Cuaca basah dijangka pada awal Oktober, dengan hujan serta petir berlaku pada beberapa pagi dan petang dalam separuh pertama bulan ini.
Keadaan perantaraan monsun atau inter-monsoon, dijangka bermula pada minggu pertama Oktober, menandakan berakhirnya monsun barat daya, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam satu kenyataan pada 1 Oktober.
Musim perantaraan monsun ini lazimnya membawa tiupan angin ringan yang berubah-ubah arah serta aktiviti kilat yang lebih tinggi.
Suhu maksimum harian dijangka sekitar 32 hingga 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari, dengan beberapa hari dijangka akan mencecah lebih 34 darjah Celsius, menurut MSS.
Badai Sumatera mungkin membawa hujan lebat berserta angin kencang pada satu atau dua pagi.
Jumlah hujan bagi separuh pertama Oktober dijangka berada sekitar paras purata di kebanyakan kawasan Singapura.
Dalam perinciannya mengenai keadaan cuaca sepanjang dua minggu terakhir September, MSS berkata keadaan monsun barat daya berlaku di Singapura, dengan angin bertiup kebanyakannya dari arah tenggara atau barat daya.
Singapura mengalami paras hujan lebih rendah daripada purata, dengan hujan lebat setempat berlaku pada beberapa hari.
Jurong West mencatat jumlah hujan 94 peratus lebih rendah daripada purata, lapor The Straits Times (ST).
Pada 28 September, pertembungan angin serantau membawa hujan lebat sederhana hingga lebat di kebanyakan kawasan serata Singapura pada sebelah petang dan malam.
Pada hari yang sama, Pasir Ris mencatat jumlah hujan tertinggi dalam satu hari bagi separuh kedua September, iaitu 59.4 milimeter.
Suhu maksimum harian sepanjang separuh kedua September melebihi 33 darjah Celsius pada kebanyakan hari.
Sementara itu, Pulau Ubin dan Admiralty mencatat suhu maksimum harian tertinggi iaitu 34.6 darjah Celsius, masing-masing pada 23 dan 27 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg