Mulai 1 Januari 2026, pemandu yang memandu melebihi had laju serta pemilik lori yang belum memasang alat pengehad kelajuan akan dikenakan denda dan mata demerit lebih tinggi.
Demikian menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan media pada 19 Disember.
Seorang pemandu kenderaan ringan yang melebihi had laju sebanyak 20 kilometer sejam (kmh) kini akan dikenakan enam mata demerit dan denda $200, meningkat daripada empat mata demerit dan denda $150 sebelum ini.
Mereka yang memandu antara 40 dengan 50kmh melebihi had laju akan dikenakan 18 mata demerit dan didakwa di mahkamah.
Sebelum ini, pesalah hanya akan menerima 12 mata demerit dan didakwa di mahkamah.
Hukuman lebih berat yang kali pertama diumumkan pada Mei 2025, diperkenalkan susulan peningkatan ketara dalam jumlah kesalahan memandu laju, lapor The Straits Times (ST).
Pada separuh pertama 2025, hampir 120,000 kesalahan memandu laju direkodkan – peningkatan kira-kira 45 peratus, berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Hukuman lebih berat juga akan dikenakan bagi kesalahan lalu lintas yang dilakukan di Laluan Mesra, Zon Sekolah dan Zon Warga Emas, serta jalan raya yang mempunyai lebih ramai pejalan kaki.
Mereka yang melakukan kesalahan lalu lintas dalam zon tersebut akan dikenakan tambahan dua mata demerit, selain hukuman memandu laju yang dipertingkat, tambah MHA.
Mereka juga akan dikenakan tambahan bayaran kompaun $100 bagi kesalahan yang dilakukan di Laluan Mesra, iaitu laluan jalan raya dengan jumlah pejalan kaki dan penunggang basikal yang ramai berhampiran pasar, pusat penjaja dan stesen MRT.
Di samping itu, Polis Trafik (TP) telah menggesa pemilik lori supaya segera memasang pengehad kelajuan pada kenderaan mereka.
Mereka diwajibkan berbuat demikian sebelum tarikh akhir 1 Januari 2026.
Sehingga 11 Disember, sebanyak 495 daripada 2,485 lori, iaitu sekitar 20 peratus, masih belum memasang alat pengehad kelajuan.
Lori yang tidak mematuhi peraturan tidak akan diperbaharui cukai jalan mereka dan penggunaannya akan dilarang.
Pemilik lori yang tidak mematuhi peraturan juga akan berdepan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan pengehad kelajuan.
MHA akan membentangkan pindaan undang-undang pada 2026 untuk menaikkan hukuman maksimum daripada $1,000 kepada $10,000 bagi kegagalan mematuhi tarikh akhir untuk memasang alat pengehad kelajuan, atau bagi perbuatan mengubah suai alat tersebut.
Mulai 1 Januari 2026, pemandu syarikat yang ditangkap memandu laju lori akan dikenakan Perintah Pemulihan (RO) di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA) kerana melakukan perbuatan tidak selamat semasa bekerja.
RO yang dikeluarkan oleh TP akan mewajibkan syarikat berkenaan memasang alat pengehad kelajuan pada semua lori sebelum tarikh akhir.
Kegagalan mematuhi perintah itu akan mengakibatkan denda sehingga $50,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg