Hampir 18,000 individu ditangkap antara Januari 2024 dengan Mac 2025 kerana memiliki dan menggunakan rokok elektronik (e-rokok) atau ‘vape’ selepas pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan.
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Kementerian Kesihatan (MOH), dalam satu kenyataan bersama pada 16 Mei, berkata e-rokok dan komponen lain bernilai lebih $41 juta telah dirampas sepanjang tempoh 15 bulan ini, lapor The Straits Times.
HSA juga telah mengetuai 50 operasi terhadap sindiket berskala besar yang terlibat dalam urusan produk tersebut.
Sebanyak 27 pesalah – terdiri daripada 20 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 dengan 46 tahun – telah didakwa kerana gagal membayar denda komposisi mereka dan 60 orang lagi dibawa ke mahkamah atas kesalahan menjual e-rokok.
Pihak berkuasa berkata mereka yang gagal membayar denda tepat pada masanya atas kesalahan berkaitan ‘vape’ dikenakan hukuman lebih berat, seperti denda lebih tinggi atau hukuman penjara lebih lama.
Kumpulan 60 orang tersebut termasuk dua individu yang terlibat dalam kes sindiket e-rokok yang membabitkan nilai barangan lebih $5 juta.
Ivan Sin telah didenda $16,000 dan dikenakan hukuman penjara selama 10 bulan, manakala Toh Wee Leong pula didenda $14,000 dan menerima hukuman penjara yang sama.
Ini merupakan hukuman paling berat yang dikenakan ke atas pesalah kerana menyeludup e-rokok setakat ini, menurut pihak berkuasa.
Seorang individu penting dalam satu lagi sindiket yang terbabit dalam kes melibatkan lebih $6.5 juta nilai e-rokok telah ditahan pada Oktober 2024 dan siasatan masih dijalankan.
Sepanjang tempoh 15 bulan, seramai 101 orang telah ditangkap memiliki e-rokok semasa pemeriksaan ke atas 20,800 individu di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut oleh pegawai HSA dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
HSA kini bekerjasama rapat dengan wadah e-dagang dan media sosial tempatan, bagi memadam lebih 6,800 senarai dalam talian yang menjual ‘vape’ iaitu lebih dua kali ganda berbanding 3,100 dalam senarai pada 2023.
Seramai 15 individu turut dikenakan denda kerana memuat naik gambar atau video e-rokok di media sosial.
Dari sudut pendidikan, sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) telah mempertingkat usaha menyampaikan mesej antivape dan kepentingan gaya hidup bebas nikotin.
Antara Januari 2024 dengan Mac 2025, hampir 118,500 pelajar terlibat dalam sketsa pendidikan, inisiatif rakan sebaya, dan program kesedaran mengenai bahaya ‘vape’.
Sekitar 2,600 pelajar telah dirujuk kepada HSA kerana menghisap ‘vape’.
Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menawarkan sokongan berhenti menghisap ‘vape’ melalui perkhidmatan telekaunseling, QuitLine, serta kaunseling di sekolah terpilih.
Hampir 1,800 remaja telah menerima kaunseling sepanjang 15 bulan tersebut.
HPB dan Kementerian Pendidikan (MOE) juga akan melancarkan projek perintis kaunseling berhenti hisap ‘vape’ secara maya selama setahun untuk semua sekolah menengah mulai Julai.
Individu yang memiliki, menggunakan atau membeli e-rokok boleh didenda hingga $2,000.
Bagi kesalahan mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan e-rokok, denda boleh mencecah $10,000; penjara hingga enam bulan; atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
HSA mengingatkan bahawa mereka yang ditangkap kerana menghisap ‘vape’ harus membayar denda dengan segera.
Kegagalan membayar sebelum tarikh akhir boleh menyebabkan tindakan mahkamah dengan hukuman lebih berat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg