Topik diikuti
Pergi ke BHkuInovasi penyelidik NUS raih Hadiah Kajian Iklim Sedunia pertama guna air banjir atasi kemarau
Inovasi penyelidik NUS raih Hadiah Kajian Iklim Sedunia pertama guna air banjir atasi kemarau
Inovasi penyelidik NUS raih Hadiah Kajian Iklim Sedunia pertama guna air banjir atasi kemarau
Seorang penyelidik daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) menjadi pemenang pertama Hadiah Penyelidikan Iklim Sedunia menerusi kajian inovatifnya yang menggunakan air banjir untuk mengurangkan kekurangan air semasa kemarau.
Penolong Profesor di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar NUS, Dr He Xiaogang, memenangi anugerah itu pada 10 Jun dengan menewaskan tiga finalis daripada Universiti Stanford, Universiti California, Berkeley dan Universiti Toronto.
Anugerah dwitahunan tajaan Clare Hall College di Universiti Cambridge, di England, serta Universiti LUT di Finland, itu mengiktiraf penyelidikan kritikal yang mendepani cabaran iklim seperti banjir, kemarau, dan penyebaran penyakit.
Analisis mendalam Dr He melibatkan data sejagat selama 67 tahun, mendedahkan corak membimbangkan di mana banjir dan kemarau sering berlaku berturutan, sekali gus mengancam jaminan bekalan makanan dan air dunia.
Beliau membangunkan rangka kerja untuk meningkatkan ramalan dan pengurusan risiko air, serta meneroka penggunaan air banjir yang disimpan semasa musim kemarau bagi mengukuhkan bekalan air bawah tanah dan daya tahan terhadap kemarau.
“Beliau telah membangunkan rangka kerja yang meningkatkan daya tahan kemarau dan kemampanan air bawah tanah, yang dilaksanakan dari California hingga Asia Tenggara,” kata Clare Hall dan Universiti LUT dalam kenyataan bersama pada 11 Jun.
Geran berjumlah 200,000 Euro ($297,000) itu akan disalurkan kepada NUS bagi meneruskan penyelidikan berkenaan.
Pembiayaan tersebut datang daripada Bandar Lappeenranta dan Marjatta ja Eino Kollin Saatio, sebuah yayasan Finland yang mendukung penyelidikan saintifik dan gunaan.
Dr He mengakui beliau tidak menyangka mendapat kemenangan itu, apatah lagi bersaing dengan tokoh besar seperti pemenang Hadiah Nobel, Profesor Omar Yaghi daripada Universiti California, Berkeley.
Inovasi Profesor Yaghi dalam ‘menuai’ air daripada udara gurun menggunakan tenaga suria sentiasa menjadi ilham yang melengkapi usaha Dr He sendiri dalam merungkai misteri iklim ekstrem.
Beliau berhasrat memanfaatkan dana tersebut untuk membangunkan penyelesaian strategik yang memperkukuh daya ketahanan air, makanan, dan tenaga di rantau ini.
Selain itu, tumpuan beliau adalah melatih pelapis saintis iklim tempatan dan memperluas kerjasama penyelidikan rentas sempadan serta disiplin sains, demi mengangkat NUS sebagai pusat sains iklim tropika bertaraf dunia.
Asia Tenggara kini berdepan cabaran genting akibat perubahan iklim, daripada kenaikan paras air laut hingga gelombang haba yang melampau.
Projek finalis lain turut menggarap penyelesaian kritikal, seperti pemantauan gas rumah hijau, teknologi air suria, serta pencegahan penyebaran penyakit berjangkit.
