Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, China perlu kerjasama dalam wadah berbilang hala, serantau

PM Wong: Perkongsian dua hala pada 2023 sediakan hala tuju strategik, asas cari cara baru perkukuh kerjasama
Jun 23, 2025 | 8:33 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, berjabat tangan di akhir satu majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Beijing, China pada 23 Jun.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, berjabat tangan di akhir satu majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Beijing, China pada 23 Jun. - Foto ST

Dalam dunia yang semakin tidak menentu dan bergolak, Singapura dan China bukan sahaja perlu menjalin hubungan dua hala yang lebih kukuh, bahkan juga bekerjasama dalam wadah serantau dan pelbagai hala, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Bercakap semasa pertemuan dengan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, di Beijing pada 23 Jun, Encik Wong berkata bahawa hubungan kedua-dua negara itu telah “berkembang dengan kejayaan yang semakin meningkat”.

Ini khususnya menyusuli peningkatan hubungan dua hala kepada ‘Perkongsian Berorientasikan Masa Depan Bermutu Tinggi Secara Menyeluruh’ pada 2023.

Perkongsian itu menyediakan “hala tuju strategik yang jelas” bagi kerjasama, dan menyediakan asas kepada Singapura dan China untuk menghasilkan idea segar dan terus mencari cara baru mengukuhkan kerjasama, seperti dalam ruang digital dan hijau, kata beliau pada hari pertama dalam lawatan rasmi lima hari ke China itu.

“Tahap kepercayaan dan persefahaman yang mendalam ini tidak boleh dipandang remeh,” kata Encik Wong.

“Ia perlu dipupuk tahun demi tahun, generasi demi generasi,” tambah beliau.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa lawatan pengenalannya ke China dibuat sejurus selepas pilihan raya umum terakhir Singapura pada 3 Mei.

Encik Wong menambah bahawa beberapa anggota delegasinya merupakan ahli baru pasukan beliau.

“Saya menggalakkan semua dalam Kabinet saya untuk terus melawat China dengan kerap, supaya kita boleh terus membina dan mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara kita,” ujarnya.

Pertemuan di Dewan Besar Rakyat itu berlangsung sejurus selepas majlis sambutan kedatangan Encik Wong.

Encik Wong akan berada di China sehingga 26 Jun untuk lawatan rasmi pertamanya ke negara itu sejak menjadi perdana menteri pada Mei 2024.

Lawatan beliau itu juga dilakukan sedang Singapura dan China meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik, kata beliau.

Atas sebab itu, lawatan itu “lebih bermakna”, tambah Encik Wong.

Encik Wong dan Encik Li turut menghadiri majlis menandatangani perjanjian pada 23 Jun, dengan pemimpin China tersebut akan menjadi tuan rumah kepada Encik Wong dan delegasinya dalam satu jamuan makan malam.

Pada 24 Jun, Encik Wong dijangka bertemu Presiden China, Encik Xi Jinping, dan pemimpin ketiga China, pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan, Encik Zhao Leji.

“Saya menggalakkan semua dalam Kabinet saya untuk terus melawat China dengan kerap, supaya kita boleh terus membina dan mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara kita.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg