Operasi membanteras penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ telah diperluas ke kawasan berhampiran sekolah, dengan pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di luar lima Institut Pengajian Tinggi (IHL) di merata Singapura pada 14 Julai.
Kesemuanya, seramai 27 individu ditangkap dan didenda kerana menghisap ‘vape’ dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa kawasan tumpuan masyarakat, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA).
Lapan lagi individu ditangkap kerana kesalahan merokok di bawah umur, lapor The Straits Times (ST).
Mereka yang ditangkap berusia antara 17 dengan 66 tahun, menurut HSA.
Ia menambah bahawa 31 rokok elektronik atau e-vaporiser, telah dirampas dalam serbuan selama lima jam itu.
Operasi di kawasan timur Singapura itu bermula selepas 11 pagi, dengan pegawai HSA berada di pelbagai lokasi tumpuan ramai di luar IHL.
Dalam masa sejam pertama, seorang lelaki ditahan di kolong blok HDB berhampiran sebuah sekolah, dengan alat ‘vape’ tergantung di lehernya.
Pegawai HSA merampas ‘vape’ tersebut, yang dipercayai adalah pod yang bercampur dengan etomidate, atau ‘Kpod’.
Etomidate kini diklasifikasikan sebagai racun di bawah Akta Racun. Ini bermakna lesen diperlukan untuk mengimport atau menjualnya.
Kira-kira 500 meter dari lokasi lelaki pertama ditahan, pegawai HSA menemui seorang lagi lelaki sedang menghisap ‘vape’ di sebuah perhentian bas berdekatan sebuah sekolah, dan di khalayak ramai.
Lelaki itu memberitahu pegawai tersebut bahawa beliau baru sahaja berjumpa doktor, dan diberikan sijil cuti sakit.
Beliau dibenarkan beredar selepas pegawai penguat kuasa mencatat butiran peribadinya.
Sekitar 4 petang, pegawai HSA berkunjung ke sebuah IHL di kawasan utara Singapura, di mana mereka menemui enam individu menggunakan ‘vape’.
IHL merangkumi universiti autonomi, institusi seni, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Kementerian Kesihatan (MOH) dan HSA menyatakan dalam satu kenyataan bersama pada 16 Mei bahawa antara Januari 2024 hingga Mac 2025, sekitar 2,600 pelajar telah dirujuk kepada HSA oleh sekolah dan IHL kerana menghisap ‘vape’.
Data sebelum ini menunjukkan terdapat sekitar 800 kes menghisap ‘vape’ pada 2022, 900 kes pada 2023, dan 2,000 kes pada 2024.
Beberapa guru yang ditemu bual dan enggan dinamakan berkata bahawa tabiat menghisap ‘vape’, yang diharamkan di Singapura sejak 2018, terus menjadi isu yang membimbangkan di sekolah.
Seorang guru, Roger (bukan nama sebenar) berkata beliau melihat tiga hingga empat kes pelajar yang ditangkap menggunakan ‘vape’ sebulan, secara purata.
“Sesetengah sekolah terpaksa menggunakan pengesan logam mudah alih untuk memeriksa pelajar apabila menerima maklumat,” kata Roger, yang telah mengajar di sebuah sekolah menengah selama lebih 20 tahun.
Beliau menambah bahawa di sekolahnya, beg pelajar hanya diperiksa apabila pihak sekolah mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa seseorang pelajar mungkin menggunakan e-vaporiser.
Seorang lagi guru, Jim (bukan nama sebenar) pula berkata bahawa keadaan di institutnya menjadi bertambah buruk sejak 2023, apabila sekitar 200 pelajar ditangkap kerana menghisap ‘vape’, setiap bulan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg