Topik diikuti
Pergi ke BHkuPUB lancar buku panduan bagi pemilik, pemaju, tingkat daya tahan banjir di premis
PUB lancar buku panduan bagi pemilik, pemaju, tingkat daya tahan banjir di premis
PUB lancar buku panduan bagi pemilik, pemaju, tingkat daya tahan banjir di premis
Pemilik tanah dan pengamal industri seperti arkitek serta jurutera kini boleh merujuk kepada buku panduan yang dilancarkan pada 18 Jun bagi melindungi premis mereka dengan lebih berkesan daripada banjir.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk memasang pengadang banjir mudah alih bagi menyekat limpahan air, menyapu lapisan kalis air untuk melindungi bahagian luar bangunan daripada kerosakan, serta membina pintu masuk lebih tinggi bagi melepasi paras banjir.
Buku panduan setebal 99 halaman itu turut menyediakan alat penilaian risiko bagi menentukan kebarangkalian serta kesan banjir, selain menggariskan tindakan bersesuaian untuk mengurus risiko dan bersiap sedia menghadapi senario banjir.
Ia turut membekalkan pengguna dengan kajian kes tempatan mengenai bagaimana langkah daya tahan banjir telah dilaksanakan, di samping panduan untuk merangka pelan tindak balas banjir.
Dilancarkan oleh agensi air negara, PUB, Buku Panduan Pembangunan Daya Tahan Banjir itu merupakan yang pertama seumpamanya dalam usaha mempertingkat daya tahan terhadap banjir daratan dan pesisir pantai di Singapura.
Hujan kini turun dengan lebih lebat dan sukar diramal akibat pemanasan iklim.
Menjelang 2100, paras air laut purata Singapura diramal meningkat sehingga 1.15 meter.
Malah, sekiranya berlaku air pasang besar dan fenomena ekstrem seperti kedatangan ribut, paras laut boleh melonjak sehingga 5 meter sekali gus mengakibatkan banjir pesisir pantai.
Ketika berucap di Simposium Asia Tenggara Persatuan Air Singapura (SWA) mengenai Perlindungan Pesisir Pantai pada 18 Jun, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, menegaskan bahawa usaha membina daya tahan banjir merupakan tanggungjawab bersama.
Encik Zaqy menyatakan bahawa 30 peratus tanah Singapura boleh mengalami banjir teruk atau ditenggelami air sekiranya negara tidak bertindak menangani kenaikan paras laut.
Oleh itu, inisiatif seperti Kod Amalan Perlindungan Pesisir Pantai yang dilancarkan pada 17 Jun meletakkan Singapura dalam kedudukan baik untuk menyesuaikan diri dengan fenomena itu.
“Namun, usaha meluas untuk membina daya tahan banjir memerlukan penglibatan semua pihak,” katanya.
“Ini kerana daya tahan banjir tidak boleh dipikul oleh pemerintah sahaja. Ia perlu melibatkan setiap bangunan, setiap estet dan setiap isi rumah.”
Kod amalan berkenaan menjadi rujukan kepada pemilik tanah pesisir pantai dan pemegang pajakan mengenai tanggungjawab mereka di bawah undang-undang baru, di mana penghuni premis perlu membina kemudahan perlindungan pesisir pantai mereka sendiri pada masa akan datang.
Buku panduan daya tahan banjir itu dihasilkan oleh jawatankuasa Perikatan untuk Bertindak 11 anggota, dengan memanfaatkan pengalaman industri serta kepakaran para anggota.
Jawatankuasa itu turut merujuk kepada buku panduan seumpamanya yang diterbitkan di negara lain termasuk Amerika Syarikat, Belanda, dan Jepun.
