Hujan disertai ribut petir dijangka melanda sebahagian kawasan Singapura pada beberapa hari pertama Julai, walaupun cuaca lebih kering mungkin menyusul kemudian.

Menurut Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada 1 Julai, hujan disertai ribut petir setempat mungkin berlaku pada lewat pagi dan tengah hari dalam dua minggu pertama Julai. 

Namun, mungkin ada beberapa hari kering dan kadangkala berangin pada minggu kedua Julai.

Keadaan monsun barat daya dijangka berterusan di Singapura dan rantau sekitarnya, dengan angin bertiup terutamanya dari arah tenggara atau barat daya.

Selain itu, ribut Sumatera mungkin membawa hujan disertai ribut petir yang meluas serta angin kencang pada dinihari dan awal pagi pada satu atau dua hari.

Jumlah hujan bagi dua minggu pertama Julai diramalkan berada di bawah purata di kebanyakan kawasan Singapura.

Suhu maksimum harian pula dijangka berada antara 33 darjah Celsius hingga 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari. 

Namun begitu, suhu boleh naik sedikit melebihi 34 darjah Celsius pada hari dengan liputan awan yang kurang, kata MSS, sambil menambah bahawa mungkin turut ada beberapa malam yang panas dan lembap melebihi 28 darjah Celsius.

Dalam tinjauan cuaca sepanjang dua minggu lalu, MSS berkata keadaan monsun barat daya berterusan di Singapura dan angin bertiup terutamanya dari arah tenggara atau barat daya.

Tempoh tersebut dicirikan oleh cuaca basah, dengan hujan disertai ribut petir melanda sebahagian Singapura pada kebanyakan hari, katanya.

Old Choa Chu Kang Road mencatatkan jumlah hujan harian tertinggi dalam tempoh ini, dengan 88 milimeter (mm) hujan direkodkan pada 17 Jun.

Pada hari tersebut, berlaku hujan lebat disertai ribut petir di kawasan utara dan barat Singapura pada lewat pagi dan awal petang.

Suhu maksimum harian dalam dua minggu lalu berada antara 32 darjah Celsius hingga 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari.

Suhu harian tertinggi iaitu 34.6 darjah Celsius direkodkan di Pulau Ubin pada 27 Jun.

Kebanyakan kawasan Singapura, kecuali kawasan tengah dan timur laut, mencatatkan hujan melebihi purata dalam dua minggu terakhir Jun.

Hujan di kawasan sekitar Admiralty adalah 89 peratus melebihi purata. Sebaliknya, kawasan sekitar Lower Peirce Reservoir mencatatkan hujan 54 peratus di bawah purata.

Pada Mei, MSS dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata terdapat risiko lebih tinggi Singapura terjejas oleh jerebu dari Jun hingga Oktober, memandangkan El Nino dijangka berkembang serentak dengan fenomena iklim lain, dikenali sebagai ‘Indian Ocean Dipole’ (IOD).

Keadaan yang lebih panas dan kering turut dijangka berlaku dalam beberapa bulan akan datang akibat kedua-dua fenomena iklim ini.