Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong memulakan lawatan ke China dari 24 hingga 29 November bagi memperingati ulang tahun ke-30 Taman Perindustrian Suzhou (SIP), sebuah projek yang beliau bantu rintis pada permulaannya.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 24 November, Encik Lee akan mengadakan lawatan kerja selama enam hari ke tiga destinasi utama – bandar Suzhou di wilayah Jiangsu, Beijing, dan Shanghai.
Semasa di Beijing, beliau akan bertemu dengan Presiden China, Encik Xi Jinping.
Ini merupakan lawatan pertama Encik Lee ke China sejak meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Mei. Lawatan beliau menunjukkan komitmennya untuk terus mengekalkan hubungan erat dengan negara itu.
Sepanjang dua dekad beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri sejak 2004, beliau telah melawat China sebanyak 14 kali, lapor The Straits Times (ST).
Bapanya, Encik Lee Kuan Yew, juga mengekalkan hubungan rapat dengan China, dengan melawat China sebanyak 33 kali antara 1976 dan 2011.
Mendiang Encik Lee pada 1994 telah melakukan lawatan ke Beijing untuk menandatangani perjanjian bagi membina sebuah bandar dengan sektor perindustrian, komersial, perumahan, dan rekreasi di Suzhou, ibu kota lama China.
Langkah itu menjadi asas bagi SIP – projek pertama antara kedua-dua pemerintah itu yang berhasil mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Singapura dan China.
Encik Lee yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri merupakan antara menteri Singapura pertama yang terlibat dalam SIP.
Beliau menjadi pengerusi bersama pertama Majlis Pemandu Bersama SIP pada 1994, dan rakan sejawatnya dari China ketika itu ialah DPM Li Lanqing.
Seiring dengan pengukuhan kerjasama antara kededua negara, Majlis Pemandu Bersama SIP itu diluaskan menjadi Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) – sebuah platform peringkat tertinggi yang mengadakan mesyuarat tahunan untuk membincangkan pelbagai langkah kerjasama dua hala, termasuk SIP.
Tiga dekad selepas itu, Encik Lee akan kembali ke bandar Suzhou untuk menyertai aktiviti peringatan ulang tahun ke-30 SIP, bersama DPM China sekarang, Encik He Lifeng.
“Ini adalah pencapaian penting bagi projek pertama antara pemerintah Singapura dan China,” jelas kenyataan PMO.
PMO juga memaklumkan senarai aktiviti Encik Lee di bandar Suzhou, antaranya membuat ucapan meja bulat berkenaan “Pembangunan Berkualiti Tinggi di SIP”, melawat pameran pencapaian SIP, dan mengambil bahagian dalam upacara penanaman pokok.
Di Beijing, Encik Lee akan bertemu Presiden Xi dan Encik Wang Huning, pemimpin keempat tertinggi Parti Komunis China (CCP).
Di Shanghai pula, beliau akan bertemu pemimpin tempatan, serta rakyat Singapura yang menetap di Shanghai.
Pada lawatan kali ini, Encik Lee ditemani oleh isterinya, Cik Ho Ching; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Pendidikan dan Menteri yang bertanggungjawab bagi SIP, Encik Chan Chun Sing; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann; serta Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg