Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hubungan kukuh India-S’pura kunci pertumbuhan ekon di tengah landskap tidak menentu

DPM Gan ketuai delegasi S’pura ke sesi Meja Bundar Menteri India-Singapura di New Delhi, teroka kerjasama pelbagai bidang
Aug 14, 2025 | 7:04 PM
Singapura, India, Gan Kim Yong, Droupadi Murmu, New Delhi
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, bersama Presiden India, Cik Droupadi Murmu, di New Delhi pada 13 Ogos. - Foto BIRO PENERANGAN AKHBAR INDIA (PIB)

NEW DELHI: Ketika India dan Singapura meneroka bidang kerjasama baru seperti tenaga nuklear dan daya usaha hijau lain, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, berkata kedua-dua rakan Asia itu perlu bekerjasama dengan lebih erat, memandangkan landskap dunia yang semakin “tidak menentu”.

Dalam lawatan rasmi ke India awal minggu ini, Encik Gan mengunjungi kota kewangan Mumbai pada 12 Ogos untuk meninjau projek-projek Singapura. 

Beliau kemudian mengetuai delegasi Singapura ke sesi Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR) edisi ketiga di ibu negara New Delhi pada 13 Ogos, lapor The Straits Times (ST).

ISMR, yang edisi sulungnya diadakan pada 2022, merupakan pertemuan menteri peringkat tinggi yang kini menjadi teras hubungan antara India dengan Singapura.

Melalui ISMR, kedua-dua pihak dapat meneroka dan melaksanakan kerjasama dalam pelbagai bidang – daripada tenaga nuklear dan semikonduktor sehingga latihan kemahiran di India.

Bercakap kepada media Singapura pada 13 Ogos di New Delhi, Encik Gan berkata Singapura boleh belajar daripada pengalaman India dalam tenaga nuklear, memandangkan Republik ini mengekalkan pilihan terbuka untuk penggunaan tenaga nuklear pada masa akan datang.

Meskipun Singapura belum membuat keputusan mengenai pelan tenaga nuklearnya, ia sedang meneliti perkembangan dalam bidang tersebut, seperti penggunaan reaktor modular kecil (SMR), seiring dengan negara-negara lain di Asia Tenggara yang bergerak ke arah penggunaan tenaga nuklear.

SMR ialah reaktor maju dan padat yang boleh dipasang di kilang serta di kawasan bandar dan didapati lebih selamat berbanding reaktor besar tradisional, meskipun kebanyakannya masih berada di peringkat penyelidikan.

India, yang mempunyai lebih dua dozen reaktor nuklear, kini sedang membangunkan SMR sebagai sebahagian daripada peralihan ke arah tenaga bersih, selari dengan komitmen negara itu untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2070.

Menurut Encik Gan, India telah bersetuju untuk menghubungkan Singapura dengan agensi tenaga atom negara itu “untuk melihat bagaimana kita boleh bekerjasama bagi mempelajari tentang piawai keselamatan serta… amalan dan peraturan mereka berkaitan keselamatan nuklear”.

Beliau menambah bahawa Singapura akan “terus mengekalkan pilihan ini dan mengkaji kemungkinan penggunaan teknologi nuklear tersebut”, namun menekankan bahawa “masih terlalu awal” untuk membuat sebarang keputusan.

India mempunyai undang-undang tanggungjawab nuklear yang ketat, di mana sebarang kemalangan akan dipertanggungjawabkan ke atas pengendali loji nuklear, bukan pengilang.

Undang-undang ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan syarikat asing, dengan beberapa negara meminta kelonggaran, yang kini dikatakan sedang dipertimbangkan India.

“Kita sedang terus meneroka pelbagai teknologi kerana sesetengah teknologi belum matang sepenuhnya, oleh itu kita akan terus memantau perkembangan teknologi nuklear, khususnya tenaga nuklear,” kata Encik Gan.

Hasrat Singapura untuk belajar daripada India dalam bidang tenaga nuklear juga mengukuhkan hubungan politik, ekonomi dan ikatan masyarakat antara kedua-dua negara.

Kepimpinan Singapura ketika ini mengekalkan pandangan positif terhadap India, meskipun berlaku gangguan dalam perdagangan disebabkan tarif yang dikenakan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, kepada India sebanyak 50 peratus, manakala Singapura hanya menghadapi tarif 10 peratus.

“Menjelang lima hingga 10 tahun akan datang, saya rasa prospeknya, seperti yang saya tekankan, sangat tidak menentu,” kata Encik Gan.

“Meskipun kita berdepan landskap yang lebih mencabar, tidak menentu dan tidak stabil pada masa akan datang, adalah penting bagi negara-negara yang sehaluan untuk bersatu, bekerjasama, serta melihat bagaimana kita boleh memperkukuh lagi kerjasama dan kesepaduan, supaya kita dapat meneroka peluang untuk perniagaan dan rakyat kita,” tambah beliau.

“Saya rasa kita optimis, kerana Singapura dan India boleh berusaha ke arah perkongsian lebih kukuh pada masa akan datang.”

Tahun ini menandakan 60 tahun hubungan diplomatik antara India dengan Singapura, serta ulang tahun ke-10 perkongsian strategik dua hala mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg