Perdana Menteri Lawrence Wong akan bertemu Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, semasa satu rangka lawatan pengenalannya ke Jakarta pada 5-6 November.
Beliau akan juga bertemu Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata dalam satu kenyataan pada 5 November lawatan itu “mengesahkan komitmen Singapura untuk memperkukuh persahabatan kita yang telah lama terjalin dengan Indonesia dan menyediakan peluang bagi pemimpin kedua-dua negara bertukar-tukar pandangan mengenai usaha mempertingkat hubungan dua hala”.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, akan juga bertemu Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat, Encik Ahmad Muzani, dan Ketua Dewan Perwakilan Daerah, Encik Sultan Bachtiar Najamudin.
Ia kali keempat Encik Wong bertemu Encik Prabowo pada 2024.
Kali pertama di Bogor, Indonesia, pada April semasa Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia antara Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, dan Presiden Indonesia semasa itu, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo. Ia rahat terakhir dua pemimpin itu sebelum mereka mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada peralihan tampuk pimpinan di negara masing-masing.
Pertemuan lapan mata diadakan semasa rahat itu antara Encik Lee, Encik Wong, Encik Jokowi dan Encik Prabowo.
Ketika itu, Encik Wong adalah Timbalan Perdana Menteri, manakala Encik Prabowo bakal Presiden Indonesia.
Kali kedua ketika Encik Prabowo datang ke Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La pada Jun.
Mereka bertemu buat kali ketiga apabila Encik Wong melakukan lawatan ke Jakarta pada 20-21 Oktober untuk menghadiri upacara angkat sumpah jawatan Encik Prabowo sebagai Presiden.
Encik Prabowo pengerusi Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan presiden Republik Indonesia paling berusia ketika mengangkat sumpah jawatan pada usia 73 tahun.
Singapura dan Indonesia berkongsi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, termasuk pertahanan, ekonomi digital dan kemampanan.
Kedua-dua negara telah menunjukkan mereka mampu menangani cabaran paling rumit berasaskan semangat persahabatan dan keterbukaan, dengan kedua-duanya berjaya mencari huraian bagi tiga isu dua hala berpanjangan berhubung pengurusan ruang udara, pertahanan dan ekstradisi.
Encik Wong akan diiringi empat penjawat politik semasa lawatan terkininya ke Jakarta – Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan; dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, akan menjadi Pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg