Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hukuman mati seorang lagi banduan ditangguh

Feb 27, 2025 | 4:19 PM
Hamzah Ibrahim disabitkan bersalah memiliki 26.29 gram heroin dalam simpanannya untuk tujuan pengedaran, dan dijatuhi hukuman mati pada 2017. Dia dijadual digantung pada 26 Februari 2025, tetapi mendapat penangguhan dua hari sebelum itu.
Hamzah Ibrahim disabitkan bersalah memiliki 26.29 gram heroin dalam simpanannya untuk tujuan pengedaran, dan dijatuhi hukuman mati pada 2017. Dia dijadual digantung pada 26 Februari 2025, tetapi mendapat penangguhan dua hari sebelum itu. - Foto ZAOBAO

Satu perintah penangguhan telah diberikan kepada seorang banduan hukuman mati, dua hari sebelum dia dijadual menjalani hukuman gantung pada 26 Februari.

Hamzah Ibrahim didapati bersalah memiliki 26.29 gram (g) heroin dalam simpanannya untuk tujuan pengedaran, dan dijatuhi hukuman mati pada 2017.

Perintah penangguhan itu, yang diberikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam, adalah satu penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah yang tidak bermakna satu pengampunan.

Tuan Presiden boleh, atas nasihat Kabinet, memberikan mana-mana pesalah, sembarang penangguhan, sama ada selama-lamanya atau bagi satu tempoh yang difikirkan patut oleh Tuan Presiden, bagi pelaksanaan sembarang hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah itu.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata pada 27 Februari bahawa pelaksanaan hukuman mati Hamzah dijadualkan pada 26 Februari kerana dia telah kehabisan semua saluran undang-undang berhubung sabitan dan hukumannya, termasuk proses pengampunan.

MHA berkata perintah penangguhan itu dikeluarkan pada 24 Februari.

Ia menambah bahawa Kabinet menasihatkan Tuan Presiden bahawa perintah tangguh perlu dikeluarkan untuk Hamzah selepas mengambil kira perkembangan terkini di mahkamah, memetik keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati seorang warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman, pada 19 Februari.

Keputusan itu mungkin relevan dengan kes Hamzah, kata MHA.

Pannir disabitkan pada 2017 mengimport 51.84g heroin ke Singapura dan dijatuhi hukuman mati mandatori.

Dia dijadual menjalani hukuman mati pada 20 Februari tetapi Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan penangguhannya didengar.

Dalam satu penghakiman bertulis, Hakim Woo Bih Li, berkata beliau memerintahkan penangguhan itu sementara menunggu penentuan aduan Pannir kepada Persatuan Undang-Undang terhadap bekas peguamnya serta keputusan satu cabaran perlembagaan terhadap andaian di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Di bawah Seksyen 18(1), seseorang yang dibuktikan memiliki barang tertentu yang mengandungi dadah terkawal diandaikan mempunyai dadah itu dalam simpanannya, hingga dia membuktikan sebaliknya.

Hamzah dibicarakan bersama dua yang lain – Farid Sudi dan Tika Pesik.

Dokumen mahkamah menunjukkan Pesik yang mengatur supaya Farid mengambil heroin itu dan menyerahkannya kepada Hamzah.

Hamzah mengambil dadah yang terkandung dalam dua paket itu daripada Farid pada petang 20 Disember 2014.

Dia dijatuhi hukuman mati walaupun diberi sijil bantuan substantif di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Pesalah dadah yang dianggap banyak membantu Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam menggendalakan kegiatan pengedaran dadah di dalam atau di luar Singapura boleh dihukum penjara seumur hidup dan rotan dan bukannya hukuman mati, jika mereka juga didapati bertindak hanya sebagai kurier.

Seorang hakim Mahkamah Tinggi mendapati Hamzah tidak layak bagi hukuman alternatif itu, sambil berkata adalah jelas tujuannya selepas menerima penghantaran dadah itu ialah menjualnya.

Farid layak bagi hukuman alternatif dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta 15 sebatan, manakala Pesik dikenakan hukuman mati.

Hamzah gagal dalam rayuannya sebelum dia memfailkan petisyen pengampunan kepada presiden ketika itu, Presiden Halimah Yacob, pada 29 November 2018.

Selepas pertimbangan dan nasihat Kabinet, ini ditolak pada 5 Julai 2019.

Hamzah baru-baru ini meminta kebenaran daripada Mahkamah Rayuan agar membuat permohonan semakan bagi “memperbetulkan kegagalan keadilan dalam kesnya”.

Ini ditolak oleh Hakim Tay Yong Kwang dalam satu penghakiman bertarikh 14 Februari 2025.

Dalam permohonannya, Hamzah, yang tidak diwakili, meminta mahkamah memerintahkan perbicaraan semula agar dia mendapat “perbicaraan adil” dan berpeluang membela diri sendiri.

Salah satu alasan permohonannya ialah bahawa dia bertindak di bawah janji yang dibuat oleh “pegawai CNB (tidak dikenali dan tidak dinamakan) dan/atau pihak pendakwaan” bahawa dia tidak akan dikenakan hukuman mati jika dia memberi kerjasama dalam siasatan atau membantu pihak berkuasa dalam mengganggu kegiatan pengedaran dadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg