Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol menerima sambutan istiadat di Bangunan Parlimen pada 8 Oktober, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi tiga harinya dari 7 hingga 9 Oktober ke Singapura atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Lawatan beliau ke Singapura merupakan yang pertama sejak beliau memegang jawatan Presiden pada 2022.
Lawatan negara terakhir oleh seorang Presiden Korea Selatan adalah pada 2018 oleh Encik Moon Jae In.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 8 Oktober oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA), Encik Yoon turut bertemu Tuan Presiden di mana mereka mengesahkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara kededua negara dan hubungan yang semakin mendalam antara rakyat.
“Mereka bersetuju bahawa terdapat sinergi antara keupayaan dan keutamaan Singapura dan Korea, dan skop untuk kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, perubahan iklim, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk hubungan antara universiti dari kedua-dua negara.
“Tuan Presiden turut mengalu-alukan peranan Korea yang semakin meningkat sebagai kuasa pertengahan yang bertanggungjawab, dan penglibatan yang semakin mendalam dalam Asean,” kata MFA.
Dalam catatan Facebook beliau, Tuan Presiden berkata:
“Kededua Singapura dan Republik Korea juga berkongsi satu persamaan dalam menggalak peraturan antarabangsa yang bebas, terbuka dan inklusif.
“Saya mengalu-alukan penglibatan Presiden Yoon dengan Asean, termasuk menerusi Inisiatif Perpaduan Korea-Asean (Kasi).”
Encik Yoon turut bertemu Perdana Menteri Encik Lawrence Wong di mana mereka menyaksikan pemeteraian perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara, pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MOU) bagi meningkat kerjasama dalam bidang perdagangan, syarikat baru, tenaga, keselamatan makanan dan teknologi.
Encik Yoon, yang ditemani isteri, Puan Kim Keon Hee, turut dihoskan jamuan makan tengah hari oleh Encik Wong dan isteri, dan melawat Kebun Bunga Singapura, di mana sebuah orkid bernama, “Dendrobium Yoon Suk Yeol Kim Keon Hee” dinamakan bagi menghormati mereka.
Semasa sidang media bersama Encik Yoon, Encik Wong berkata Korea dan Singapura sedang berusaha meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik pada 2025.
“Ini adalah detik perjalanan yang amat penting bagi kededua negara kerana 2025 menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan dua hala.
“Peningkatan itu bukan sekadar perubahan nama; ia juga bermakna kerjasama yang lebih besar, yang kami bincangkan semasa mesyuarat tadi,” kata Encik Wong.
Encik Wong menambah kedua-dua negara sedang meneroka untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas Korea-Singapura (KSFTA) dan memperluaskan Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) untuk mengukuhkan ketersambungan dan memenuhi permintaan kukuh untuk perjalanan udara.
Singapura dan Korea juga akan membincangkan cara untuk meluaskan kerjasama dalam bidang seperti pertahanan, pendidikan, perubahan iklim, AI dan keselamatan siber, serta ekonomi digital dan hijau, kata Encik Wong.
Semasa lawatannya pada 8 Oktober, Encik Yoon turut bertemu Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong dan menyertai Forum Perniagaan Singapura-Korea dengan pemimpin perniagaan Singapura dan Korea Selatan anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Dewan Perniagaan dan Industri Korea (KCCI).
Pada sebelah malamnya, Tuan Presiden dan isterinya, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam menganjurkan jamuan negara sebagai menghormati Presiden Yoon dan Puan Kim.
Encik Yoon juga dijadual menyampaikan Syarahan Singapura ke-47, bertajuk “A Vision for Korean Unification Toward a Free, Peaceful, and Prosperous Indo-Pacific Region” pada 9 Oktober, yang akan akan dipengerusikan oleh Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg