Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sebelum hulur bantuan, sahkan identiti ‘teman’ 

Jul 14, 2024 | 5:30 AM
Orang ramai dinasihatkan agar terus berhati-hati terhadap penipuan melalui panggilan telefon.
Orang ramai dinasihatkan agar terus berhati-hati terhadap penipuan melalui panggilan telefon. - Foto ISTOCKPHOTO

Sangkanya, beliau telah membantu ‘teman’ yang dalam kesusahan. Namun, tidak lama selepas Encik Lee Zhi Yong, 23 tahun, memindahkan wang kepada “bekas teman sekerjanya, Jason”, beliau disekat daripada menghubungi Jason.

Apabila beliau membuat pemeriksaan dengan kawan-kawan lain, ternyata “Jason” sebenarnya penipu.

“Saya panik,” katanya. “Hakikat bahawa saya (tidak mungkin) akan mendapatkan kembali wang itu amat menyedihkan,” tambahnya.

Encik Lee telah meminjamkan “Jason” $700 untuk membayar deposit bagi kerja ubah elok rumahnya.

Jumlah itu besar bagi pelajar kejuruteraan elektrik sepenuh masa di universiti tempatan. Beliau mendapat gaji sekitar $600 sebulan dengan bekerja secara sambilan, untuk menambah elaun bulanannya sebanyak $600 daripada ibu bapanya.

Encik Lee antara 6,859 individu yang terlibat dalam kes penipuan panggilan telefon teman palsu tahun lalu. Pada 2023, kes yang dilaporkan meningkat 225.7 peratus daripada 2,106 kes pada 2022, dedah angka Pasukan Polis Singapura (SPF).

Jumlah kerugian meningkat 162.5 peratus daripada lebih $8.8 juta pada 2022, kepada sekurang-kurangnya $23.1 juta pada 2023.

‘Adakah anda tahu siapa saya?’

Adakah Encik Lee mengesyaki bahawa “Jason” mungkin penipu? Tidak sama sekali, katanya. “Dia tidak meminta wang daripada saya secara serta-merta.”

Ia bermula dengan panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali pada Mac 2023.

“Hari itu hampir tengah malam dan saya sudah pun tidur ketika itu.” Bercakap dalam bahasa Mandarin dengan loghat asing, pemanggil itu mendakwa kehilangan telefonnya dan terpaksa menukar nombor telefonnya. “Awak tahu siapa saya?” dia bertanya kepada Encik Lee.

Dalam keadaan mengantuk, Encik Lee menyangka dia seseorang yang ditemuinya semasa bekerja sebagai pembantu gudang sambilan pada 2022. Pemanggil itu segera menggunakan nama “Jason” dan meminta Encik Lee menyimpan nombor telefon barunya.

Keesokan paginya, “Jason” memanggil lagi. Kali ini, dia memerlukan bantuan untuk menukar nombor PayNow yang dihubungkan ke akaun POSB.

Encik Lee dengan sabar membimbingnya. Tetapi selepas itu, “Jason” mendakwa telah disekat daripada akaun perbankan Internetnya kerana beliau memasukkan jawapan yang salah bagi soalan keselamatannya.

Ketika itulah “Jason” meminta wang. “Beliau berkata beliau perlu membayar deposit segera untuk kerja ubah elok rumahnya dan berjanji mengembalikannya pada 4.30 petang pada hari yang sama,” kata Encik Lee.

Dek percaya yang beliau sedang membantu temannya, Encik Lee memindahkan wang kepada “Jason” sebanyak $700 – lebih daripada sebulan gaji kerja sambilannya – melalui PayNow.

Pada 4.45 petang, menyedari wang itu tidak dipindahkan kembali ke akaun banknya, Encik Lee cuba menghubungi “Jason”. “Tetapi tiada nada deringan dan dia telah menyekat saya di (platform pesanan), WhatsApp.

“Saya menghubungi bekas teman sekerja saya yang lain, yang memaklumkan kepada saya bahawa Jason yang sebenar tidak menukar nombor telefonnya.”

Encik Lee terus membuat laporan polis.

Bina kepercayaan sebelum tipu

Dalam penipuan panggilan telefon teman palsu, mangsa menerima panggilan atau WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali. Pemanggil berpura-pura menjadi kawan dan meminta mangsa menyimpan “nombor baru” mereka.

Kemudian, penipu akan menghubungi mereka sekali lagi untuk meminta pinjaman, mendakwa mereka tidak dapat melakukan transaksi perbankan atau mengalami masalah kewangan.

Dalam sesetengah kes, penipu mungkin meminta mangsa menggunakan aplikasi mudah alih pihak ketiga atau mengklik pada pautan untuk membantu membuat tempahan restoran.

Penipu panggilan telefon teman palsu cenderung membina kepercayaan terlebih dahulu dengan berpura-pura menjadi seseorang yang dikenali mangsa, sebelum meminta bantuan atau wang, kata Superintenden Polis Rosie Ann McIntyre, penolong pengarah Jabatan Operasi Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, SPF.

Mereka (penipu) berusaha “mengeksploitasi kecenderungan kita untuk membantu teman-teman kita yang lain”, tambahnya.

Encik Lee “pasrah” bahawa beliau tidak mungkin mendapatkan kembali wangnya. “(Jika difikirkan semula), saya sepatutnya mengesahkan identiti ‘Jason’ (melalui cara lain), seperti meminta untuk berjumpa dengannya sebelum meminjamkan wang kepadanya.”

Terus berwaspada ketika menerima panggilan dari ‘teman’ yang mencurigakan. Mereka mungkin penipu.
Terus berwaspada ketika menerima panggilan dari ‘teman’ yang mencurigakan. Mereka mungkin penipu. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg