha yang dilancarkan HSA bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Persatuan Rakyat (PA) pada 25 Julai. - Foto ST

Mereka yang membuang ‘vape’ ke dalam tong pembuangan khas yang diletakkan di sekitar Singapura tidak perlu bimbang identiti mereka akan dijejaki, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 26 Julai.

HSA berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST) mengenai daya usaha Bin the Vape susulan kebimbangan sesetengah pihak tentang kemungkinan akan menghadapi tindakan jika alat ‘vape’ mereka diserahkan.

Tong khas itu disediakan di 23 kelab masyarakat (CC) dan sebuah pusat rangkaian penduduk (RN) sebagai sebahagian daripada daya usaha yang dilancarkan HSA bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Persatuan Rakyat (PA) pada 25 Julai.

Mereka yang didapati memiliki, menggunakan atau membeli ‘vape’ boleh dikenakan denda sehingga $2,000, lapor ST.

Namun, semasa pelancaran daya usaha tersebut, pihak berkuasa berkata tiada tindakan akan diambil terhadap individu yang membuang alat ‘vape’ mereka secara sukarela.

Pada 26 Julai, HSA berkata:

“Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa HSA tidak akan menjejak identiti mana-mana individu yang telah membuang e-rokok mereka.

“Kami sangat menggalakkan orang ramai supaya membuang e-rokok mereka, jika ada, menerusi tong pembuangan ini kerana ia merupakan kaedah pembuangan yang dirahsiakan, selamat dan bertanggungjawab.”

Tong khas berwarna merah itu menyerupai tong sampah biasa tetapi dilekatkan dengan poster maklumat daya usaha di bahagian depan dan atas, yang menjanjikan pelupusan secara selamat dan rahsia.

Sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dipasang berdekatan tong itu untuk mencegah kecurian atau gangguan terhadap kandungan tong. 

Namun, kehadiran kamera itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah pihak bahawa mereka mungkin diawasi atau dikenal pasti – meskipun HSA telah menegaskan identiti individu tidak akan dijejak.

HSA menambah tong-tong tersebut dikunci dan dipasang kukuh pada struktur seperti tiang. Setelah ‘vape’ itu dimasukkan ke dalam tong, ia tidak boleh dikeluarkan semula.

Sebarang kes kecurian atau percubaan mengganggu kandungan tong itu akan dirujuk kepada polis.

HSA berkata ‘vape’ mungkin mengandungi bahan terlarang seperti ‘etomidate’ atau dadah terkawal, dan harus dilupuskan dengan betul di dalam tong khas yang disediakan.

“Tong khas ini memastikan bahan-bahan tersebut dilupuskan secara selamat dan dimusnahkan sepenuhnya, sekali gus mengelakkan ia daripada diambil semula dan disalahgunakan,” kata HSA.

Agensi itu turut berkata tong-tong berkenaan akan dikosongkan secara berkala, dan alat ‘vape’ yang dibuang akan dihantar ke loji pembakaran untuk dimusnahkan sepenuhnya di bawah pemantauan rapi.

Daya usaha Bin the Vape ini bertujuan menggalakkan pengguna ‘vape’ berhenti menggunakan peranti tersebut sebelum mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Pihak berkuasa berkata bahan ‘etomidate’, sejenis racun yang semakin kerap ditemui dalam ‘vape’ di sini, bakal diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah dalam beberapa minggu akan datang.

Pada 25 Julai, pihak berkuasa menggesa para pengguna ‘vape’ dan mereka yang mengambil ‘etomidate’ supaya segera menghentikan tabiat tersebut.

Orang ramai boleh melayari laman go.gov.sg/bin-vapes untuk mengenal pasti lokasi tong pelupusan yang terdekat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg