Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hsien Yang: Pemerintah PAP tidak hormati hasrat Lee Kuan Yew agar rumahnya dirobohkan

Nov 4, 2025 | 1:06 PM
Oxley, diroboh, hasrat, Lee Kuan Yew
Encik Lee Hsien Yang. - Foto fail

Pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) memilih untuk “menginjak-injak” hasrat Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew agar rumahnya di 38 Oxley Road dirobohkan sepenuhnya dengan merancang mewartakan tapak tersebut sebagai monumen negara, kata anak bongsunya Encik Lee Hsien Yang pada 3 November.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, Encik Lee Hsien Yang berkata langkah untuk menandakan 38 Oxley Road sebagai monumen negara “secara efektif menolak” permohonan perobohan yang telah dihantar olehnya sebelum ini.

Beliau mencatatkan bahawa mendiang Encik Lee menganggap keseluruhan rumahnya sebagai milik peribadi.

“Pemerintah PAP telah memilih menginjak-injak hasrat teguh Lee Kuan Yew untuk merobohkan rumah peribadinya,” katanya.

Pada 3 November, Lembaga Warisan Negara (NHB) mengumumkan Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen telah menilai tapak 38 Oxley Road sebagai “penting dari segi sejarah” serta wajar dipelihara, lapor The Straits Times (ST).

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, telah menerima cadangan NHB dan ingin mewartakan tapak tersebut sebagai monumen negara. 

Jika perintah pemeliharaan dikeluarkan, pemerintah berhasrat memperoleh tapak tersebut bagi memastikan pemeliharaannya.

Encik Lee Hsien Yang, yang telah mengemukakan permohonan kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Oktober 2024 bagi kebenaran merobohkan rumah tersebut, telah menerima notis mengenai niat pemerintah memelihara tapak itu pada 3 November 2025.

Beliau berkata bapanya menentang pembinaan monumen, dan PAP tidak menghormati warisan dan nilai-nilai mendiang Encik Lee dengan memilih mewartakan 38 Oxley Road sebagai monumen negara.

Encik Lee Hsien Yang mempunyai dua minggu hingga 17 November untuk mengemukakan bantahan, selepas itu Encik Neo akan menimbangkan sebarang bantahan sebelum membuat keputusan mengenai perintah pemeliharaan tapak tersebut.

Mendiang Encik Lee Kuan Yew telah tinggal di 38 Oxley Road sejak pertengahan 1940-an hingga kematiannya pada 2015.

Banglo satu tingkat yang dibina pada abad ke-19 itu juga pernah berfungsi sebagai ibu pejabat awal PAP. 

Hartanah tersebut menjadi pusat pertikaian keluarga selepas kematian mendiang Encik Lee pada 23 Mac 2015.

Tiga anaknya tidak sependapat mengenai nasib hartanah tersebut apabila wasiatnya dibacakan, dengan Encik Lee Hsien Yang dan adiknya, Dr Lee Wei Ling, mengatakan bapa mereka mahu rumah itu dirobohkan tanpa kompromi.

Encik Lee Hsien Loong pula berpendapat bapa mereka bersedia menimbangkan alternatif sekiranya pemerintah memutuskan sebaliknya.

Untuk menyelesaikan perselisihan, Encik Lee Hsien Loong memindahkan hartanah itu kepada Encik Lee Hsien Yang pada akhir 2015, manakala Dr Lee terus tinggal di situ.

Selepas kematian Dr Lee pada Oktober 2024, Encik Lee Hsien Yang memohon untuk merobohkan rumah itu dan membina kediaman peribadi kecil. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg