Topic followed successfully
Go to BHkuHukuman lebih berat bagi pesalah beri makan haiwan liar secara haram
Hukuman lebih berat bagi pesalah beri makan haiwan liar secara haram
Hukuman lebih berat bagi pesalah beri makan haiwan liar secara haram
Individu yang berulang kali memberi makan haiwan liar secara haram di Singapura boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan, apabila pindaan hukuman lebih berat mula dikuatkuasakan akhir 2026.
Ini antara langkah susulan perbahasan Rang Undang-Undang Statut (Pindaan Pelbagai) yang telah diluluskan di Parlimen pada 7 Mei, meskipun terdapat bantahan daripada Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP).
Kadar denda maksimum juga akan digandakan bagi menangani masalah memberi makan haiwan liar secara haram.
Pesalah kali pertama boleh didenda $10,000, naik daripada $5,000, manakala pesalah berulang boleh didenda sehingga $20,000.
“Ini akan memberikan pencegahan yang lebih kukuh terhadap pemberian makanan kepada hidupan liar secara haram dan melindungi kesihatan dan keselamatan awam dengan lebih baik,” kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), ia telah meningkatkan usaha dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lebih banyak kes pemberian makanan hidupan liar secara haram saban tahun, dengan kes sedemikian meningkat daripada hampir 150 pada 2021 kepada lebih 380 pada 2025.
Kebanyakan kes melibatkan pemberian makanan kepada burung merpati.
Lebih banyak kes ini juga melibatkan pesalah berulang, daripada 8 peratus kepada 42 peratus dalam tempoh sama.
“Trend ini menunjukkan bahawa pemberian makanan kepada hidupan liar kekal sebagai isu yang berterusan.
“Apabila tingkah laku sedemikian berterusan, ia menjejas keberkesanan usaha pengurusan hidupan liar NParks yang lebih luas dan memburukkan lagi masalah kepada masyarakat,” kata NParks.
Menurutnya, hukuman lebih berat mencerminkan tahap keseriusan kesalahan berulang dan risiko kebersihan awam yang berkaitan dengan pemberian makanan haram kepada hidupan liar.
Semasa perbahasan di Parlimen, beberapa AP menyatakan bahawa memberi makan haiwan liar mungkin ada kaitan dengan rasa kesunyian dalam kalangan warga emas.
Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) berkata beliau tahu beberapa warga emas yang telah didenda kerana memberi makan kepada burung merpati.
“Kesedaran masih kurang, dan pendidikan adalah kuncinya.
“Ramai pemberi makan bertindak atas tabiat atau belas kasihan, kebanyakannya warga emas atau orang yang mengalami masalah kognitif,” katanya.
Beliau meminta pemerintah menimbangkan untuk meningkatkan usaha merujuk kes yang melibatkan warga emas atau orang kurang upaya kognitif kepada agensi perkhidmatan sosial (SSA) untuk mendapatkan sokongan.
Menimbulkan isu serupa, AP WP, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) berkata beliau menyokong pendirian lebih tegas terhadap pemberian makanan kepada hidupan liar, tetapi meminta Kementerian Pembangunan Negara (MND) menangani dimensi sosial yang lebih mendalam tentang tingkah laku tersebut, yang mungkin dikaitkan dengan pengasingan sosial.
Encik Muhaimin turut menyarankan agar MND bekerjasama dengan SSA untuk mendekati warga emas untuk memberitahu mereka tentang kesan memberi makan kepada haiwan liar.
Dr Syed Harun menjelaskan NParks akan meneruskan pendidikan awam dan agensi berkaitan akan mendekati pesalah warga emas dengan isu kesihatan mental untuk memahami motivasi mereka memberi makan burung perosak.
“Kita memang memerlukan hukuman sewajarnya untuk mencegah tingkah laku yang salah, tetapi pendekatan kita bukan sekadar menghukum.
“NParks menawarkan aktiviti berasaskan alam semula jadi kepada pesalah yang mempunyai keperluan kesihatan mental, seperti berkebun dan memerhati burung, sebagai alternatif kepada pemberian makanan,” ujar Dr Syed Harun.
