Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2,000 bahan kimia dalam wap ‘vape’ jejas kesihatan pengguna

Jul 6, 2025 | 5:30 AM
bahaya vape, M’sia
Allahyarham Mohd Radzi Mustaffa, 44 tahun, atau dikenali sebagai Abang Rock, sebelum meninggal dunia pada Mei 2025 akibat masalah kesihatan yang berpunca daripada ‘vape’. - Foto fail NSTP

Tanggapan bahawa ‘vape’ atau rokok elektronik (e-rokok) adalah alternatif selamat untuk berhenti merokok semakin terpesong.

Kajian mendapati ‘vape’ bukan saja tidak mengurangkan ketagihan terhadap nikotin, bahkan meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna dan persekitaran.

Pegawai Farmasi Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia, Cik Sulastri Samsudin, berkata kajian pada 2021 telah mengenal pasti lebih 2,000 bahan kimia ditemui di dalam wap ‘vape’ yang boleh menimbulkan risiko kesihatan manusia.

Menurutnya, gabungan dan pemanasan bahan kimia dalam cecair ‘vape’ akan meningkatkan potensi toksik dan bahaya kesihatan terhadap pengguna dan orang sekelilingnya.

“Semua bahan kimia asas dalam cecair ‘vape’ berpotensi membawa mudarat kepada kesihatan manusia.

“Bahan kimia ini mempunyai saiz yang sangat halus sehingga boleh menyerap terus daripada paru-paru ke dalam sistem peredaran darah manusia.

“Sebagai contoh, Propylene glycol (PG), salah satu komponen utama dalam cecair ‘vape’, merupakan sejenis agen perengsa (iritasi).

“Apabila dipanaskan pada suhu tinggi di dalam ‘vape’, ia akan terurai dan menghasilkan formaldehid, sejenis bahan penyebab barah (bahan karsinogen). Formaldehid juga biasanya digunakan untuk mengawet mayat.

“Perisa tiruan yang digunakan dalam cecair ‘vape’ seperti buah-buahan, gula-gula dan makanan juga berbahaya apabila disedut.

“Kebanyakan perisa ini bersifat merengsa kepada saluran pernafasan, boleh menyebabkan gejala popcorn lung, iaitu keadaan apabila sel paru-paru mengeras, kesukaran bernafas dan mengalami kekurangan oksigen.

“Penyakit ini bersifat kronik dan tidak boleh diubati. Jika remaja berusia 15 tahun sudah mula menghisap ‘vape’, 10 tahun lagi pada usia 25 tahun ketika baru ingin memulakan kehidupan bekerja dan berkeluarga, tidak mustahil mereka mungkin sudah menghidap barah,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Ketua Unit Respiratori Jabatan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Profesor Madya Dr Andrea Ban Yu-Lin, berkata wap yang terhasil daripada ‘vape’ boleh mengundang penyakit paru-paru serius seperti Evali (E-cigarette or Vaping-Associated Lung Injury), selain ketagihan nikotin, radang paru-paru, batuk kronik dan sesak nafas.

Lebih malang lagi beliau berkata ia juga berupaya menyebabkan kerosakan otak kepada bayi yang berada di sekeliling pengguna ‘vape’ dan terdedah kepada wap aerosol yang terhasil daripada peranti itu.

“Nikotin boleh mengganggu perkembangan otak, menjejaskan daya ingatan, tumpuan dan kawalan emosi pengguna ‘vape’.

“Untuk orang sekeliling seperti kanak-kanak, pendedahan kepada wap ‘vape’ boleh menjejas perkembangan paru-paru dan otak.

“Ini kerana ‘vape’ mengandungi nikotin yang boleh menyebabkan kerosakan kekal pada otak bayi yang sedang berkembang dan organ lain seperti paru-paru,” katanya kepada BM.

Sementara itu, Pakar Perunding Respiratori dan Perubatan Dalaman di hospital sama, Dr Nik Nuratiqah Nik Abeed, pula berkata trend mengisi ‘vape’ dengan dadah dalam kalangan remaja semakin membimbangkan dan sukar dikesan.

Menurutnya, terlalu banyak kesan buruk ‘vape’ terhadap remaja dan generasi muda yang terjebak dengan ‘vape’ cenderung berhadapan masalah kesihatan mental, ketagihan, prestasi akademik menurun dan konflik keluarga.

“Pendedahan awal kepada nikotin melalui ‘vape’ membawa kepada ketagihan, terutama dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah. ‘Vape’ juga boleh menjadi pintu masuk kepada tabiat merokok dan penggunaan bahan terlarang seperti dadah.

“Ini menuntut usaha kerajaan untuk menghapuskan atau sekurang-kurangnya mengawal ketat penjualan dan penggunaan ‘vape’ untuk mengekang perkembangan yang membimbangkan ini,” katanya.

Pada Mei, seorang pengguna tegar ‘vape’ berusia 44 tahun meninggal dunia selepas mengalami lemah jantung akibat pengambilan ‘vape’ berlebihan.

Menerusi hantaran video oleh pemilik akaun @radzirockrider di TikTok, Allahyarham yang nama sebenarnya Mohd Radzi Mustaffa, sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai tentang bahaya penggunaan ‘vape’ sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 7.15 pagi, 7 Mei.

Ketika itu beliau terpaksa ditidurkan dan diberi bantuan oksigen untuk diselamatkan, berikutan jantungnya hanya tinggal 3 peratus untuk berfungsi.

“Kepada orang muda, berhentilah hisap ‘vape’. Yang ada, masih ada peluang lagi. Berhenti. Budak muda jantung lemah, paru-paru rosak,” pesannya yang wajar dijadikan peringatan dan iktibar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg