Hujan yang melanda Singapura tidak henti-henti sejak pagi 19 Mac adalah disebabkan peningkatan monsun.
Keadaan ini dijangka berlarutan hingga 21 Mac, yang mungkin menurunkan suhu hingga serendah 22 darjah Celsius dalam tempoh hujan sederhana hingga lebat di Singapura.
Peningkatan monsun ini, yang lazimnya menyebabkan hujan meluas dan berpanjangan, adalah sesuatu yang luar biasa kerana ia biasanya berlaku lebih awal pada musim monsun timur laut, antara Disember dengan Januari.
Singapura kini berada dalam fasa lewat musim monsun ini, yang biasanya berlarutan hingga sekitar Mac.
Peningkatan monsun berlaku apabila letusan udara sejuk dari timur laut, yang berasal dari kawasan seperti Asia Tengah, bergerak di atas Laut China Selatan, membawa hujan lebat, angin kencang dan suhu lebih sejuk ke Singapura.
Secara purata, negara ini mengalami dua hingga empat peningkatan monsun setiap tahun.
Pada 20 Mac, ahli kaji cuaca mengeluarkan amaran hujan lebat berserta guruh di seluruh Singapura dijangka berterusan hingga tengah hari hari itu.
Butiran terkini Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada 12.30 tengah hari pada 20 Mac menyatakan hujan lebat dijangka di banyak kawasan di Singapura dari 12.45 tengah hari hingga 2 petang.
Pada sekitar 8.30 pagi, MSS berkata di laman webnya bahawa “hujan lebat disertai petir dijangka berlaku di banyak kawasan di Singapura antara 8.45 pagi dengan 10.15 pagi” menyusuli hujan berterusan semalaman.
Hujan berterusan itu juga menyebabkan agensi air negara PUB mengeluarkan amaran tentang kemungkinan berlaku banjir kilat.
Pada sekitar 7.40 pagi pada 20 Mac, PUB mengeluarkan amaran risiko banjir kilat di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) arah ke Lapangan Terbang Changi selepas Ekspreswe Tampines (TPE).
Pada kira-kira 10.20 pagi, PUB mengeluarkan satu lagi amaran risiko banjir kilat di East Coast Parkway (ECP) arah ke Lapangan Terbang Changi di jalan masuk Tanah Merah Coast Road.
Ini menandakan hari kedua berturut-turut PUB mengeluarkan amaran risiko banjir kilat, selepas amaran bagi Mountbatten Road/Jalan Seaview.
Bacaan suhu jatuh kepada 21.9 darjah Celsius pada pagi 20 Mac di Tuas South pada kira-kira 10 pagi, dengan hujan tertinggi dicatatkan sebanyak 167.6 milimeter (MM) di Pulau Ubin pada 1 petang.
Suhu terendah di Singapura pada 2025 setakat ini ialah 21.6 darjah Celsius, direkodkan pada 11 Januari di Newton.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg