Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

La Nina landa S’pura tanpa kesan sejuk disebabkan pemanasan tempoh panjang

Pakar: Cuaca tempatan mungkin berubah seperti biasa, seolah-olah La Nina tidak berlaku  
Feb 22, 2025 | 2:36 PM
El Nino biasanya membawa cuaca lebih kering dan lebih panas ke Asia Tenggara, manakala La Nina membawa keadaan lebih basah dan lebih sejuk.
El Nino biasanya membawa cuaca lebih kering dan lebih panas ke Asia Tenggara, manakala La Nina membawa keadaan lebih basah dan lebih sejuk. - Foto ST

Pakar kaji cuaca pada awal Februari mengisytiharkan bermulanya La Nina – fenomena iklim yang sering membawa hujan dan cuaca lebih sejuk ke Singapura.

Tetapi kesan sejuknya tidak akan begitu ketara disebabkan trend pemanasan jangka panjang, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) kepada The Straits Times.

Disebabkan pemanasan global, suhu pada Mac hingga Mei – antara bulan paling panas di Singapura yang dikaitkan dengan La Nina – masih lebih tinggi daripada fenomena pemanasan El Nino 40 tahun lalu, kata MSS.

El Nino biasanya membawa keadaan lebih kering dan lebih panas ke Asia Tenggara dan Australia, manakala La Nina pula lebih basah dan lebih sejuk.

Keadaan seperti itu silih berganti setiap beberapa tahun dan secara bersama, dua fasa itu dikenali sebagai Kitaran Selatan El Nino (Enso).

Enso adalah kitaran iklim semula jadi global melibatkan perubahan angin dan suhu permukaan laut di atas kawasan Lautan Pasifik yang tropika, iaitu lembangan lautan terbesar di dunia.

Semasa La Nina melanda, angin yang bertiup dari timur ke barat merentasi kawasan Lautan Pasifik yang tropika akan menjadi lebih kuat. Angin ini digelar angin pasat.

Lebih banyak air suam cetek terkumpul di barat Lautan Pasifik, yang termasuk Asia Tenggara.

Keadaan ini mengakibatkan lebih banyak hujan di Singapura kerana angin membawa kelembapan dan hujan ke kawasan itu.

Fasa La Nina dikenal pasti berdasarkan beberapa petunjuk, seperti suhu permukaan laut, pertukaran angin dan keadaan berawan di kawasan tropika Pasifik, kata MSS, yang berada di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Keadaan itu diramalkan berlangsung hingga April atau Mei, selepas itu keadaan kembali sedia kala apabila kedua-dua fenomena tidak berlaku.

Semasa dan sejurus selepas La Nina, suhu tertinggi dan purata harian dijangka lebih rendah tetapi suhu tinggi masih boleh berlaku, tambah MSS.

Sebagai contoh, ketika La Nina terakhir yang berlanjutan hingga permulaan 2023, cuaca memuncak kepada 37 darjah Celsius pada 13 Mei, paras tidak pernah dilihat sejak 1983.

Dr Koh Tieh Yong, daripada Program Penyelidikan Iklim Dunia, berkata fasa La Nina sekarang adalah lemah. Ini bermakna pengaruh cuaca serantau boleh dengan mudah mengatasi kesan fenomena itu.

“Cuaca tempatan mungkin berubah dalam lingkungan tahap biasa – lebih basah atau lebih kering, lebih sejuk atau lebih panas – seolah-olah La Nina tidak berlaku,” tambah Dr Koh, yang juga pengerusi bersama kumpulan kerja Monsun Asia-Australia di bawah program itu.

La Nina adalah fenomena iklim, tetapi terdapat pemacu cuaca lain di Singapura.

Negara ini kini berada dalam fasa kering monsun timur laut, yang biasanya berakhir sekitar awal Mac.

Dari akhir Mac hingga Mei, tempoh antara monsun bermula, apabila ribut petir pada sebelah petang boleh menjadi perkara biasa.

MSS selanjutnya menyatakan bahawa secara purata, semasa penghujung monsun timur laut dan tempoh antara monsun, Singapura mengalami taburan hujan lebih tinggi sedikit semasa fasa La Nina berbanding dengan El Nino.

Namun, ini berbeza dari tahun ke tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg