Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hubungan 35 tahun S’pura, China: Kukuh kerjasama, kekal daya tahan

Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala jadi tonggak kerjasama, bolehkan kedua-dua negara bina kepercayaan, semak kemajuan, dan tetapkan hala tuju
Dec 14, 2025 | 5:00 AM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri China, Li Qiang, Memorandum Persefahaman (MOU), Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, telah saling mengadakan pertukaran lawatan rasmi bagi meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Mereka berjabat tangan selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara wakil kedua-dua negara di Bangunan Parlimen pada 25 Oktober. - Foto fail

Esok (15 Disember), saya akan mempengerusikan secara bersama, Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-21 dengan Naib Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang, di Chongqing.

Sebagai landasan dua hala tertinggi antara Singapura dengan China, JCBC bukan sekadar wadah dialog.

Ia menjadi tonggak kerjasama kami, membolehkan pemimpin dan pegawai kedua-dua pihak membina kepercayaan, menyemak kemajuan, dan menetapkan hala tuju peringkat tinggi untuk mencapai hasil yang bermakna.

Edisi ke-21 JCBC ini amat bermakna kerana ia bertepatan dengan beberapa detik penting dua hala.

Pertama, kami meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara Singapura dengan China, dengan pertukaran lawatan rasmi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang.

Kedua, kami menyambut ulang tahun ke-10 Inisiatif Kesalinghubungan Chongqing (CCI), projek pemerintah-ke-pemerintah (G2G) yang ketiga.

Ini menyusuli ulang tahun terkini bagi dua projek G2G pertama kami – ulang tahun ke-30 Taman Perindustrian Suzhou (SIP) pada 2024 dan ulang tahun ke-15 Bandar Eko Tianjin pada 2023.

Kami mengadakan JCBC di Chongqing bagi memperingati detik ini.

Saya menanti-nantikan untuk melihat bagaimana CCI telah berkembang bagi menyokong keutamaan kian meningkat yang utama bagi kedua-dua ekonomi, seperti pembangunan hijau, perubahan digital dan daya tahan rantaian bekalan.

Pada September lalu, saya turut melawat Projek Kerjasama Dua Hala Peringkat Negeri kita – Bandar Ilmu Guangzhou – sebagai memperingati ulang tahunnya yang ke-15.

Ia kekal sebagai medan ujian penting bagi pembangunan teknologi baru dan bagi menyokong perkongsian pengetahuan antara Singapura dengan Guangzhou.

Bulan lalu (November), kami juga menganjurkan edisi ke-10 Forum Kepimpinan Singapura-China, wadah dialog yang lama berkekalan, membolehkan pemimpin kedua-dua negara bertukar pengalaman bernilai dalam pembangunan kepimpinan.

Semua detik penting ini membuktikan visi kekal jangka panjang yang dikongsi Singapura dan China dalam kerjasama kami.

Kami sentiasa meneroka bidang kerjasama baru di mana kedua-dua pihak dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing.

Ini telah membolehkan kolaborasi kami terus bertahan, membuat penyesuaian dan menjadi lebih mendalam di sebalik keadaan sejagat dan domestik yang berubah.

Hari ini, negara di serata dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan – yang timbul akibat ketegangan politik sejagat, cabaran ekonomi dan kemajuan teknologi yang pesat yang membawa bersama peluang serta cabaran.

Justeru, amat penting bagi Singapura dan China kekal komited kepada visi memandang ke hadapan, untuk terus membangunkan asas kukuh kerjasama kami bagi melakar laluan untuk masa depan.

Terdapat tiga bidang utama yang boleh diberi tumpuan.

Kesalinghubungan Ekonomi dan Perdagangan Berdaya Tahan

Hubungan perdagangan dan pelaburan kami terus berkembang meskipun ketidaktentuan ekonomi sedunia semakin meningkat.

Melalui kerjasama di Suzhou, Tianjin, Chongqing dan selanjutnya, kami membuka laluan baru bagi perniagaan Singapura untuk melabur di China serta memastikan aliran perdagangan kekal selamat dan berdaya tahan.

Kami juga meneroka kerjasama di pasaran negara ketiga.

Semasa lawatan Perdana Menteri, Encik Li Qiang, baru-baru ini ke Singapura, kami memuktamadkan satu perjanjian untuk meneroka kerjasama pasaran pihak ketiga, memanfaatkan kerjasama dua hala sedia ada dalam SIP bagi menyelaras penembusan pasaran sedunia dua hala bagi syarikat antara Asia Tenggara dengan China, menerusi Singapura.

Kami turut komited menyediakan latihan negara ketiga bagi menyokong negara-negara Asean dalam memajukan pembangunan mampan.

Dalam perdagangan pertanian dan makanan, kami memperkukuh rantaian bekalan, meningkatkan akses pasaran dan mempertingkat daya tahan secara keseluruhannya.

Kami juga akan terus meningkatkan kesalinghubungan kewangan bagi menyokong perdagangan dan pelaburan rentas sempadan antara negara kita.

Inovasi Hijau dan Digital

Di tengah-tengah kerjasama hijau dan digital kita adalah satu azam bersama: bagi mencari huraian inovatif kepada cabaran sejagat yang mendesak.

Kami akan terus menggalakkan kolaborasi penyelidikan dan inovasi bersama dalam teknologi rendah karbon yang sedang meningkat, serta mengambil langkah kukuh dalam membina ekonomi lebih hijau dan menyumbang kepada tindakan iklim sejagat.

Di mana ada peluang saling melengkapi, kami juga meneroka bagaimana teknologi digital dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan bagi huraian hijau kami.

China ialah peneraju teknologi tenaga bersih.

Singapura akan terus memperkukuh kerjasama tenaga dua hala kami bagi menyokong peralihan tenaga kami.

Kami juga mengalu-alukan sokongan China terhadap usaha penyahkarbonan Asia Tenggara, termasuk pembangunan Grid Kuasa Asean.

Kerjasama kami saling dilengkapi dengan rangkaian perkongsian bertenaga universiti dan institusi penyelidikan kami.

Daripada perubatan jitu dan aplikasi kecerdasan buatan (AI), kepada pembinaan mampan serta penggalakan penuaan sihat, institusi kami sedang menjalin keupayaan bersama yang saling memanfaatkan.

Sedang kami memanfaatkan potensi teknologi digital seperti AI, kami juga mesti mengurus risiko yang kian meningkat agar masyarakat kami dapat mendakap teknologi dengan keyakinan.

Pertukaran kepada pendekatan masing-masing dalam domain seperti tadbir urus AI akan membolehkan inovasi teknologi yang bertanggungjawab dan membina masa depan yang lebih baik.

Semasa lawatan Encik Li, kami juga bersetuju meningkatkan kerjasama kami dalam ekonomi digital, menerusi perkongsian amalan terbaik berkaitan dasar dan peraturan.

Ini menyumbang kepada penubuhan satu persekitaran digital yang dipercayai dan selamat.

Hubungan antara Rakyat dan Institusi

Asas kepada semua ini adalah hubungan antara rakyat.

Kami terus mempromosi pertukaran di semua peringkat, diselaras menerusi pengaturan pengecualian visa 30 hari yang dipersetujui bersama.

Lawatan dan pertukaran yang kerap antara para pegawai kami membentuk kepercayaan dan persefahaman, manakala penglibatan antara rakyat menerusi pertukaran belia dan sukan akan mendalami pemahaman dan mengukuhkan hubungan antara masyarakat kami bagi generasi akan datang.

Satu inisiatif penting adalah Skim Pertukaran Pelatih (Intern) Belia Singapura-China, yang telah membantu pelajar kami meraih penghayatan mendalam terhadap negara satu sama lain.

Memandang ke hadapan, saya yakin Singapura dan China akan terus menyesuaikan dan mengembangkan kerjasama kami agar selaras dengan anjakan sejagat, memacu pertumbuhan baru, dan menyumbang kepada kestabilan serantau dan sejagat.

Tugas kami bukan hanya untuk meraikan detik pencapaian lalu, tetapi merintis ufuk baru – bagi memastikan kerjasama ini kukuh berakar dalam kepercayaan dan persahabatan, terus mekar dalam dekad-dekad akan datang dan membawa kemakmuran kepada rakyat kami.

Penulis ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan. Artikel ini ditulis sempena Mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-21 pada 15 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg