Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, China umum 25 MOU, perjanjian dalam pelbagai bidang 

Turut teroka inisiatif baru, rancang perluas Koridor Perkapalan Hijau dan Digital
Nov 12, 2024 | 3:05 PM
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong (kanan), berkata beliau telah mengadakan perbincangan yang “bermanfaat dan bermakna” dengan Timbalan Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang, pada 11 November.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong (kanan), berkata beliau telah mengadakan perbincangan yang “bermanfaat dan bermakna” dengan Timbalan Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang, pada 11 November. - Foto MDDI

Singapura dan China mengambil langkah untuk memperbaharui hubungan mereka dan mempertingkat kerjasama dalam bidang seperti perdagangan dan kewangan pada mesyuarat kerjasama dua hala antara kedua-dua negara pada 11 November. 

Pada mesyuarat pertama Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) sejak Encik Lawrence Wong menjadi Perdana Menteri (PM) Singapura pada Mei, penekanan diberikan kepada kemajuan dan kesinambungan, meskipun telah berlaku peralihan pada tampuk kepimpinan.

“Dengan setiap generasi pemimpin baru, anda perlu memperbaharui hubungan, terus mengukuhkan persefahaman bersama, supaya anda boleh membina kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain,” kata Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Gan Kim Yong, yang mengambil alih jawatan Pengerusi-Bersama JCBC daripada PM Wong pada 2024, kepada media selepas siri mesyuarat JCBC pada 11 November.

Pemimpin kededua pihak bersetuju untuk terus bekerjasama dan memanfaatkan peluang dalam bidang-bidang baru bagi mengeluarkan hasil yang berkualiti tinggi, yang bakal memberi manfaat kepada kededua negara dan menyumbang kepada kemakmuran serantau, menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Encik Gan menyifatkan perbincangannya dengan Naib Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang, sebagai “bermanfaat dan bermakna”.

Menurut beliau, meski berlaku perubahan kepimpinan di China pada 2023, Singapura terus mengukuhkan hubungan dengan China, sambil menyesuaikan diri dengan cabaran dan memanfaatkan peluang baru.

Semasa lawatan Encik Ding ke Singapura pada 2024, beliau bertemu PM Wong, Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.

Pada mesyuarat JCBC 2024, kededua pihak mengumumkan 25 memorandum persefahaman (MOU) dan perjanjian dalam pelbagai bidang, termasuk Inisiatif Belt and Road (BRI) China, perdagangan, pelaburan dan kewangan.

Singapura dan China telah bersetuju untuk menaik taraf Perjanjian Dagangan Bebas China-Singapura (CSFTA), yang akan berkuat kuasa pada 31 Disember 2024, mengurangkan pelaburan dan perdagangan untuk perniagaan Singapura di China. 

Kedua-dua negara juga merancang untuk memperluaskan Koridor Perkapalan Hijau dan Digital, yang kini beroperasi di Shandong dan Tianjin, ke seluruh negara. 

Perbincangan termasuk mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan, meningkatkan ketersambungan penerbangan, seperti yang diberitahu oleh Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, kepada The Straits Times.

Taman Perindustrian Suzhou (SIP), yang meraikan ulang tahun ke-30, akan memberi tumpuan kepada menangani cabaran sosial China, termasuk populasi yang semakin menua.

Menteri Pendidikan yang juga Menteri bertanggungjawab bagi SIP, Encik Chan Chun Sing, memberitahu wartawan bahawa kededua pihak akan berusaha untuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan hijau, sains bioperubatan dan ekonomi digital.

Kededua negara juga menyasarkan untuk meningkatkan Bandar Eko Tianjin sebagai hab perusahaan hijau dan meneroka inisiatif baru di Inisiatif Demonstrasi Chongqing mengenai Ketersambungan Strategik, termasuk platform perdagangan digital rentas sempadan.

Selain itu, kededua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam isu keselamatan makanan, terutamanya dalam menyelaraskan piawaian pemeriksaan.

Ini kerana China adalah sumber kedua terbesar bagi hasil segar Singapura, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, kepada wartawan.

Apabila ditanya mengenai ketidaktentuan di peringkat global, Encik Gan menegaskan bahawa hubungan yang stabil antara China dengan Amerika Syarikat akan memberi manfaat kepada ekonomi kecil dan terbuka seperti Singapura.

“Kami akan menggalakkan Amerika dan China untuk terus berdialog dan mencari cara untuk bekerjasama walaupun mereka bersaing antara satu sama lain,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg