BEIJING: Hubungan antara Singapura dengan China kini semakin penting di tengah-tengah ketidaktentuan serta pergolakan sejagat, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa pertemuan dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, pada 24 Jun.
“Kita boleh bekerjasama untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan juga menjalin kerjasama di platform serantau serta pelbagai hala bagi memperkukuh hubungan pelbagai hala dan sistem sejagat berasaskan peraturan demi manfaat semua negara,” kata Encik Wong semasa pertemuan di Dewan Besar Rakyat di Beijing.
Lawatan Encik Wong ke China berlangsung ketika aturan politik sejagat – yang dibina setelah Perang Dunia Kedua – yang menyokong perdagangan bebas kini terancam.
Ia susulan tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif tinggi terhadap barangan dari banyak negara, khususnya China.
Menjawab kenyataan Encik Wong, Encik Xi berkata:
“Dalam suasana antarabangsa yang kian huru-hara, China terbuka untuk mengukuhkan kerjasama strategik dengan Singapura, mempererat ikatan kerjasama dan berganding bahu menangani cabaran supaya dapat membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.”
Kali terakhir kedua-dua pemimpin itu bertemu adalah pada November 2024 di Lima, Peru, semasa Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).
Ini merupakan lawatan rasmi lima hari pertama Encik Wong ke China sejak beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mei 2024.
Dalam pertemuan itu, Encik Wong berkata langkah memilih China sebagai destinasi lawatan pengenalan pertama beliau di luar Asia Tenggara mencerminkan betapa eratnya hubungan dan kerjasama teguh yang ada antara Singapura dengan China.
Mengulangi kenyataan beliau ketika bertemu Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, pada 23 Jun, Encik Wong memberitahu Encik Xi bahawa hubungan antara Singapura dengan China dibina atas dasar kepercayaan, persefahaman mendalam dan saling menghormati.
Menurut Encik Wong, hubungan antara dua negara ini telah terjalin sejak sebelum penubuhan jalinan hubungan diplomatik Singapura-China 35 tahun lalu.
Ia dimulakan oleh Perdana Menteri Pengasas Singapura, Encik Lee Kuan Yew, dan pemimpin China, Encik Deng Xiaoping.
“Presiden Xi berada dalam kedudukan unik kerana saya percaya beliau pernah bertemu dan berinteraksi dengan kesemua Perdana Menteri Singapura (sebelum ini), iaitu Encik Lee Kuan Yew, Encik Goh Chok Tong, Encik Lee Hsien Loong dan kini saya sendiri,” katanya.
Encik Wong akan bertemu Pengerusi Kongres Rakyat Nasional, Encik Zhao Leji, pada 24 Jun selepas pertemuannya dengan Encik Xi, lapor The Straits Times (ST).
Ini bagi melengkapkan pertemuan beliau dengan ketiga-tiga pemimpin tertinggi China.
Selepas itu, Encik Wong akan berangkat ke Tianjin, di utara China, bagi menghadiri Mesyuarat Tahunan Juara Baru Forum Ekonomi Dunia (WEF), yang lebih dikenali sebagai ‘Summer Davos’, dan menyertai sesi dialog bersama Presiden WEF, Encik Borge Brende, pada 25 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg