Presiden Republik Korea (Korea Selatan), Encik Yoon Suk Yeol, akan berkunjung ke Singapura bagi satu lawatan negara dari 7 hingga 9 Oktober 2024, atas undangan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan pada 6 Oktober, berkata lawatan Presiden Yoon mengesahkan hubungan yang sangat baik antara Singapura dengan Korea, lantas menyediakan peluang baik untuk kedua-dua pihak membincangkan cara mengeratkan hubungan dua hala menjelang ulang tahun ke-50 pemeteraian hubungan diplomatik kededua negara pada 2025.
Presiden Yoon akan ditemani isterinya, Cik Kim Keon Hee, para menteri dan pegawai kanan Korea.
Pada 8 Oktober 2024, Presiden Yoon akan disambut penuh istiadat di Bangunan Parlimen, diikuti dengan kunjungan hormat bagi menemui Presiden Tharman.
Presiden Yoon kemudian akan bertemu Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga Menteri Kewangan.
Encik Wong dan isteri, Cik Wong akan menjadi tuan rumah bagi sesi makan tengah hari bersama Presiden Yoon dan Cik Kim.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, juga akan bertemu Presiden Yoon.
Pada malam 8 Oktober, Tuan Presiden dan isterinya, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam, akan menjadi hos bagi jamuan negeri sebagai tanda penghormatan buat Presiden Yoon dan Cik Kim.
MFA menambah, semasa lawatan itu, Encik Wong dan Presiden Yoon akan menyaksikan pemeteraian perjanjian ekstradisi, serta pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, keselamatan makanan, tenaga, syarikat pemula dan teknologi.
Presiden Yoon dan Cik Kim juga akan melawat Kebun Bunga Singapura, di mana sekuntum anggerik akan dinamakan sebagai tanda hormat kepada mereka.
Presiden Yoon juga akan berucap di Forum Perniagaan Singapura-Korea yang dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Korea.
Presiden Yoon turut menyampaikan ceramah pada acara ‘Singapore Lecture’ ke-47 pada 9 Oktober 2024.
Ceramah itu bertajuk ‘A Vision for Korean Unification Toward a Free, Peaceful, and Prosperous Indo-Pacific Region’ (Visi bagi Penyatuan Korea Ke Arah Rantau Indo-Pasifik yang Bebas, Aman dan Sejahtera).
Ia akan dipengerusikan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg