Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HSA hapus lebih 600 kumpulan Telegram jual, iklan ‘vape’

Jul 16, 2025 | 7:20 PM
vape, e-rokok, basmi, hsa, telegram
Ini merupakan kali pertama Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengeluarkan angka mengenai jumlah kumpulan Telegram yang dihapuskan kerana menjual rokok elektronik atau ‘vape’. - Foto TANGKAP LAYAR TELEGRAM

Lebih 600 kumpulan Telegram yang mengiklankan atau menjual rokok elektronik atau ‘vape’ dan Kpods kepada rakyat Singapura telah dihapuskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Agensi tersebut berkata pada 16 Julai bahawa saluran yang mempromosikan ‘vape’ itu telah dihapuskan sejak April 2024.

Ini kali pertama HSA mengeluarkan angka mengenai jumlah kumpulan Telegram yang dihapuskan kerana menjual ‘vape’, lapor The Straits Times (ST).

Pada Mei 2025, HSA dan Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan kenyataan bahawa lebih 6,800 penyenaraian dalam talian bagi ‘vape’ dan komponen berkaitan telah dihapuskan dari wadah e-dagang dan media sosial antara Januari 2024 dengan Mac 2025.

Angka itu lebih dua kali ganda daripada 3,100 penyenaraian yang dihapuskan pada 2023.

Wadah yang terlibat termasuk Facebook, Instagram dan Carousell, namun bukan Telegram.

Pada 16 Julai, HSA berkata Cawangan Pengawalan Tembakau mereka aktif memantau dan menguatkuasakan larangan terhadap pengiklanan dan penjualan ‘vape’, baik dalam talian mahupun luar talian.

Menggunakan alat automatik, agensi tersebut berkata mereka secara aktif mengesan penyenaraian dalam talian, kiriman media sosial dan platform mesej untuk mengesan serta menghapuskan iklan dan kiriman yang tidak sah.

Jurucakap HSA berkata: “HSA mempertingkatkan operasi terhadap rangkaian pengedaran fizikal dan dalam talian, mengukuhkan kawalan sempadan bersama Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), serta meningkatkan kehadiran penguatkuasaan di kawasan awam yang berisiko.”

Pemeriksaan ST pada 16 Julai mendapati sekurang-kurangnya 12 saluran Telegram yang sebelum ini menjual dan mempromosikan ‘vape’ kini tidak aktif.

Namun, terdapat sekurang-kurangnya 10 saluran yang masih menjual ‘vape’ dan ‘Kpods’ di Telegram.

Satu saluran mempunyai lebih 27,000 anggota, manakala yang lain lebih 23,000.

Di satu saluran, sekitar lapan mesej dihantar setiap minit kepada anggotanya, menyenaraikan perasa yang tersedia serta harganya.

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) berkata 116,800 peserta menyertai program, ‘I Quit’, untuk berhenti merokok dan menggunakan ‘vape’ dari Mei 2014 hingga Disember 2024, namun tidak memantau status peserta sebagai perokok atau pengguna ‘vape’.

Dari Januari 2024 hingga Mac 2025, hampir 1,800 anak muda menerima kaunseling berhenti merokok dan ‘vape’.

HPB menambah, dalam tempoh yang sama, hampir 118,500 pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) terlibat dalam kegiatan yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya penggunaan ‘vape’.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ‘vape’ boleh membahayakan kesihatan dan bukan alternatif yang lebih selamat kepada rokok biasa.

Kajian menunjukkan ‘vape’ meningkatkan risiko penyakit jantung, paru-paru dan masalah otak, terutama pada pengguna muda. 

HPB turut menyatakan penemuan etomidate dalam kapsul ‘e-vaporizer’ yang dirampas mengukuhkan kebimbangan tentang bahan berbahaya dalam ‘vape’ yang tidak disedari pengguna. 

Etomidate, yang digunakan sebagai penenang dalam prosedur perubatan, boleh mencetuskan kekejangan, kesukaran bernafas, sawan dan psikosis apabila dihisap.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg