Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lembaga Penasihat: 38 Oxley Road layak dipelihara sebagai Monumen Negara

Ia punyai kepentingan negara yang kuat; jadi saksi pelbagai peristiwa penting sebelum S’pura merdeka
Nov 3, 2025 | 7:06 PM
Oxley, tapak, bersejarah
Rumah mendiang Perdana Menteri Pengasa Singapura, Encik Lee Kuan Yew di 38 Oxley Road. - Foto ZAOBAO

Bekas rumah Perdana Menteri Pengasas Singapura, Encik Lee Kuan Yew, mempunyai “kepentingan negara yang kuat” dan layak dipelihara sebagai Monumen Negara, kata Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen (PSM) Lembaga Warisan Negara (NHB).

Lembaga tersebut berkata tapak tersebut telah menyaksikan peristiwa-peristiwa penting pada tahun 1950-an, yang menandakan peralihan Singapura daripada sebuah tanah jajahan kepada sebuah negara merdeka, dan “lebih daripada sekadar rumah mendiang Encik Lee.

“38 Oxley Road ialah tempat asas kemerdekaan Singapura ditubuhkan,” kata Pengerusi Lembaga Penasihat PSM, Encik Tan Kok Hiang.

“Pihak lembaga sebulat suara meluahkan mengenai kepentingan negaranya, dan ia mengisi jurang kritikal dalam mendidik generasi semasa dan akan datang tentang detik penting ini dalam sejarah kita,” ujarnya lagi.

Lembaga Penasihat di bawah NHB itu bertanggungjawab mengenal pasti dan menyelidik monumen negara yang berpotensi.

Ia juga mengesyorkan tapak atau struktur penting nasional untuk dipelihara sebagai monumen negara, dan menasihati pemerintah tentang perkara yang berkaitan dengan monumen.

Mendiang Encik Lee tinggal di rumahnya di 38 Oxley Road dari sekitar 1950 sehingga pemergiannya pada 2015.

Tapak tersebut telah menjadi tempat perbualan politik, aktiviti dan keputusan pemimpin pengasas Singapura, yang “sangat mempengaruhi hala tuju gerakan kemerdekaan negara dan sejarah kebangsaannya”, tambah Lembaga Penasihat tersebut.

Pemeliharaan tapak tersebut, kata lembaga itu, akan membolehkan generasi Singapura kini dan akan datang merenungkan betapa seriusnya peristiwa-peristiwa penting tersebut, serta cita-cita dan nilai-nilai yang telah membentuk Singapura hari ini.

NHB melancarkan penilaian rasmi tapak tersebut pada 24 Oktober 2024 selepas Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menerima permohonan merobohkannya daripada Encik Lee Hsien Yang pada 21 Oktober 2024.

Permohonan itu dikemukakan berikutan kematian Dr Lee Wei Ling, satu-satunya anak perempuan mendiang Encik Lee, yang tinggal di rumah tersebut.

Tujuan penilaian itu adalah untuk menentukan sama ada 38 Oxley Road layak dipelihara sebagai Monumen Negara selaras dengan proses yang ditetapkan di bawah Akta Pemeliharaan Monumen 2009.

Pada 3 November, pihak berkuasa berkata NHB telah mengesyorkan pemuliharaan tapak tersebut, selepas Lembaga Penasihat PSM mendapati ia mempunyai “kepentingan negara, dengan merit sejarah yang besar”.

NHB berkata ia telah memberikan pemilik hartanah tersebut, Encik Lee Hsien Yang, notis bertulis yang menyatakan hasrat Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, untuk mengeluarkan arahan pemeliharaan.

Rumah itu kini dimiliki sepenuhnya Encik Lee Hsien Yang selepas abangnya, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menjual rumah berkenaan kepadanya pada 2015 pada nilai pasaran.

Setiausaha Akhbar Encik Lee Hsien Loong pada 3 November berkata: “Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, telah menarik diri daripada perkara tersebut (38 Oxley Road) sejak 2017. Beliau tidak mempunyai komen untuk ditambah”.

Di bawah Akta Pemeliharaan Monumen 2009, Encik Lee Hsien Yang, akan diberi masa dua minggu – sehingga 17 November – untuk mengemukakan sebarang bantahan.

Encik Neo akan mempertimbangkan setiap bantahan sebelum membuat keputusan muktamad sama ada untuk membuat perintah bagi memelihara tapak tersebut sebagai Monumen Negara, kata pihak berkuasa.

Jika Arahan Pemeliharaan dikeluarkan, pemerintah berhasrat untuk memperoleh tapak tersebut bagi melindunginya dan memeliharanya selaras dengan kepentingan sejarah dan kepentingan negaranya, kata NHB dan Penguasa Tanah Singapura (SLA).

Bagi bangunan dan struktur di tapak tersebut, pemerintah akan mempertimbangkan semua pilihan, termasuk yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Menteri 2018, dan akan membuat keputusan dalam tempoh pemerintah ini, tambahnya.

“Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong telah menarik diri daripada perkara tersebut (38 Oxley Road) sejak 2017. Beliau tidak mempunyai komen untuk ditambah”.
Setiausaha Akhbar Encik Lee Hsien Loong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg