Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hujan berserta guruh, bahang waktu malam dijangka separuh pertama Jun

Jun 2, 2025 | 7:34 PM
Singapura boleh menjangkakan suhu panas dan lembap pada sebelah malam, serta hujan berserta guruh untuk beberapa hari pada separuh pertama Jun, lapor Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada 2 Jun.
Singapura boleh menjangkakan suhu panas dan lembap pada sebelah malam, serta hujan berserta guruh untuk beberapa hari pada separuh pertama Jun, lapor Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada 2 Jun. - Foto ST

Penduduk Singapura boleh menjangkakan suhu panas serta lembap pada sebelah malam, dan hujan berserta guruh untuk beberapa hari pada separuh pertama Jun.

Ini setelah Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) berkata pada 2 Jun bahawa suhu maksimum harian berkemungkinan berlegar sekitar 34 darjah Celsius untuk sebahagian besar Jun, dengan paras tertinggi adalah 35 darjah Celsius.

Bagi beberapa malam, suhu mungkin menjangkau 29 darjah Celsius, tambah MSS.

Hujan berserta guruh bagi tempoh singkat dijangka berlaku di beberapa bahagian serata Singapura pada lewat pagi dan petang untuk beberapa hari.

Singapura dilanda cuaca panas sejak beberapa minggu lalu, dengan suhu mencecah setinggi 36 darjah Celsius pada 24 Mei di Paya Lebar, yang tertinggi dicatatkan dalam dua minggu terakhir Mei.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, memberikan nasihat berhubung menangani haba panas sejak kebelakangan ini menerusi video yang dimuat naik di media sosial beliau pada 2 Jun.

Beliau menggalakkan penduduk meminum air walaupun mereka tidak dahaga dan mengurangkan tempoh melakukan kegiatan di luar.

Encik Ong turut menasihatkan penduduk supaya berpakaian selesa dengan memakai satu lapisan pakaian dan memantau diri untuk tanda-tanda awal kecederaan berkaitan haba panas, seperti loya, pening dan kekejangan otot.

Pada 18 Mei, badai Sumatera membawa hujan serta petir di sebahagian besar Singapura pada lewat pagi dan awal petang, dengan Sembawang mencatat kadar hujan harian keseluruhan sebanyak 78.6 milimeter (mm), jumlah tertinggi dicatatkan bagi separuh kedua Mei.

Sungguhpun dengan turunnya hujan, suhu maksimum harian dicatatkan melebihi 35 darjah Celsius untuk beberapa hari dalam tempoh sama.

Cuaca paling panas yang pernah dicatatkan di Singapura, iaitu setinggi 37 darjah Celsius di Ang Mo Kio dan Tengah, masing-masing dicatatkan pada 13 Mei 2023 dan 17 April 1983.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg