Penguasa Sains Kesihatan (HSA) akan mempertingkat saluran aduan awamnya berhubung kesalahan berkaitan penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ mulai 21 Julai.
Menerusi satu kenyataan pada 20 Julai, HSA berkata talian hotline untuk melaporkan kesalahan berkaitan ‘vape’ akan dilanjutkan untuk beroperasi setiap hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum, dari 9 pagi hingga 9 malam.
Selain itu, satu platform dalam talian baru turut akan dilancarkan untuk memudahkan orang ramai melaporkan kegiatan terlarang melibatkan ‘vape’.
Menurut HSA, pihaknya telah mengesan peningkatan ketara dalam maklum balas awam berhubung kesalahan berkaitan ‘vape’ sejak 2024, dengan lebih 3,000 laporan diterima pada 2024 dan lebih 2,500 lagi sepanjang separuh pertama 2025.
HSA turut menyatakan bahawa pihaknya mendapati peningkatan dalam kandungan media sosial yang memaparkan penggunaan ‘vape’ secara terbuka di tempat awam.
Menerusi maklum balas orang awam dan media sosial, HSA berkata mereka dapat menggunakannya sebagai sumber tambahan data pemantauan untuk meningkatkan kegiatan penguatkuasaan.
Sebagai contoh, hasil maklum balas orang awam dan media sosial, HSA berjaya mengesan seorang individu yang dipercayai mengedar sejumlah besar ‘vape’ serta empat lagi individu yang terlibat dalam tiga insiden berasingan berkaitan ‘vape’.
Dalam satu kes melibatkan dua remaja lelaki berusia 16 tahun, pod ‘vape’ yang dirampas dari rumah salah seorang remaja itu didapati mengandungi etomidate, iaitu sejenis bahan yang boleh menyebabkan ketagihan dan kebergantungan secara fizikal.
Mulai 21 Julai, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang pengiklanan, import, pengedaran, penjualan atau pemilikan ‘vape’ secara terlarang boleh menghubungi HSA menerusi:
• talian 6684-2036 atau 6684-2037 (beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 9 malam)


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg