Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura perluas usaha untuk tangani banjir kilat

Termasuk naik taraf sistem saluran, pupuk kesedaran dalam masyarakat untuk lebih sedia hadapi banjir kilat
Dec 1, 2025 | 2:54 PM
banjir kilat, pub, naik taraf saluran, kesedaran masyarakat
Ketua eksekutif agensi air negara PUB, Encik Ong Tze-Ch’in, berkata pemerintah akan terus melabur dalam infrastruktur saluran air. - Foto ST

Dengan perubahan iklim yang menyebabkan hujan semakin tidak menentu, Singapura telah memperluas usaha untuk menangani banjir kilat, kata ketua eksekutif agensi air negara PUB, Encik Ong Tze-Ch’in.

Pemerintah akan terus membaiki dan menaik taraf sistem saluran, namun PUB juga sedar bahawa masyarakat perlu lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi banjir kilat, katanya, lapor The Straits Times (ST).

“Kami sedar ia mustahil untuk mencegah setiap banjir,” kata Encik Ong, 50 tahun, dalam satu wawancara dengan ST pada 28 November, ketika negara memasuki musim monsun timur laut, tempoh paling basah sepanjang tahun.

Menurut kajian perubahan iklim nasional Singapura, peningkatan gas pemanasan global di atmosfera dijangka membawa ribut yang lebih kerap, lebih kuat dan lebih intensif.

Pada Januari, lonjakan monsun – iaitu fenomena cuaca yang berlaku semasa musim hujan monsun timur laut – menyebabkan hujan turun dengan sangat lebat dalam masa yang singkat.

Lonjakan pertama pada awal Januari menyebabkan banjir hampir tiga jam di Jalan Seaview di Mountbatten, berpunca daripada gabungan air pasang yang tinggi dan hujan berpanjangan.

Kebanyakan banjir kilat di sini tidak melebihi sejam.

“Masih ada yang beranggapan bahawa banjir kilat tidak sepatutnya berlaku di Singapura.

Tetapi dengan perubahan iklim, ia tetap boleh berlaku dari masa ke masa,” katanya dalam wawancara pertamanya sejak memimpin agensi itu pada akhir 2023.

“Kami mahu sampai ke tahap di mana (banjir kilat) bukan lagi satu yang mengejutkan apabila ia berlaku,” tambahnya. 

Namun, lebih banyak usaha diperlukan untuk membina daya tahan masyarakat dan perkara pertama adalah menyesuaikan minda orang ramai tentang banjir kilat di sini, kata Encik Ong.

Encik Ong sebelum ini merupakan setiausaha tetap di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), yang menyelia dasar air dan makanan antara 2021 dengan 2023. 

Dalam peranan itu, beliau mengurus komunikasi dan kerjasama masyarakat, yang mengajarnya bahawa tindakan iklim memerlukan kerjasama semua lapisan masyarakat.

Encik Ong berkata pelaburan dalam menambah baik sistem saluran Singapura kekal sebagai tonggak utama pencegahan banjir.

Pada Februari, diumumkan bahawa $150 juta akan dibelanjakan untuk kerja naik taraf saluran pada Tahun Kewangan 2025.

Namun, dengan kekangan tanah, terdapat had kepada jumlah saluran yang boleh dibina atau diperluas, tambahnya.

PUB juga melaksanakan pembinaan infrastruktur khas bagi mengurangkan risiko banjir, kata Encik Ong, merujuk kepada Stesen Pam Syed Alwi yang baru siap dibina, yang mempunyai tangki bawah tanah di Jalan Besar.

Kerja penaikan taraf sepanjang 900 meter di longkang besar Bukit Timah, antara Rifle Range Road dan Jalan Kampong Chantek di Bukit Timah, dijadual siap pada 2026.
Kerja penaikan taraf sepanjang 900 meter di longkang besar Bukit Timah, antara Rifle Range Road dan Jalan Kampong Chantek di Bukit Timah, dijadual siap pada 2026. - Foto ST

Ia mengalihkan air ribut dari longkang besar Rochor ke tangki bawah tanah bagi mengelakkan limpahan air semasa hujan lebat.

Namun begitu, walaupun dengan usaha pemerintah, penduduk, perniagaan dan pengguna jalan di kawasan mudah banjir masih perlu memantau cuaca dan amaran banjir serta menjauhkan diri daripada kawasan berisiko, kata Encik Ong.

Pada masa ini, PUB menggunakan beberapa cara untuk memberitahu orang ramai tentang kemungkinan banjir kilat, termasuk melalui Telegram dan unit di dalam kenderaan.

Namun, PUB akan terus melabur dalam idea baru untuk memberikan amaran awal yang lebih tepat dan lebih meluas kepada masyarakat, katanya.

Sebagai contoh, pada pertengahan November, PUB mengumumkan ia sedang menggunakan isyarat telefon bimbit untuk meramal kawasan yang mungkin akan dilanda hujan lebat, sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran banjir.

Projek itu, dijalankan bersama StarHub dan Institut Hydroinformatics, disasarkan siap akhir 2025, dengan potensi pelaksanaan di seluruh pulau.

Hujan boleh mengganggu isyarat selular antara menara telekomunikasi dan gangguan itu boleh digunakan untuk menganggar intensiti hujan.

Dengan adanyan banyak telefon bimbit, data itu membantu dalam melengkapkan maklumat tolok hujan atau rain gauge di seluruh pulau, kata Encik Ong.

Seorang kontraktor, ditemani pegawai PUB, mengukur kabel penderia paras air selepas menguji ketepatannya di sebelah saluran air di Bukit Timah Road pada 25 November.
Seorang kontraktor, ditemani pegawai PUB, mengukur kabel penderia paras air selepas menguji ketepatannya di sebelah saluran air di Bukit Timah Road pada 25 November. - Foto ST

PUB juga merancang untuk menggabungkan amaran banjir ke dalam Google Maps dan secara berperingkat memasang 650 penderia paras air tambahan menjelang 2028.

PUB memulakan kempen kesedaran banjir tahunannya pada November 2024 semasa musim hujan.

Kali ini, tumpuannya adalah mendidik masyarakat tentang langkah pencegahan supaya tidak terperangkap dalam banjir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg