Pemimpin Singapura telah mengutus surat tahniah kepada rakan sejawatan mereka dari China pada 3 Oktober bagi menandakan 35 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Presiden Tharman Shanmugaratnam, dalam suratnya kepada Presiden China, Encik Xi Jinping, berkata hubungan antara kedua-dua negara dibina atas pandangan jauh dan usaha para pemimpin perintis, khususnya Encik Lee Kuan Yew dan Encik Deng Xiaoping, pada 1970-an.
Hubungan tersebut kini telah berkembang menjadi perkongsian rapat dan meluas yang dinikmati oleh kedua-dua negara hari ini.
Encik Lee ialah perdana menteri pengasas Singapura dan Encik Deng ialah negarawan China yang memainkan peranan penting dalam membuka China kepada dunia, lapor The Straits Times.
Dalam suratnya, Tuan Presiden berkata Singapura dan China pada 2023 telah meningkatkan hubungan dua hala kepada apa yang disifatkan sebagai ‘Perkongsian Berorientasikan Masa Depan Bermutu Tinggi Secara Menyeluruh’.
Projek pemerintah dengan pemerintah di Suzhou, Tianjin dan Chongqing, serta projek kerjasama dua hala peringkat negeri di Guangzhou, terus maju, membangunkan ciri baru dan kekal berpandangan ke hadapan, tambahnya.
Beliau berkata: “Untuk mengikuti perubahan zaman, kita telah memperluas kerjasama kita ke dalam bidang baru seperti ekonomi digital dan hijau, keselamatan makanan dan kerjasama kewangan yang mendalam.
“Generasi rakyat kita juga telah mengukuhkan hubungan melalui kajian, perniagaan, pelancongan dan pertukaran budaya.”
Tuan Presiden menambah beliau yakin Singapura dan China akan terus bekerjasama rapat untuk membawa hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam suratnya kepada Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, berkata walaupun 3 Oktober menandakan 35 tahun hubungan diplomatik sejak 1990, persahabatan antara Singapura dengan China bermula jauh sebelum itu.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata: “Selama bertahun-tahun, hubungan kita terus mengerat, berakar umbi dalam kesediaan untuk memahami perspektif masing-masing, serta membina kepercayaan bersama melalui kerjasama berdekad yang saling menguntungkan.”
Beliau turut memetik tiga projek pemerintah Singapura dengan pemerintah di Suzhou, Tianjin dan Chongqing, dan projek peringkat negeri di Guangzhou sebagai bukti kedalaman hubungan antara kedua-dua negara.
“Setiap projek, yang dilancarkan dalam tempoh berbeza dalam perjalanan pembangunan China, telah memenuhi keutamaan kita yang berkembang,” tambahnya.
Encik Wong turut menyentuh mengenai tiga platform dua hala peringkat tinggi – Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala, Forum Kepimpinan Singapura-China dan Forum Tadbir Urus Sosial – yang terus menjadi mekanisme penting bagi generasi pemimpin dan pegawai saling bertukar idea dan mengenal pasti bidang kerjasama baru.
Beliau berkata: “Ketika kita meraikan 35 tahun hubungan, saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan anda untuk memajukan kerjasama dalam bidang baru muncul seperti ekonomi digital dan hijau, kewangan serta tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
“Kita juga boleh meneroka cara untuk menyokong pembangunan wilayah kita dan menangani cabaran biasa seperti perubahan iklim.”
Menurut Encik Wong, Singapura dan China berkongsi komitmen untuk menyokong perdagangan bebas dan menegakkan sistem pelbagai hala berasaskan peraturan, termasuk melalui wadah seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia dan forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik.
Beliau berkata: “Kita harus menyegerakan lagi pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas China-Singapura yang dinaik taraf, Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas China-Asean dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.”
Encik Wong berharap untuk memperdalam kerjasama di forum serantau dan pelbagai hala untuk menukar cabaran bersama kepada peluang baru.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, menulis surat kepada Naib Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang.
Beliau berkata: “Di tengah-tengah dunia yang semakin tidak menentu, adalah penting untuk kita terus mengukuhkan kerjasama, baik secara dua hala mahupun dalam forum serantau dan antarabangsa.
“Singapura berharap dapat bekerjasama rapat dengan China untuk mengekalkan komitmen bersama kita bagi mengekalkan ketenteraman antarabangsa berasaskan peraturan dan sistem perdagangan pelbagai hala demi manfaat kedua-dua rakyat kita dan rantau yang lebih luas.”
Sementara itu, dalam suratnya kepada Menteri Luar China Wang Yi, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan berkata beliau yakin hubungan antara Singapura dengan China akan berkembang ke tahap lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang.
Beliau berkata: “Singapura dan China juga telah bekerjasama rapat di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Memandangkan kepentingan bersama kita dalam menyokong perdagangan bebas, multilateralisme, dan peraturan antarabangsa berasaskan peraturan, banyak lagi yang boleh kita lakukan bersama untuk memberi manfaat kepada rakyat kita dan rantau yang lebih luas.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg