Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkukuh toleransi sifar terhadap ‘vape’ di tengah kebangkitan ‘Kpod’

Jul 20, 2025 | 5:30 AM
rokok elektronik, vape, kpod, toleransi sifar, Singapura
Lidah Pengarang - Foto BH

Pendirian keras Singapura terhadap segala jenis rokok elektronik atau vape, yang dilaksanakan sejak 2018, adalah lebih penting sekarang berbanding sebelum ini.

Apa yang bermula sebagai satu respons kesihatan awam telah menjadi benteng terhadap ancaman yang berkembang pesat dan amat membimbangkan; iaitu kemunculan ‘Kpod’.

‘Kpod’ ialah vape yang dicampur dengan anestetik kuat seperti etomidate dan ketamin, yang telah muncul dalam jumlah membimbangkan dalam kalangan remaja.

Penemuan terbaru Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengesahkan bahawa 28 kes yang melibatkan pod bercampur dengan etomidate telah dikesan sehingga pertengahan 2025, hampir tiga kali ganda jumlah keseluruhan pada 2024.

Alat vape ini dicampur dengan perisa buah-buahan yang memberikan gambaran ia tidak berbahaya, dan ‘menyamarkan dirinya’ dalam penjualan vape terlarang di Singapura.

Ia cuba mengeksploitasi kekaburan dalam undang-undang dengan mengelirukan sesetengah remaja bahawa kesalahan ini tersabit di bawah Akta Racun yang kurang dikuatkuasakan berbanding Akta Penyalahgunaan Dadah.

Salah faham itu bahaya, malah boleh membawa maut.

Halusinasi, risiko sawan dan gangguan pernafasan – ini buka sekadar hipotesis.

Pakar perubatan daripada Duke-NUS dan Hospital Universiti Nasional (NUH) memberi amaran bahawa etomidate yang disedut boleh menyebabkan kadar ketoksikan dalam sistem tubuh yang berbahaya, walaupun diambil hanya dalam satu sesi.

Apatah lagi penggunaan berterusan yang bahayanya tidak dapat diramalkan.

Dari segi struktur, sementara vape konvensional masih menimbulkan risiko jangka panjang melalui ketagihan nikotin, ‘Kpod’ memperkenalkan bahaya lebih segera yang mengancam nyawa.

Menurut laporan, kanak-kanak seawal usia 12 dan 13 tahun sudah pun terjerat dalam lingkaran ketagihan ini, tergoda oleh pengaruh rakan sebaya dan wadah seperti Telegram.

Respons berbilang agensi pemerintah merangkumi operasi bersama HSA dan Biro Narkotik Pusat (CNB), serta pemeriksaan sempadan yang dipertingkat oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan penguatkuasaan di ruang awam, mencerminkan bahawa ini adalah satu masalah serius.

Rampasan alat dan komponen vape bernilai $41 juta dari Januari 2024 hingga Mac 2025, dan penahanan dramatik baru-baru ini terhadap seorang penjual yang melarikan diri di Bishan, menyerlahkan toleransi sifar pihak berkuasa dalam mengambil tindakan.

Namun, penguatkuasaan sahaja tidak dapat membendung arus masalah ini.

Strategi menyeluruh di seluruh negara diperlukan bagi memperbetulkan salah tanggapan, menyesuaikan perundangan dan memperkukuh kesedaran awam.

Pihak berkuasa kini sedang meneroka penambahbaikan kepada undang-undang semasa, seperti memperluaskan takrifan di bawah Akta Racun dan memberikan bidang kuasa lebih khusus kepada CNB dalam kes yang menggabungkan dadah dan vape.

Inisiatif pendidikan juga mesti berubah untuk menangani kedua-dua akibat jangka pendek dan jangka panjang penggunaan ‘Kpod’.

Pendekatan toleransi sifar Singapura dalam bidang ini sejak sekian lama telah membuahkan hasil.

Pendekatan itu telah membawa manfaat berpanjangan.

Namun, kecanggihan sindiket penyeludupan, ‘makmal penghasilan’ rahsia, pasaran yang sulit dikesan dan evolusi kimia yang pesat menuntut kewaspadaan dan ketangkasan undang-undang.

Sekiranya gagal, Singapura akan mendapati dirinya bertarung dengan masalah ketagihan, dan dalam senario terburuk, korban jiwa dalam kalangan golongan muda.

Pendirian Singapura terhadap pengharaman vape bukan sekadar satu dasar kesihatan.

Ia ibarat perisai bagi golongan yang mudah terpedaya dan komitmen kita melindungi belia.

Pendekatan toleransi sifar Singapura dalam bidang ini sejak sekian lama telah membuahkan hasil. Pendekatan itu telah membawa manfaat berpanjangan... Sekiranya gagal, Singapura akan mendapati dirinya bertarung dengan masalah ketagihan, dan dalam senario terburuk, korban jiwa dalam kalangan golongan muda. Pendirian Singapura terhadap pengharaman vape bukan sekadar satu dasar kesihatan. Ia ibarat perisai bagi golongan yang mudah terpedaya dan komitmen kita melindungi belia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg