Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Monsun landa S’pura, hujan serata pulau

Mar 19, 2025 | 5:18 PM
Hujan berterusan berlaku selepas Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran tentang lonjakan monsun dari 19 hingga 21 Mac.
Hujan berterusan berlaku selepas Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran tentang lonjakan monsun dari 19 hingga 21 Mac. - Foto ST

Lonjakan monsun ketiga membawa hujan dan menurunkan suhu kepada 23.6 darjah Celsius pada sekitar tengah hari 19 Mac.

Awan mendung menyelubungi bahagian timur Singapura sekitar 9.15 pagi dan sejam kemudian, hujan turun di serata Singapura, menurut peta myENV, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Awan hujan lebih lebat kelihatan di tengah dan timur Singapura pada 10.20 pagi, namun tiada banjir dilaporkan di saluran agensi air negara, PUB Flood Alerts di Telegram, lapor The Straits Times (ST).

Keadaan cuaca ini berlaku selepas NEA memberi amaran tentang lonjakan monsun dari 19 hingga 21 Mac, yang boleh menyebabkan suhu mencecah serendah 22 darjah Celsius disertai hujan sederhana hingga lebat di Singapura.

Lonjakan monsun ketiga itu adalah fenomena yang jarang berlaku, kerana lonjakan monsun biasanya berlaku pada fasa awal musim monsun timur laut – antara Disember dengan Januari.

Singapura kini berada di fasa akhir musim monsun, yang biasanya berakhir pada Mac.

Menurut Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS), lonjakan hujan lebat yang terakhir berlaku, antara 28 Februari dengan 1 Mac 2023.

Kejadian itu diikuti lonjakan yang lebih lemah antara 3 dengan 4 Mac 2023.

Lonjakan monsun merujuk kepada tiupan udara sejuk dari utara timur, seperti Asia Tengah, yang memanas apabila ia bergerak ke selatan menuju kawasan tropika dan melintasi Laut China Selatan. 

Udara itu kemudian mengumpul kelembapan, menyebabkan pembentukan awan hujan tebal, seterusnya membawa hujan lebat, angin kencang dan cuaca lebih dingin di sekitar khatulistiwa.

Apabila jalur hujan bergerak ke selatan Singapura sekitar Februari, monsun timur laut memasuki fasa kedua atau fasa kering, dengan membawa angin lebih kuat.

Semasa kejadian ini, Singapura biasanya mengalami keadaan berangin tetapi cerah, menurut MSS.

Secara purata, Singapura mengalami sehingga empat lonjakan monsun setiap tahun, dengan setiap episod berlangsung antara satu dengan lima hari.

Pengurus keselamatan serantau dari International SOS, Encik Bala Selvam, memberi amaran bahawa cuaca ini boleh mengganggu operasi dan membawa risiko keselamatan.

“Hujan lebat berpanjangan dan angin kencang boleh mengganggu operasi dan membawa bahaya keselamatan – seperti banjir dan serpihan barang berterbangan – jika struktur sementara, seperti gerai dan khemah di pasar malam dan bazar Ramadan, contohnya, tidak dipasang dengan kukuh,”  kata Encik Selvam.

Beliau menambah perniagaan perlu menangani risiko permukaan licin dan serpihan barang yang jatuh dengan memasang tikar tidak licin, membersihkan laluan dan memastikan struktur dipasang dengan selamat. 

Kakitangan juga perlu dilatih dalam protokol kecemasan, untuk bersedia menghadapi perubahan cuaca mendadak.

PUB antaranya menasihati orang ramai agar memeriksa risiko banjir antara 19 dengan 21 Mac dan menyesuaikan rancangan perjalanan mereka. 

Rumah dan perniagaan di kawasan berisiko banjir perlu memasang pengadang yang disediakan pihak berkuasa.

Bagi kenderaan yang terperangkap dalam air banjir, elakkan menekan brek untuk mengekalkan kelajuan enjin yang stabil.

Setiap episod banjir kilat di Singapura biasanya berlangsung kurang sejam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg